[MINDA PIMPINAN JSU | “PROFESIONAL, BERINTEGRITI, BERSISTEMATIK”]

0

PROFESIONAL, BERINTEGRITI, BERSISTEMATIK

      Pengurusan yang baik merupakan kekuatan utama dalam merealisasikan agenda utama organisasi yang dicita-citakan. Mengusung tema ‘Profesional, Berintegriti, Bersistematik’ dalam gerak kerja pengurusan, kami akan mengulas sedikit berkenaan definisi daripada tema yang kami bawa dalam minda pimpinan Jabatan Setiausaha kali ini. Menurut kamus Bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, profesional bermaksud kemampuan atau kemahiran yang khusus untuk melaksanakan suatu kerja, cekap (teratur) dan memperlihatkan kemahiran tertentu. Selain itu, ia juga bermaksud orang yang mengamalkan (kerana pengetahuan, kepakaran dan kemahiranya) suatu bidang profesion. Berintegriti pula membawa makna kejujuran, atau ketelusan. Ia bererti segala gerak kerja yang dilakukan bebas daripada sebarang bentuk penyelewengan. Bersistematik pula bermakna pengurusan yang mengikut sistem yang ditetapkan.

      Secara tidak langsung tema ini begitu banyak menggambarkan peranan, tanggungjawab dan amanah sebagai seorang penjawat Jabatan Setiausaha. Pendek kata, begitu besar amanah yang perlu digalas oleh setiap pemimpin. Menjadi pemimpin bukanlah kerja yang mudah. Bukan sahaja pandai untuk menuturkan kata-kata dan menabur janji agar mendapat perhatian dan sokongan daripada ahli. Namun, pemimpin perlu bersedia untuk berhadapan dengan 1001 cabaran yang mendatang serta perlu bersikap bijak untuk menguruskan kehidupan peribadi, pelajaran dan juga gerak kerja. Hal ini kerana, setiap amanah merupakan tuntutan Ilahi yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Seperti sabda Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan disoal di hari akhirat tentang perkara yang kamu pimpin.”

(Hadis Riwayat Muslim)                                

“Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya maka kalimah itu boleh mencampakkannya ke neraka lebih sejauh antara timur dan barat.”

 (Hadis Riwayat al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256, no 2988)

     Kita semua telah pun maklum akan tanggungjawab dan kesibukan harian kita sebagai pelajar sains kesihatan di bumi Mesir. Di samping kelas di kuliah, klinik atau hospital, banyak lagi kelas – kelas di luar yang disertai oleh para pelajar kita seperti kelas tahsin dan tahfiz al-Quran dan lain-lain. Tidak ketinggalan, aktiviti organisasi pelajar yang perlu dilaksanakan untuk menjaga kebajikan para ahli. Oleh itu, pentinglah bagi kita untuk bersikap profesional dan sistematik dalam menjalankan segala tanggungjawab ini agar dapat diselesaikan dengan sebaiknya. Sebaliknya, jika kita tidak bersikap demikian, kita akan berasa kalut dan serabut disebabkan aktiviti harian kita tidak tersusun. Kita juga akan cenderung untuk menyiapkan kerja pada saat-saat akhir. Hal ini kurang baik kerana kerja yang dibuat tidak efisien dan dikhuatiri akan berlaku kesilapan dan kecelaruan maklumat.

Cara membentuk peribadi yang profesional

        Dalam bersikap profesional, penting bagi kita untuk memperhatikan kualiti proses mahupun hasil daripada segala tanggungjawab yang kita laksanakan. Telah ditegaskan dalam al-Quran bahawa esensi daripada kehidupan sehingga kematian setiap insan tidak lain dan tidak bukan ialah untuk menilai siapa yang paling baik amal perbuatannya.

 اِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى الْاَرْضِ زِيْنَةً لَّهَا لِنَبْلُوَهُمْ اَيُّهُمْ اَحْسَنُ عَمَلًا

“Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, untuk Kami menguji mereka, siapakah di antaranya yang terbaik perbuatannya.”

(Surah al-Kahfi: 7)

           Untuk kita mengambil contoh terbaik, kita dapat meneladani karakter Baginda Rasulullah SAW dalam membina jati diri sebagai pelajar mahupun pengamal sains kesihatan yang profesional, rabbani dan kompeten. Antaranya ialah:

1. Siddiq (Jujur): Kejujuran merupakan modal insan yang paling berharga. Dalam apa jua tanggungjawab, sayugianya sifat jujur sentiasa menghiasi tutur kata dan perbuatan.

