[MINDA PIMPINAN PTP | “PCA: OUR FAMILY, OUR UNITY”]

0

“PCA: Our Family, Our Unity”

KESATUAN MERUPAKAN TUNJANG

Tema ini membawa makna yang besar dan mendalam. Keluarga sangat sinonim dengan keakraban, kebersamaan dan kesatuan. Perkara ini akan terlintas dalam minda bilamana perkataan ini disebut. Kebersamaan sesebuah keluarga perlu diusahakan, ia tidak datang bergolek. Begitu juga kesatuan di dalam keluarga PERUBATAN Cawangan al-Azhar, perlu disemai dan dibaja agar ianya subur dan mekar. Apabila kesatuan dapat dicapai, segala perancangan akan menjadi lebih mudah dan lancar kerana masing-masing faham kepentingan mendukung segala perkara yang telah dirancang oleh pimpinan. Lihat sahaja peribahasa melayu ini, “Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.” Ia tidak akan terjadi sekiranya tiada elemen kesatuan.

Pentingnya kesatuan ini, Nabi SAW bertindak mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar bagi meniup roh kebersamaan antara para sahabat ketika itu. Tahap ukhuwah yang ditunjukkan oleh golongan Muhajirin dan Ansar dalam membantu dakwah nabi merupakan satu perkara yang perlu dicontohi. Ya, jadikan mereka sebagai idola. Allah SWT telah meredai mereka atas usaha dan pengorbanan yang telah mereka lakukan. Perkara yang sama-sama perlu kita kejar untuk meraih keredaan-Nya dengan mengukuhkan kesatuan dan berganding bahu melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Elemen kesatuan ini perlulah dipupuk dengan baik selaras dengan seruan Allah SWT untuk Bersatu, dalam firman-Nya:

وَاعْتَصِمُوْا بِحَبْلِ اللّٰهِ جَمِيْعًا وَّلَا تَفَرَّقُوْا ۖوَاذْكُرُوْا نِعْمَتَ اللّٰهِ عَلَيْكُمْ اِذْ كُنْتُمْ اَعْدَاۤءً فَاَلَّفَ بَيْنَ قُلُوْبِكُمْ فَاَصْبَحْتُمْ

بِنِعْمَتِهٖٓ اِخْوَانًاۚ وَكُنْتُمْ عَلٰى شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَاَنْقَذَكُمْ مِّنْهَا ۗ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللّٰهُ لَكُمْ اٰيٰتِهٖ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُوْنَ

Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu semua pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu berpecah belah dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (semasa jahiliah) bermusuhan, kemudian Allah menyatukan hatimu, sehingga dengan kurnia-Nya kamu menjadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang api neraka lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk.”

(Surah Ali Imran: 103)

MEDIUM KESATUAN PCA DAN PERANANNYA

Usaha membina kesatuan ini telah dimulakan sejak PCA ditubuhkan. Pelbagai medium telah diwujudkan bagi memastikan tali ukhuwah ini dapat dijalinkan dengan lebih erat. Medium ini divariasikan sesuai dengan kecenderungan ahli yang pelbagai  sebagai satu usaha untuk mencapai seramai mungkin ahli untuk bersama-sama menggerakkan bahtera PCA ini. Bak kata pepatah, “Banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam.”

Sukan Berkala merupakan satu medium kesatuan yang dapat mengumpulkan ramai ahli. Benar sekali, ahli PCA sangat aktif bersukan. Junior mahupun senior, sukan merupakan wasilah terbaik untuk menambat ukhuwah dan juga sebagai satu medan tarbiah jasmani bagi menyempurnakan 10 muwasofat tarbiyah (sifat pendidikan). Dalam kesibukan menuntut ilmu dan menguruskan persatuan, perlu adanya satu medium untuk melepaskan kepenatan tersebut. Maka, Sukan Berkala diwujudkan.

Pernahkah kalian mendengar istilah AKHI dan UKHTI? Ini juga merupakan satu medium yang diwujudkan bagi meribat jiwa-jiwa ahli PCA. AKHI/UKHTI merupakan satu aktiviti berkonsepkan katibah (salah satu wasilah tarbiah) dimana ahli bersama-sama bermalam di Darul HAMKA dan berqiamullail pada awal pagi. Sebagai satu keluarga, perlu ada satu waktu khusus diperuntukkan untuk meningkatkan keimanan (tarbiyah ruhiyah). Telefon bimbit juga perlu dicas, inikan pula iman yang sering naik dan turun.

Bagi membina kesatuan dengan  lebih berfokus, Ziarah AJKT telah diadakan di rumah-rumah ahli secara bulanan. Ziarah merupakan satu medium yang sangat sesuai untuk pimpinan lebih rapat dan mengenali ahli dengan lebih mendalam. Meskipun kekerapannya hanya sebulan sekali, namun impaknya sangat memuaskan. Sebarang soalan, muhasabah dan cadangan penambah baikan untuk pergerakan PCA sentiasa dibuka dalam slot ziarah. Ini memberi peluang kepada ahli untuk berinteraksi dengan pimpinan. Budaya ini bukan sahaja perlu dihidupkan oleh pimpinan, bahkan sesama ahli juga bagi memupuk semangat kebersamaan dalam jiwa ahli PCA.

Laungan “Hari Rabu Hari SC” sinonim dengan Smart Circle dibawah kelolaan Mentor Council. Ia merupakan satu medium kesatuan yang mempunyai sistem yang tersendiri. Medium ini berusaha menyempurnakan wasilah tarbiah yang pertama iaitu usrah. Usrah merupakan salah satu cara pada zaman nabi untuk meningkatkan keimanan dan menyatukan umat Islam pada ketika itu. Pada hari ini, usrah dibentuk atas tujuan yang sama. Walaupun ia dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil, pengisian di dalamnya diselitkan juga berkenaan untuk bersama-sama melakukan gerak kerja amal ijtimaie.

