[MINDA PIMPINAN BCAD | “ACHIEVE THE HIGHEST, IMPROVE OTHERS”]

0

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan kepada kita dua nikmat terbesar iaitu iman dan Islam, serta nikmat-nikmat lain yang tidak mampu dibilang oleh hamba-hamba-Nya. Perjuangan dan pengorbanan Baginda Rasulullah SAW dan para sahabat juga sepatutnya disyukuri dalam memastikan agama Islam tersebar ke seluruh pelosok dunia sehingga sampai kepada kita hari ini. Syukur.

Sahabat,

Menuntut ilmu adalah ibadah yang mulia dan agung. Oleh kerana itu, orang yang menuntut ilmu harus selalu memerhatikan adab-adabnya agar mendapatkan ilmu yang bermanfaat dan juga berkat. Adab ini juga akan menjadi aturan khusus bagi orang yang berilmu.

Selain dari kitab Hidayat al-Salikin yang disusun oleh Syeikh Abdus Samad, yang merupakan terjemahan dari kitab Bidayatul-Hidayah milik Imam al-Ghazali dan juga rangkuman dari sumber yang lain, berikut ini adalah adab menuntut ilmu yang harus dimiliki oleh kaum muslimin, iaitu:

1. Beri salam terlebih dulu, ketika berjumpa dengan guru.

2. Tidak banyak berkata-kata di hadapan guru.

3. Tidak berkata sesuatu yang tidak ditanyakan oleh guru.

4. Sebelum bertanya, hendaklah meminta izin kepada guru.

5. Apabila guru berdiri, maka hendaklah ikut berdiri juga untuk menghormati guru.

6. Tidak berburuk sangka terhadap guru.

Imam Syafie memiliki 6 nasihat yang harus dimiliki oleh seseorang penuntut ilmu: “Wahai saudaraku, ilmu tidak akan kamu peroleh kecuali dengan 6 perkara, akan saya beritahukan kepadamu secara terperinci: kecerdasan, semangat, kesungguhan, belanja yang mencukupi, bersahabat dengan guru, dan waktu yang panjang.”

Hari ini, kita melihat umat Islam di seluruh dunia ditindas, hak-hak Islam dizalimi, malah kejahilan umat Islam dalam memahami hakikat sebenar Islam makin membimbangkan dan akhlak-akhlak Islam kian menghilang daripada gaya hidup masyarakat. Maka, menjadi suatu kewajipan ke atas kita selaku mahasiswa muslim yang berilmu untuk mengubah diri dan masyarakat ke arah yang lebih baik bagi membina masyarakat Islam yang kembali kepada ketakwaan terhadap Allah serta kebenaran Islam yang sahih.

Para mahasiswa Azhari sekalian,

Dalam mencapai matlamat dan cita-cita yang tinggi ini pastilah perjalanan yang bakal ditempuhi jua adalah sangat panjang dan mencabar seperti sukarnya para anbiya’ dan para tabiin terdahulu. Maka, sudah pastilah menuntut ilmu menjadi tunjang utama yang perlu diamalkan dalam hidup. Jadi, antara keutamaan menuntut ilmu ialah:

1. Ilmu ialah warisan para nabi

Rasulullah SAW bersabda: “Dan sesungguhnya para Nabi tidak pernah mewariskan wang emas dan tidak pula wang perak, akan tetapi mereka telah mewariskan ilmu. Barang siapa yang mengambil warisan tersebut maka sungguh ia telah mengambil bagian yang banyak.” (HR Ahmad).

Ini menunjukkan bahwa keutamaan menuntut ilmu lebih tinggi daripada wang dan emas yang bersifat materi. Sebab, saat seseorang memiliki ilmu dan hingga mengajarkannya, maka hal tersebut akan menjadi amal jariah yang terus mengalir bahkan hingga orang tersebut meninggal dunia.

2. Menuntut ilmu adalah jalan menuju syurga

Syurga adalah idaman setiap muslim. Bahkan, syurga merupakan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah, bagi setiap amal soleh yang dilakukan oleh hamba hambaNya yang beriman. Oleh kerana itu saat Allah SWT menjadikan ilmu sebagai jalan utama menuju surga, maka ini menunjukkan besarnya keutamaan menuntut ilmu.

Hal ini telah mendapatkan landasan syarie, kerana didasarkan pada sebuah hadith saat Rasulullah SAW bersabda: “… Barang siapa yang meniti suatu jalan dalam rangka menuntut ilmu maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga…” (HR Ahmad).

3. Allah SWT akan meninggikan darjat

Terkait dengan keutamaan menuntut ilmu yang satu ini, dalam al-Quran Allah SWT berfirman: “Allah mengangkat orang-orang beriman di antara kalian dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat.” (Al-Mujadalah: 11).

Firman Allah SWT:

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. [al-Mujadalah:11]

Berdasarkan firman Allah SWT ini, ia menunjukkan akan wujudnya ganjaran di akhirat dan karamah (kemuliaan) di dunia. Maka dengan itu, diangkat orang yang beriman daripada orang yang tidak beriman dan orang yang alim daripada orang yang bukan alim. Telah berkata Ibn Mas’ud RA bahawa Allah SWT telah memuji ulama’ di dalam ayat ini iaitu Allah SWT mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat. [Lihat: Tafsir al-Qurthubi,17/299]

Antara kelebihan yang dijelaskan di dalam hadith Nabi SAW bagi orang-orang yang menuntut ilmu ini, kami ingin datangkan sebuah hadith yang panjang di dalam Sahih Muslim yang menceritakan di dalam sebahagian matannya akan kelebihan orang yang menuntut ilmu.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Quran) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”. [Riwayat Muslim (4867)]

Setiap pilihan yang dilakukan dalam menyusun jadual harian serta membahagikan masa antara tugasan, tanggungjawab dan menunaikan hak-hak terhadap diri, sahabat, keluarga, pensyarah, ahli rumah dan sebagainya menuntut kepada kita untuk mendahulukan perkara-perkara yang lebih utama serta membahagikan masa antara tugasan dan tanggungjawab menuntut kepada kita untuk mengorbankan hal-hal yang lain. Dengan ini, kita terdidik untuk memilih perkara utama yang perlu didahulukan oleh seorang muslim yang intelek, profesional dan cemerlang dari setiap aspek.

Akhir kalam, semoga kita dapat mengaplikasikan erti pengorbanan yang sebenar seperti Rasulullah dan para sahabat dalam kehidupan seharian seterusnya menjadi mahasiswa mahasiswi yang berguna buat ummah kelak.

Ketua dan Timbalan Ketua Biro Akademik,
PERUBATAN Cawangan al-Azhar sesi 2021/2022.

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?