2. Amanah (Dapat dipercayai): Rasulullah SAW diberi gelaran al-Amin disebabkan sifat Baginda yang sangat dapat dipercayai. Rasulullah SAW dapat menuai kejayaan dalam apa jua bidang yang ditekuninya setelah Baginda berjaya membangun kepercayaan masyarakat atas integriti dan kredibiliti yang dimilikinya.

3. Tabligh (Menyampaikan): Secara harfiah, tabligh bermakna menyampaikan seuatu perkara dengan benar adanya, tanpa ditutup-tutupi. Antara dimensi dalam tabligh ialah menyampaikan pesan-pesan kebenaran, kebaikan dan ilmu pengetahuan untuk membangun nilai positif dalam masyarakat. Selain itu, dalam tabligh juga terkandung makna keterbukaan. Perilaku terbuka atau telus amat penting dimiliki oleh seorang profesional. Contohnya; sebagai pimpinan ada situasi tertentu di mana kita perlu bersikap terbuka kepada ahli. Misalnya, ketika kita lambat memberi makluman yang diminta oleh ahli daripada pihak universiti, kita perlu memaklumkan kepada ahli tentang masalah yang berlaku sehingga terjadinya kelewatan tersebut agar ahli tidak tertanya-tanya.

4. Fathanah (Bijaksana): Tidak dapat tidak, daya intelek merupakan parameter yang penting untuk mengukur kemampuan seseorang. Kebijaksanaan Rasulullah SAW terbukti pada peristiwa peletakan Hajarulaswad di Masjidilharam. Untuk meleraikan pergaduhan kabilah-kabilah Quraisy, Rasulullah SAW membentangkan serbannya dan meminta setiap kabilah untuk memegang hujung serban untuk mengangkat Hajarulaswad untuk diletakkan pada tempatnya. Oleh itu, kebijaksanaan bukan sahaja cerdas tetapi juga berwawasan dan inovatif.

Selain nilai-nilai tersebut, seorang profesional muslim harus dihiasi dengan sifat ikhlas serta sentiasa memelihara tujuan hidupnya iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah untuk mencapai mardatillah.

Sifat-sifat ini haruslah menjadi tunjang dan asas utama dalam kehidupan seseorang muslim selari dengan tuntutan baginda Nabi Muhammad SAW yang berbunyi:

إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى، فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله، فهجرته إلى الله ورسوله، ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها، فهجرته إلى ما هاجر إليه

“Sesungguhnya segala amalan itu tidak lain tergantung pada niat; dan sesungguhnya tiap-tiap orang tidak lain (akan memperoleh balasan dari) apa yang diniatkannya. Barangsiapa berhijrah menuju (keredaan) Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya itu ke arah (keredaan) Allah dan rasul-Nya. Barangsiapa berhijrah kerana (harta atau kemegahan) dunia yang dia harapkan, atau kerana seorang wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu ke arah yang ditujunya.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hakikat niat ialah bagaimana seseorang menguasai dirinya agar tidak menginginkan pujian manusia ketika hendak beramal atau dalam erti kata lain; ikhlas hanya kerana Allah. Semua amalan selalu bersumber daripada niat. Setiap orang akan memperoleh balasan daripada apa yang telah diniatkannya. Apabila niatnya baik akan dia akan memperoleh pahala kebaikan dan apabila niatnya tidak baik dia akan memperoleh balasan yang buruk.

Kesimpulannya, dalam membina jati diri seorang muslim yang profesional, berintegriti dan bersistematik, haruslah kembali semula kepada jalan yang ditunjukkan oleh Islam itu sendiri menerusi sirah perjuangan Baginda SAW. Bagaimana hebatnya kerajaan Islam suatu ketika dahulu sehingga berjaya menakluk dunia. Sudah tentu daripada pengurusan dan urus tadbir yang sistematik dan profesional tanpa meninggalkan kewajipan dan hak kepada Yang Maha Mencipta.

Ketua dan Timbalan Ketua Jabatan Setiausaha,
PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2021/2022.

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?