PCA juga cuba mengumpul ahli yang mempunyai minat terhadap aktiviti kemasyarakatan dengan memperkasakan PERUBATAN for Peace and Care (PEACE) yang telah diwujudkan PERUBATAN. Antara aktivitnya termasuklah perpindahan rumah, gotong-royong Darul HAMKA, agihan sumbangan dan ziarah rumah anak-anak yatim. Sifat kesukarelawanan ini sangatlah dituntut dalam Islam sepertimana sabda Nabi SAW:


مَنِ استطاع منكم أنْ ينفعَ أخاهُ فَلْيَنْفَعْهُ

“Barangsiapa di antara kamu yang mampu memberikan manfaat kepada saudaranya maka hendaklah ia bersegera memberikan manfaat kepadanya.”

(HR Muslim)

Memberi manfaat kepada orang lain tidak akan pernah rugi. Secara zahirnya mungkin tidak nampak kelebihannya, namun hakikatnya orang yang memberi manfaat ini sedang menambah saham akhiratnya. Lihatlah para sahabat Nabi SAW, di dunia lagi telah mendapat gelaran Radhiyallahu’anhum (Allah telah meredai mereka semua). Kenapa? Hal ini kerana mereka telah mewaqafkan diri mereka supaya manfaat Islam itu dapat tersebar.

MENGAPA PERLUNYA BEKERJA DENGAN PCA & PERUBATAN SERTA KEPENTINGAN MEWAQAFKAN DIRI

“Bekerja Dengan PERUBATAN, Bekerja Untuk Islam”

Kita sering mendengar slogan ini dan pastinya menjadi slogan keramat dalam memupuk kefahaman dan semangat dalam diri semua ahli PERUBATAN umumnya. Slogan ini memberi maksud tersirat yang sangat penting kepada ahli dalam menunaikan tanggungjawab sebagai seorang mahasiswa Muslim dan menjadi asbab yang utuh untuk tetap istiqamah berada dalam keluarga PCA dan PERUBATAN.

Amar makruf nahi mungkar menjadi prinsip yang merupakan teras utama dalam menggerakkan PERUBATAN Cawangan al-Azhar. Kita bukan hanya sekadar mahu mengajak ahli untuk terus melakukan kebaikan, malah bergerak seiring dalam mencegah kemungkaran. Dalam melayari bahtera ini, menjadi suatu kewajipan untuk mengutamakan seruan Tuhan dan seterusnya menjadi satu platform yang terbaik kepada ahli untuk berbakti kerana dasar yang kita pegang ialah al-Quran dan as-Sunnah. 3 elemen utama yang menjadi matlamat dan agenda kepada seluruh pimpinan dan ahli PCA ialah:

  • Dakwah: Menyeru manusia ke arah kebaikan dan mencegah manusia daripada segala kemungkaran.
  • Tarbiah: Mendidik ahli untuk menyumbang dan berkorban dalam gerak kerja Islam.
  • Siasah: Mengajar ahli untuk mengurus organisasi dan pentadbiran dalam ruang lingkup seorang mahasiswa.

Firman Allah SWT:

لَن تَنَالُواْ ٱلۡبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُواْ مِمَّا تُحِبُّونَۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِيمٞ

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

(Surah Ali Imran: Ayat 92)

Ke mana lagi kita mahu curahkan tenaga kalau bukan untuk Islam? Oleh itu, sama-sama lah kita mewaqafkan diri dengan cuba sedaya upaya memerah keringat dan tenaga untuk masa depan PCA yang jelasnya membawa agenda Islam yang mana merupakan manifestasi cinta dan kasih sayang kepada perjuangan ini.

Ketika mana Rasulullah SAW sanggup mengorbankan jiwa dan raga demi umatnya, begitu jugalah kita sebagai umat perlu mengorbankan diri untuk agama. Nilai kecintaan itu tidak akan terbukti selagi mana tidak disusuli dengan pengorbanan.

Selaku umat Islam yang sejati, kita wajib meyakini hanya Islam mampu menyelesaikan semua masalah yang berlaku sejak dahulu, kini mahupun yang akan datang. Oleh yang demikian, di atas prinsip tsabat dan istiqamah dalam perjuangan Islam, kami menyeru kepada seluruh ahli PERUBATAN Cawangan al-Azhar untuk mengamalkan Islam dan mendukung aspirasi yang dibawa selagi mana kesatuan ini meletakkan Islam sebagai dasar utama dalam segala tindakan.

Kemenangan Islam tidak akan terbina atas kekuatan dan pemerintahan individu tetapi atas kesatuan umat Islam, keberkatan, penyusunan organisasi dan strategi yang mantap. Jadikanlah kesatuan dan medium ini sebagai tapak bagi kita sama-sama menyumbang keringat dan buah fikiran untuk mencapai tujuan dan matlamat yang sama. Tema PERUBATAN Cawangan al-Azhar bagi sesi ini ialah “PCA: Our Family, Our Unity.” Maka kami menyeru kepada seluruh komuniti PERUBATAN Cawangan al-Azhar untuk sama-sama kita hayati dan melestarikannya serta memelihara kesatuan yang dibina ini sebaiknya. Insya-Allah.

Pengerusi dan Timbalan Pengerusi,
PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2021/2022.

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?