[MINDA PIMPINAN NP | “PERANCANGAN BERSTRATEGI, PENGURUSAN BERINTEGRITI”]

0

PERANCANGAN BERSTRATEGI, PENGURUSAN BERINTEGRITI

Sebagai umat Islam, kita dituntut untuk sentiasa merancang kehidupan seharian kita secara teratur dalam setiap perkara misalnya dalam hal ehwal ibadah, pengurusan diri dan sebagainya. Islam mendidik kita melalui ibadat solat lima waktu sehari semalam. Betapa cantiknya perjalanan kehidupan kita seharian jika mengikut jadual solat kita. Perancangan ini boleh dibantu dengan penyusunan strategi atau ‘masterplan’ untuk setiap perkara.

Penyusunan strategi merupakan perkara yang sangat penting dalam kehidupan seseorang individu atau organisasi bagi menentukan kejayaan dan kecemerlangan perkara yang ingin dilakukan. Malah strategi yang teratur dan terbilang juga ditunjukkan oleh junjungan mulia Rasulullah SAW dalam sirahnya untuk merealisasikan visi dakwah baginda. Dalam peristiwa Hijrah, Nabi Muhammad SAW menugaskan Saidina Ali bin Abi Talib untuk tidur di tempat Rasulullah SAW sebagai strategi untuk memperdayakan dan mengaburi musuh. Perkara ini menyebabkan musuh tidak sedar dan alpa dengan keberadaan sebenar baginda Rasulullah SAW pada malam peristiwa hijrah ke Madinah berlaku. Itu salah satu strategi bijaksana yang dilakukan Rasulullah. Banyak lagi contoh yang boleh diambil dari peristiwa sirah jika kita sama-sama telusuri. Hal ini menujukkan dengan strategi yang berkesan, perancangan dapat dijayakan dan kejayaan dapat digapai.

Dalam penyusunan strategi yang berkesan, seseorang individu itu perlu mengambil beberapa langkah sebelum bertindak untuk merancang iaitu mengenal pasti masalah, meneliti pilihan-pilihan yang ada, fikirkan akibat dan kebarangkalian yang mungkin berlaku bagi setiap pilihan, tentukan nilai yang terbaik dan membuat perancangan berdasarkan keputusan yang dipilih. Berdasarkan langkah-langkah tersebut, ia dapat mengelakkan kegagalan dan mengurangkan kesan negatif hasil dari perancangan yang dibuat. Hal ini sekali gus membantu individu itu untuk membuat perancangan seterusnya yang lebih baik. Justeru, langkah-langkah ini dapat membantu dalam proses perancangan dan penyusunan strategi bagi perkara-perkara yang ingin dilakukan.

Sebagai seorang mahasiswa, kita harus merancang dan menyusun jadual seharian supaya setiap komitmen dapat dilaksanakan sebaiknya. Hal ini kerana ada yang terlibat dengan aktiviti persatuan, kelas tambahan, kelas talaqqi al-Quran selain kelas di kuliah itu sendiri. Tanpa penyusunan yang baik dan perancangan yang teratur, mungkin sukar untuk kita selesaikan semua ini. Antara tip merancang dengan berkesan ialah:

  1. Letakkan sasaran ‘target yang ingin dicapai yang bersifat realistik, tepat dan mampu dicapai.
  2. Tentukan tempoh masa untuk merealisasikan sasaran tersebut. Dengan ada tempoh masa untuk setiap perancangan, pergerakan dan tindakan kita tidak akan tersasar dari sasaran utama.
  3. Buat analisis tentang kekuatan dan kelemahan diri serta organisasi. Penilaian dari semasa ke semasa mengenai perkara ini dapat menampung kekurangan dan memaksimumkan potensi yang ada.
  4. Susun strategi atau pelan tindakan yang bersesuaian berdasarkan kekuatan dan kelemahan yang ada.
  5. Sentiasa memantau pelan tindakan yang dibuat serta fleksibel dengan pendekatan yang dilakukan.
  6. Belajar daripada muhasabah dan kegagalan sebelum ini.

Maka, dengan mengaplikasikan tip ini, perancangan yang dibuat dapat dijayakan dengan cemerlang.

    Impaknya apabila seseorang individu itu merancang dengan baik, setiap sasaran yang diletakkan dapat dicapai dengan sempurna dan baik. Sasaran yang berjaya dilakukan pastinya dapat mendatangkan hasil positif kepada individu yang terlibat. Seandainya ia mendatangkan kebaikan kepada individu beragama Islam, sudah pasti secara tidak langsung ia menaikkan syiar agama kita. Selain itu, dengan perancangan yang baik, keputusan dan hasil yang tertinggi juga akan diperoleh. Sebagai contoh jika seorang pelajar menyusun jadual belajar untuk peperiksaan dengan teliti dan terperinci, keputusan yang cemerlang pasti mampu untuk dicapai. Tambahan pula, perancangan yang mantap menatijahkan kejayaan yang berpanjangan dan berkekalan. Setiap perancangan yang mana diiringi dengan penilaian dan analisis pergerakan akan membantu proses melicinkan pergerakan pada masa akan datang.

Tuntasnya, sebagai mahasiswa dan umat Islam, perancangan yang berstrategi menjadi asas dan instrumen penting dalam kehidupan. Bukan sahaja selaku seorang pelajar, bahkan selaku anggota masyarakat kelak. Seseorang itu lah yang mencorakkan dan menyusun 24 jam/1440 minit dalam masa seharian mereka.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Anfal ayat 53 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

Nikmat masa dan umur yang ada seharusnya kita manfaatkannya dengan perancangan ibadah atau aktiviti yang menaikkan iman. Seandainya nikmat ini tidak diuruskan dengan baik, maka akan terbazirlah ia dan juga bakal memberi kesan yang negatif kepada Islam.  Islam menuntut kita menjadi seorang muslim yang tersusun dan teratur dalam urusan kehidupan bahkan Allah SWT juga mengasihi mereka yang berbuat demikian. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah as-Saf ayat 4 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”

    Akhir kata, iringilah setiap perancangan yang dibuat dengan tawakal kepada Allah SWT. Kita sebagai hamba-Nya yang lemah dan lelah perlulah mengharapkan bantuan dan berdoa kepada Allah untuk setiap perkara yang dirancang. Moga Allah reda dan memberi kejayaan buat kita semua sama ada di dunia mahupun di akhirat. Ayuhlah sama-sama menjadi mahasiswa yang berstrategi untuk Islam!

Naib Pengerusi I dan Naib Pengerusi II,
PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2021/2022.

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?