Pengenalan

Pengenalan

LOGO PERUBATAN

PERUBATAN merupakan suatu persatuan yang bersifat non-partisan yang berdaftar di bawah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) Mesir pada tahun 2002, menjadi platform tunggal di bumi Mesir bagi menyatukan dan mengumpul tenaga pelajar yang menuntut pengajian sains kesihatan di bumi Mesir ini dan kini PERUBATAN telah berjaya ditubuhkan dengan harapan misi penyatuan dan kerjasama di kalangan ahli dapat dicapai.

Sejarah persatuan di kalangan pelajar perubatan Malaysia di Mesir bermula dengan penubuhan Jawatankuasa Sambutan Pelajar Baru Perubatan pada tahun 2002 oleh JPMK. Penubuhan Jawatankuasa ini pada awalnya adalah semata-mata bertujuan untuk menguruskan kehadiran pelajar-pelajar baru Malaysia yang akan melanjutkan pelajaran di bidang perubatan di bumi anbia’ ini.

Agenda utama yang digagaskan oleh PERUBATAN setiap tahun adalah menjaga dan memperkasa kebajikan di kalangan ahli, di samping mengukuhkan hubungan persaudaraan dan memantapkan perpaduan sesama ahli khasnya, dan sesama umat Islam amnya. Atas tujuan dan dasar inilah, maka setiap tahun PERUBATAN berusaha mengadakan program-program yang dirasakan mampu untuk mencapai matlamat-matlamat yang digariskan tersebut. Antara program yang lazimnya disusun ialah majlis sambutan perayaan-perayaan besar Islam, Program-program Motivasi, Festival Hari Keluarga, program “Medical Check-Up”, Seminar PERUBATAN Islam, rehlah dan sebagainya.

Kini, PERUBATAN terdiri daripada PERUBATAN pusat, PERUBATAN Cawangan Iskandariah (PCI), PERUBATAN Cawangan Mansurah (PCM), PERUBATAN Cawangan Tanta (PCT), PERUBATAN Cawangan Zaqaziq (PCZ), PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK), PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS), PERUBATAN Cawangan Al-Azhar (PCA). Persatuan PERUBATAN juga telah menjalinkan hubungan baik dengan pelbagai persatuan di Mesir terutamanya Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) dalam usaha merapatkan jarak hubungan antara PERUBATAN dan golongan azhari dalam usaha memperoleh manfaat bersama dalam kesatuan mahasiswa Islam di Mesir.

Dengan jumlah tenaga ahli yang telah meningkat kepada 3300 orang lebih bagi sesi 2009/2010, PERUBATAN tidak mungkin kekeringan tenaga manusia untuk melaksanakan agenda dan dasar yang telah dirancang. Semoga semua ahli yang seramai ini dapat memberikan kerjasama dan sokongan penuh kepada pimpinan PERUBATAN yang dilantik pada setiap mesyuarat agung, agar kesatuan dan perpaduan yang manis dan indah dapat dirasai oleh setiap ahli PERUBATAN.

Alamat berdaftar dan alamat surat menyurat PERUBATAN ialah Dewan Malaysia Abbasia Kaherah, 26 Jalan Sabel El-Khazindar, Abbasia, Kaherah, Mesir.