[MINDA PIMPINAN JBIKON | “PENGURUSAN KEWANGAN BERKUALITI, KREDIBILITI PERUBATAN DIPERAKUI” | “YOUR NEED IS OUR PRIORITY”]

0

“Apabila solat telah dilaksanakan, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; carilah kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak agar kamu beruntung.” (Surah al-Jumuah: 10)

Ekonomi merupakan sendi kepada utuhnya sesebuah negara dan kerajaan. Seketika mengimbau kembali sejarah keemasan tamadun Islam, prospek ekonomi sangat memainkan peranan dalam membina sebuah peradaban yang stabil, gah dan tahan lama. Penguasaan umat Islam dalam aspek perdagangan pada ketika itu telah menyuburkan perkembangan Islam dan menjadikan Islam antara tamadun yang disegani dan digeruni.

Namun, sejak akhir-akhir ini, umat Islam dilanda kemerosotan peradaban termasuk dari segi perekonomian dan perindustrian. Kita jauh ketinggalan dari dunia Barat dalam segenap aspek, menjadikan sinar yang dicipta oleh umat Islam terdahulu kian malap dek kerana perpecahan, perperangan dan kemiskinan yang meratah atma dunia Islam.

Justeru, sedikit sebanyak bagi seorang individu Muslim perlu lakukan adalah menguasai kemahiran dalam aspek pengurusan harta dan kewangan. Masyarakat yang mempunyai kekuatan ekonomi akan mewujudkan sebuah negara yang bebas dari kemelut kemiskinan dan permasalahan dalaman dan ianya tidak dapat tidak perlu dimulakan dari setiap individu Muslim.

Antara kepentingan yang lainnya adalah;

• Membebaskan umat Islam dari kemelut kewangan dan masalah bankrap.

• Mewujudkan suasana ekonomi yang sihat dan stabil dalam masyarakat Islam.

• Mengatasi masalah kemiskinan dan kemunduran.

• Merancakkan institusi zakat.

“Islam berada di bawah kewajiban untuk mempunyai kekuasaan ke atas semua tamadun.”
(Ibnu Khaldun melalui bukunya, al-Muqaddimah)

Pengurusan kewangan secara bijaksana sememangnya perlu dilatih daripada awal. Kita sering kali didedahkan dengan pepatah melayu yang mengatakan “Meluntur buluh biarlah daripada rebungnya.”

Apabila kita cuba mengamalkan tabiat kewangan dengan baik, lama-kelamaan ianya menjadi rutin harian kita.

4 strategi pengurusan kewangan Islam yang kita boleh amalkan dalam kehidupan kita.

1. Mencari Rezeki Yang Halal

Allah Maha Pemurah dan Pemberi Rezeki menyebut di dalam Surah al-Jumuah, ayat 10 yang bermaksud:

“Kemudian, setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatkanlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.”

Rezeki dan limpah kurniaan Allah itu sangat luas. Keluasannya tidak mampu dicapai oleh akal fikiran dan kita disarankan untuk mencari rezeki yang halal melalui pekerjaan atau perniagaan. Rezeki yang halal adalah melalui hasil usaha yang jujur, bebas penipuan atau rasuah serta tidak terlibat dengan perkara yang haram.

Orang Islam yang beriman dan bertakwa akan memastikan sumber pendapatannya hanya datang daripada sumber yang halal dan akan mengelakkan diri daripada terjerumus dalam riba, arak, judi dan lain-lain hal yang dilarang oleh agama walau dalam keadaan susah sekalipun.

2. Melanggan Takaful Sebagai Persediaan Menghadapi Musibah

Takaful ialah produk perlindungan yang berlandaskan syariah. Takaful sememangnya berbeza dengan insurans. Hal ini kerana takaful menggunakan konsep ‘bantu-membantu’ di kalangan peserta takaful. Tiada unsur faedah dan ketidakpastian (gharar) sebagaimana kontrak insurans konvensional.

Produk takaful adalah keperluan bagi anda yang mempunyai tanggungan dan sebagai persediaan menghadapi musibah seperti sakit. Anggaplah ia sebagai suatu perbelanjaan untuk masa depan.

3. Melabur Tanpa Berhutang

Matlamat pelaburan ialah menambah nilai daripada apa yang kita miliki. Pakar kewangan tidak menggalakkan kita membuat pelaburan melalui pinjaman. Setiap pelaburan mempunyai risiko masing-masing. Tahap risiko bergantung kepada jenis pelaburan yang disertai.

Pelaburan dalam saham berpotensi untuk mendapat untung yang tinggi, risikonya juga tinggi berbanding pelaburan unit amanah saham. Untung dan risiko juga lebih rendah.

Pinjaman akan mengikat kita dengan komitmen hutang. Hutang pula semestinya perlu dijelaskan walaupun kita berada dalam fasa kerugian. Oleh itu, hutang akan menambah beban kewangan jika tidak diuruskan dengan betul.

4. Menunaikan Zakat dan Bersedekah

Zakat merupakan rukun Islam yang ke-4 dan menjadi tanggungjawab ekonomi setiap umat Islam. Zakat dikenakan ke atas harta yang telah cukup jumlahnya (nisab) dan tempohnya (haul). Pusat zakat menerima bayaran zakat dan mengagihkan kepada lapan golongan yang disyariatkan sebagai penerima zakat.

Zakat tidak sama sekali mengurangkan harta. Kadar 2.5% daripada pendapatan amat besar ertinya bagi golongan yang memerlukan. Secara tidak langsung, pengeluar zakat melaksanakan tanggungjawab kepada saudara seagama.

Sedekah adalah pelengkap kepada zakat. Sesiapa pun boleh memberi sedekah tanpa mengira jumlah harta dan ia boleh dilakukan bila-bila masa.

Kesimpulannya, harta dan kekayaan mampu menjadi sebab kita dimasukkan ke dalam Syurga dan menjadi sebab kita diheret ke Neraka.

Mencari harta dan kekayaan tidak ditegah sama sekali namun haruslah berpandukan ajaran al-Quran dan sunah dengan tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Jika kekayaan itu digunakan untuk meninggikan agama Allah, sudah tentu ianya akan menjadi hujah untuk kita di akhirat nanti. Dan kekayaan tidak datang tanpa adanya pengurusan kewangan yang baik. “Dan apa saja yang kamu infakkan, Allah akan menggantinya dan Dialah pemberi rezeki yang terbaik.” (Surah Saba’: 39)

Ketua dan Timbalan Ketua Jabatan Bendahari dan Biro Ekonomi,
PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2021/2022.

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?