[ARTIKEL MMPC | SIFAT PEMIMPIN YANG EFEKTIF]

0

Ibnu Taimiyah menjelaskan dalam kitab Siyasah Syar’iyah: “Wajib diketahui bahawa mentadbir perkara manusia termasuk kewajipan agama teragung, bahkan agama tidak bernilai tanpanya. Sesungguhnya kemaslahatan umat manusia hanya akan dicapai melalui perkumpulan, kerana sesama manusia saling memerlukan. Dan ketika berkumpul, mereka memerlukan pemimpin.” Daripada kata-kata ini, jelas bahawa pemilihan pemimpin amatlah penting dan perlu dititikberatkan dalam sesuatu gerak kerja atau organisasi. Persoalannya, apakah sifat-sifat pemimpin yang efektif?

  1. Yakin dengan tugasnya. Bagaimana untuk mengetahui seseorang pemimpin itu yakin dengan tugasnya?
  2. Memiliki sasaran yang jelas dan mampu melaksanakannya. Hal ini kerana apabila seseorang mengetahui hala tuju dan perkara yang ingin dicapai, maka dia akan berusaha ke arah merealisasikan sebuah cita-cita dan objektif tersebut. Dalam mencapai sesebuah sasaran dan objektif, seorang pemimpin perlulah percaya dengan keupayaan dirinya dan bersifat optimis.
  3. Tenang dan mampu menahan diri. Sikap ini sangat diperlukan terutamanya ketika menghadapi sebarang bentuk bahaya. Dalam sirah Rasulullah, sifat tenang ini dipamerkan oleh Abu Bakar ketika memerima berita kewafatan Rasulullah SAW. Ketika mendengar berita tersebut, Abu Bakar segera ke rumah Baginda dan menciumnya dan keluar sambil berkata: “Wahai manusia, barangsiapa yang menyembah Muhammad SAW maka sesungguhnya Baginda telah meninggal dunia, dan barangsiapa menyembah Allah SWT maka sesungguhnya dia selalu hidup dan tidak pernah mati. Kemudian, Abu Bakar membacakan ayat Surah Ali Imran: 144. Sifat tenang dan menahan diri dapat dilahirkan dengan memahami realiti, bergaul dengan masyarakat, mengatur urusan dan mendisiplinkan waktu.
  4. Rasa tanggungjawab terhadap kepemimpinan. Untuk menambah rasa keyakinan terhadap tugas  kepimpinan, seseorang itu mestilah merasakan dirinya diamanahkan tanggungjawab yang berat supaya dia tidak mudah memandang remeh tugas tersebut.

2. Mengenali anggota

Tanpa anggota siapalah pemimpin. Anggota merupakan tentera yang menjadi tulang belakang seorang pemimpin. Mengenali anggota akan melahirkan sikap bekerjasama dan keharmonian serta mengukuhkan ikatan sesama pemimpin dan anggota. Seorang pemimpin juga perlu mengetahui potensi dan kelebihan anggotanya agar dia dapat meletakkan anggota pada posisi yang besesuaian dengan mereka.

3. Cepat dan mahir serta kreatif

Seorang pemimpin perlu cepat dan mahir dalam membuat sesuatu keputusan kerana ahli berharap dan bergantung kepada pimpinan. Jika tidak, akan timbul kekacauan dan keraguan ahli kepada mereka. Di samping itu, pemimpin juga perlu kreatif dalam mencari idea-idea baru dalam melaksanakan tugasan.

4. Memberi teladan dan contoh

Apabila pemimpin memberi contoh dan teladan yang baik, maka dia akan lebih dihormati dan dicintai dan secara tidak langsung dapat melahirkan rasa ingin berkorban dalam diri setiap anggota kerana melihat pengorbanan seorang pemimpin. Contoh teragung yang dapat dilihat adalah dalam diri Rasulullah ketika dalam peperangan Khandaq apabila Rasulullah SAW turut sama memindahkan pasir hingga perutnya penuh dengan debu. Rasulullah SAW bersama-sama menempuhi dan merasai susah payah dengan para sahabat. Menjadi seorang pemimpin bukanlah menjadi tiket untuk bersenang lenang dan memerhati dari atas dan hanya bergoyang kaki. Pemimpin yang mempunyai teladan yang baik perlu berdisiplin, proaktif, rendah hati, realistik dan lemah lembut.

5. Bersikap tegas dan adil

Maksud tegas yang sebenar ialah berfikir dengan tenang, jelas dan logik di waktu yang sukar. Sifat tegas diperlukan untuk mempercepatkan pelaksanaan  tugas dan mendisiplinkan ahli. Al-Bihaqiy meriwayatkan daripada Aswad bin Yaziz, ia berkata: “Jika datang utusan menemui Umar, ia akan bertanya tentang pemimpin mereka. Apakah ia pemimpinmu menjenguk orang sakit? Apakah ia suka memerhatikan keperluan hamba sahaya? Bagaimana perbuatannya? Siapa yang menjaga pintunya?” Jika mereka menjawab bahawa sifatnya (dari pertanyaan itu) adalah tidak, maka Umar akan memecatnya (dari jawatan). Seorang pemimpin juga perlu berlaku adil dalam memberi pujian dan celaan, dalam pelaksanaan tugas dan dalam interaksinya dengan anggota.

Akhir kalam, kepimpinan merupakan salah satu tiang agama, maka agama tidak akan sempurna tanpa kepimpinan. Amanah juga bukan satu kebanggaan tapi satu taklifan dan akan dipertanggungjawabkan.

Rujukan Kitab: Qiyadah Muathiroh tulisan Ustaz Jamal Madhi

Diringkaskan oleh:

Awatif Toklubuk binti Mamad Yaidi

Tahun 5 Kuliah Perubatan Universiti al-Azhar

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?