[MINDA PIMPINAN BCARE: HEALTHY COMMUNITY, OUR PRIORITY]

0

Mega berarak indah berbalam,

Dipuput bayu di pohon ara,

Selamat pagi pemanis kalam,

Awal bismillah pembuka bicara.

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam atas segala nikmat yang diberikan kepada kita semua lebih-lebih lagi nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam juga diutuskan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Antara nikmat paling berharga sehinggakan tidak dapat dibeli dengan sekian banyaknya harta tetapi acap kali kita terlalai untuk bersyukur dengan adanya adalah nikmat kesihatan. Kesihatan adalah perihal atau keadaan sihat, segar dan baik dalam segenap aspek fizikal, mental dan rohani. Ketiga-tiga aspek ini berkait antara satu sama lain. Individu yang menghidap penyakit jantung boleh mengalami kemurungan dan sebaliknya. Individu muslim berpeluang tinggi untuk sembuh daripada penyakit dialami apabila berasa dekat dengan Allah dan ujian yang dialami akan meningkatkan darjatnya.

Pada masa dunia dilanda wabak COVID-19, ramai orang berusaha menjaga kesihatan diri dan orang sekeliling dengan sebaik mungkin. Namun, sedar atau tidak, wabak COVID-19 bukan sahaja memberi kesan kepada sistem pernafasan manusia malah kesihatan mental juga terjejas. Kajian yang dilakukan oleh Boston University School of Public Health telah menunjukkan wabak COVID-19 telah meningkatkan kadar kemurungan dengan mendadak sebanyak tiga kali ganda.

“Kemurungan adalah penyebab utama ke-3 berlakunya masalah mental dalam kalangan remaja.”

“Bunuh diri adalah penyebab ke-2 kematian individu berumur di antara 15 dan 29 tahun.”

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun 2015 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas adalah 29.2% iaitu anggaran seramai 4.2 juta orang.

Berdasarkan statistik yang dinyatakan, masalah kesihatan mental kebanyakannya berlaku dalam kalangan remaja belasan tahun dan ke atas. Ini bermakna kita adalah golongan yang terlibat iaitu mahasiswa.

Secara umumnya, kesihatan mental adalah ekspresi emosi dan melambangkan keupayaan untuk menyesuaikan diri dalam pelbagai tekanan dan tuntutan hidup. Ini bermakna kesihatan mental boleh dimaksudkan sebagai cara kita berfikir, merasa, bertindak, menghadapi sesuatu masalah dan mengatasinya serta berinteraksi dengan orang lain. Manakala masalah kesihatan mental merujuk kepada kemurungan, kecelaruan panik, kebimbangan yang melampau tentang sesuatu perkara, kecelaruan obsesif kompulsif, kecelaruan stres selepas trauma. Masalah kesihatan mental juga menjadi asbab kepada gangguan tidur.

Kemurungan merupakan punca utama berlakunya masalah kesihatan mental pada manusia. Secara kasarnya, kemurungan adalah gangguan perasaan yang menyebabkan seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah serta kehilangan minat dalam aktiviti harian. Sekiranya tanda-tanda ini berpanjangan sehingga dua minggu dia dikatakan mengalami masalah kemurungan.

• Faktor-faktor yang menyebabkan seseorang mengalami kemurungan:

  1. Masalah keluarga atau hubungan dengan orang sekeliling.
  2. Berlaku peristiwa yang menyebabkan seseorang tertekan seperti kehilangan orang tersayang.
  3. Menghidap penyakit kronik seperti kanser.
  4. Penyalahgunaan dadah.

• Cara-cara mengatasi dan membantu individu yang mengalami kemurungan:

  1. Meminta tolong daripada sahabat-sahabat terdekat. Jangan sesekali mengasingkan diri jika mengalami kemurungan. Perbuatan tersebut bukan sahaja tidak membantu malah meningkatkan lagi kemurungan.
  2. Menggalakkan individu tersebut untuk berbual dengan orang yang dipercayai seperti keluarga.
  3. Sentiasa memberi sokongan. Walaupun tidak dapat beri penyelesaian, mendengar luahan mereka sahaja dapat menolong mereka dengan baik sekali.
  4. Bantu mereka jalani aktiviti harian dan dapatkan waktu makan dan tidur yang teratur dan efisien. Pengamalan senaman dan pengambilan makanan yang sihat juga mampu mengurangkan kemurungan.
  5. Perbanyakkan doa kepada Allah kerana setiap perkara datang daripada Allah dan Allah jua yang mampu mengangkatnya. Sentiasa bersangka baik terhadap Allah dan yakin dengan janji-Nya bahawa Allah tidak akan menguji seseorang hamba melainkan dia mampu mengatasinya.

Akhir kalam, perlulah kita tahu dan sedar bahawa kemurungan juga adalah satu penyakit. Walaupun pada zahirnya individu yang mengalami kemurungan nampak baik sahaja seperti orang sihat tetapi fikirannya penuh dengan kesedihan yang dialami. Hentikan stigma dan diskriminasi terhadap mereka, mereka bukanlah main-main atau inginkan perhatian sahaja. Hulurkan bantuan kepada mereka. Kita jaga kita.

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?