[IHRAM’21 | CARA NABI DAN SAHABAT MENYAMBUT 10 HARI TERAKHIR RAMADAN]

0

Para sahabat Nabi begitu bersemangat dalam beribadah di sepuluh hari terakhir bagi meraih Lailatulqadar. Rasulullah SAW bersabda, ‘’Apabila tiba Lailatulqadar, maka Jibril turun ke dunia bersama kumpulan para malaikat dan akan berdoa bagi orang yang mendirikan solat malam dan duduk mengingati Allah. Dan pada Aidilfitri, Allah akan membangga-banggakan mereka di hadapan para malaikat.”(Hadis Riwayat  Baihaqi)

Begitu luar biasa kemuliaan yang dianugerahkan Allah SWT pada malam Lailatulqadar. Tidak hairanlah jika  Rasulullah SAW bersama para sahabat dan para imam serta orang-orang soleh mengambil peluang untuk tidak menyia-nyiakan keutamaan dan keagungan Lailatulqadar yang dikurniakan Allah SWT. Mereka beribadah dengan bersungguh-sungguh kepada Allah.

Walaupun telah mendapat jaminan dengan pelbagai khabar gembira, Rasulullah SAW tetap giat dan sibuk mengerjakan ibadah sehingga kaki baginda bengkak. Nabi Muhammad SAW  selalu menyambut kedatangan Lailatulqadar dengan memperbanyak ibadah.  Rasulullah SAW bersabda, ”Carilah malam Lailatulqadar pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam pada akhir bulan Ramadan.” (Hadis Riwayat Bukhari).

Para sahabat dan orang-orang soleh juga berlumba beritikaf bagi meraih kesempurnaan pahala Ramadan. Mereka begitu bersemangat menyambut dan memuliakan kedatangan tetamu agung yang istimewa bernama Lailatulqadar.

Saidina Umar al-Khattab RA memiliki cara tersendiri bagi meraih kemuliaan malam yang lebih baik dari seribu bulan itu. Selesai solat Isyak, Saidina Umar akan pulang ke rumahnya dan mengerjakan solat sepanjang malam sehingga terdengar azan Subuh.

Di samping itu, Saidina Uthman bin Affan RA menyambut tetamu yang agung ini  dengan beribadah sepanjang malam. Malamnya dimanfaatkan dengan mengerjakan solat dengan tidur sebentar sahaja pada awal malam. Sahabat Nabi ini, mengkhatamkan al-Quran setiap hari sepanjang bulan Ramadan. Beliau amat terkenal dengan kata-katanya, “Jika hati kita suci, ia tak akan pernah kenyang dari membaca al-Quran.” (Ibnu Taimiyah, Majmu’ Fatawa, bab “Al-Adab wa at-Tasawwuf).

Para sahabat pun tidak mahu ketinggalan. Mereka memburu Lailatulqadar dengan menghidupkan malam hari melalui ibadah. Syaddad RA, seorang sahabat yang dikisahkan terbiasa berbaring tanpa tidur sepanjang malam sambil mengiring ke kanan dan ke kiri sampai waktu fajar, lalu beliau berkata, ”Ya Allah ketakutan terhadap neraka Jahanam telah mengusir keinginanku untuk tidur”

Imam Syafie membiasakan diri dengan membaca al-Quran setiap hari terutama pada bulan Ramadan. Meliau sanggup untuk mengkhatamkan al-Quran sebanyak dua kali pada setiap hari sepanjang Ramadan. (Al-Dzahabi, Siyar A’lam al-Nubala’, 10/36).

Begitulah beberapa kisah baginda dan para sahabat yang diriwayatkan dalam berlumba-lumba meningkatkan ibadah di bulan Ramadan terutama pada 10 malam terakhir. Bagaimana dengan kita sebagai hamba dalam memanfaatkan masa yang berbaki dalam bulan Ramadan.

Pepatah Arab ada menyebut: “Bekerjalah untuk duniamu seakan-akan engkau hidup selamanya. Beramallah untuk akhiratmu seakan-akan engkau akan mati esoknya.” Semoga kita semua menjadi golongan hamba-Nya yang istiqamah dalam beramal serta bersungguh-sungguh dalam memanfaatkan masa yang berbaki dalam bulan Ramadan ini.

Rujukan:

1. Fatwa Al-Islam Sual wa Jawab no. 130847 (https://islamqa.info/ar/130847)

2. https://news.detik.com/berita/d-4991647/ramadhan-bulan-al-quran

3. https://m.republika.co.id/berita/qa835y458/ketika-orangorang-saleh-hendak-meraih-lailatul-qadar

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?