[MINDA PIMPINAN BCAD: PERUBATAN KELAS PERTAMA]

0

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik.”

(Surah Ali-Imran: 110)

Sejarah telah tertulis bahawa setiap yang termaktub dalam al-Quran adalah benar dan kita dapat mengimbau serta membaca rekod-rekod yang sudah dicipta oleh umat Islam terdahulu. Jika kita melihat kecemerlangan umat Islam terdahulu, mungkin timbul satu tanda tanya bagaimana pencapaian tersebut boleh berlaku?

Nah, melalui petikan ayat Al-Quran di atas, sirah nabawiyah serta catatan para sejarawan telah membuktikan bahawa Islam ialah agama yang membawa bangsa kita ke arah bangsa yang terbaik walaupun titik bermulanya daripada sejarah tamadun yang hidup di padang pasir yang kering kontang hingga berjaya menggerunkan dan mengalahkan musuh-musuh yang kuat di sekitarnya dengan berbekalkan keilmuan, kekuatan, ukhuwah, strategi serta ketakwaan kepada Allah SWT. Hasil pentarbiahan secara berhikmah serta kesungguhan para pencinta Rasulullah SWT meneruskan pengorbanan Baginda dalam memberi kefahaman agama Islam yang diredai membuktikan bahawa umat Islam terdahulu telah berjaya menjadi umat terbaik sehingga hari kiamat nanti.

Pentarbiahan yang dibawa oleh Rasulullah SAW benar-benar membawa perubahan pada umat Baginda khususnya kepada pemuda yang menjadi nadi penting tersebarnya agama Islam. Direkodkan bahawa Usamah bin Zaid dalam usia yang sangat muda iaitu 18 tahun telah diberi tanggungjawab dan kepercayaan oleh Rasulullah SAW untuk memimpin pasukan yang beranggotakan para pembesar dalam kalangan sahabat seperti Abu Bakar as-Siddiq RA dan Umar bin Khattab RA untuk menghadapi pasukan terbesar dan terkuat di masa itu. Begitu juga Zaid bin Tsabit, dalam usia 13 tahun mampu menguasai bahasa Suryani sehingga menjadi penterjemah sabda Rasulullah SAW dalam tempoh 17 malam. Beliau juga menghafal kalamullah dan ikut serta dalam (pembukuan) al-Quran. Imam as-Syafie pernah berkata: “Demi Allah, nilai seorang pemuda terletak pada ilmu dan takwa. Tanpa ilmu dan takwa maka ia tidak memiliki harga diri.”

Seyogia kita sangat beruntung dilahirkan sebagai seorang Islam. Oleh itu, menjadikan Islam sebagai asas perlembagaan serta panduan dalam hidup amat penting untuk meraih reda Allah dan kecemerlangan dunia dan yang hakiki, di akhirat. Usia kita yang masih muda dan tubuh badan yang sihat dan cergas mampu menyumbangkan  tenaga serta idea yang bernas untuk bersama-sama mengislah diri dan masyarakat ke arah pembentukan muslim sejati.

‎وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ.

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, dan mengerjakan kebajikan dan berkata, “Sungguh aku termasuk orang-orang Muslim (yang berserah diri).” (Surah Fussilat: 33)

PERUBATAN yang sudah bertapak lebih dari 10 tahun di Perlembahan Nil merupakan satu wadah yang mempunyai misi utama untuk melahirkan figura pengamal kesihatan yang profesional, rabbani dan kompeten yang juga mampu mencorakkan nilai-nilai murni yang dituntut di dalam al-Quran dan as-Sunah dalam setiap langkah kehidupan mereka di alam universiti mahupun alam kerjaya kelak.

Aspek-aspek yang dibawa oleh PERUBATAN yang tidak hanya berfokus pada akademik sahaja malahan, PERUBATAN juga menekankan nilai-nilai ukhuwah, kerjasama, biah soleh dan solehah, nilai profesionalisme, dan lainnya  dalam kalangan mahasiswa/i untuk mendedahkan mereka tentang pentingnya bekerja dan beramal dalam Islam secara holistik dan mencakupi semua aspek kehidupan dunia dan akhirat.

Oleh itu, marilah sama-sama kita murnikan dan sucikan niat kita, dan beristiqamah dalam apa jua kebaikan yang kita lakukan. Bersama berganding bahu, “Bekerja dengan PERUBATAN, Bekerja untuk Islam.”

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?