[MINDA PIMPINAN BPP: OUR FUTURE, BEGINS HERE]

0

Bismillah. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam atas segala nikmat yang telah dikurniakan. Selawat dan salam kepada jujungan Nabi Muhammad SAW kerana dengan titik peluh baginda dan para sahabat maka kita dapat mengecapi nikmat Islam pada hari ini.

Sempena dengan musim peperiksaan dan kehadiran pelajar-pelajar ke Mesir pasca cuti panjang disebabkan oleh pandemik COVID-19, sukalah kami untuk mengulas lebih lanjut tentang tajuk yang diberikan berkaitan dengan menuntut ilmu demi menuju reda Allah SWT.

Firman Allah dalam surah Taha ayat 114,

فَتَعَٰلَى ٱللَّهُ ٱلْمَلِكُ ٱلْحَقُّ ۗ وَلَا تَعْجَلْ بِٱلْقُرْءَانِ مِن قَبْلِ أَن يُقْضَىٰٓ إِلَيْكَ وَحْيُهُۥ ۖ وَقُل رَّبِّ زِدْنِى عِلْمًا

“Maka Maha Tinggilah Allah, yang menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata “Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku.”

Ilmu pengetahuan ialah satu proses pembentukan pengetahuan yang terus menerus sehingga dapat menjelaskan sesuatu dengan berdasarkan sumber daripada wahyu Allah SWT, hati dan semesta yang dikaji dengan kritis sehingga dapat memahami hakikat dan memperoleh hasil yang benar. Hal ini kerana, ilmu sendiri berperanan penting dalam peradaban manusia. Selain itu, al-Quran merupakan sumber ilmu dan pedoman hidup bagi seluruh umat manusia agar mereka tidak sesat.

Ilmu harus dicari sehingga kita mengenali siapakah Tuhan yang telah menciptakan kita dan alam ini. Sesungguhnya hakikat kehidupan ini ialah kita tidak boleh lari daripada pengorbanan kerana jalan mujahadah adalah jalan menuju mahmudah. Tangganya licin dan berlumut, basah dan berselut, tiada perhentian untuk berehat kerana bukan di sini untuk melepaskan penat tetapi di tempat yang kekal selama-lamanya iaitu akhirat.

مَنْ خَرَجَ فِى طَلَبُ الْعِلْمِ فَهُوَ فِى سَبِيْلِ اللهِ حَتَّى يَرْجِعَ

“Barang siapa yang keluar untuk mencari ilmu maka ia berada di jalan Allah hingga ia pulang.” (HR Tirmidzi)

Sesungguhnya Allah SWT sangat memuliakan seorang muslim yang keluar untuk mencari ilmu. Allah SWT akan melipat gandakan pahala yang akan diperoleh oleh penuntut ilmu yang mengembara beribu batu untuk mencari ilmu. Walaubagaimanapun, untuk memperoleh ilmu, terdapat beberapa perkara yang perlu dititikberatkan, antaranya ialah adab-adab ketika menuntut ilmu.

Berikut merupakan adab-adab yang harus diketahui oleh kita sebagai penuntut ilmu:

  1. Niat menuntut ilmu semata-mata kerana Allah Taala.

Seperti firman Allah SWT dalam surah al-Bayyinah ayat 5:

“Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.”

Justeru, niat merupakan asas utama dalam melakukan sesuatu perkara kerana dengan niat akan mendorong seseorang melakukan perkara yang baik atau buruk. Seorang muslim yang ingin menuntut ilmu harus mengikhlaskan diri kerana Allah SWT supaya ilmu yang diterima mendapat pahala dan diredai oleh-Nya serta dapat diamalkan dengan sebaik mungkin dan disebarkan kepada rakan-rakan.

2. Berdoa ketika hendak menuntut ilmu.

اَللَّهُمَّ افْتَحْ عَلَيْنَا فُتُوْحَ ﭐلعَارِفِيْنَ وَارْزُقْنَا فَهْمَ النَّبِيِّـيْنَ وَإِلْهَامَ ﭐلمَلاَئِكَةِ المُقَرَّبِيْنَ بِرَحْمَتِكَ يَآ أَرْحَمَ الرَّاحمِيِنَ

“Ya Allah, bukakanlah pintu hati kami sebagaimana orang-orang yang arif, kurniakanlah kepada kami kefahaman nabi-nabi dan ilham para malaikat yang hampir dengan-Mu, dengan Rahmat-Mu Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.”

3. Bersungguh dalam menuntut ilmu.

Rasulullah SAW bersabda:

“Dua orang yang rakus yang tidak pernah kenyang iaitu: Orang yang rakus terhadap ilmu dan tidak pernah kenyang dengannya dan orang yang rakus terhadap dunia dan tidak pernah kenyang dengannya.” (HR al-Baihaqi)

Ketika kita menuntut ilmu, kita tidak boleh merasa cukup dengan ilmu yang dimiliki sedangkan ilmu Allah SWT sangat luas dan hendaklah sentiasa merasa haus akan ilmu pengetahuan. Tuntutlah ilmu seolah-olah tidak pernah kenyang dengan ilmu yang didapatkan dan hendaklah kita sentiasa berkeinginan untuk menambah ilmu pengetahuan.

4. Menjauhi maksiat.

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Seorang hamba apabila melakukan suatu kesalahan, maka dititikkan dalam hatinya sebuah titik hitam. Apabila ia meninggalkannya dan meminta ampun serta bertaubat, hatinya dibersihkan. Apabila ia kembali (berbuat maksiat), maka ditambahkan titik hitam tersebut hingga menutupi hatinya. Itulah yang diistilahkan ‘ar-Raan’ yang Allah sebutkan dalam firman-Nya (yang ertinya), ‘Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.”

Untuk seorang penuntut ilmu, ilmu yang berkat dan bermanfaat dapat digapai apabila kita menjauhi maksiat kerana maksiat akan membuatkan otak kita susah untuk berfikiran jernih dan fokus ketika menuntut ilmu. Ilmu itu cahaya dan sesungguhnya cahaya tidak akan masuk ke dalam hati yang dilitupi dengan kegelapan maksiat.

5. Jangan sombong ketika menuntut ilmu.

Jika inginkan ilmu yang bermanfaat, jangan sombong dan harus merendahkan diri ketika menuntut ilmu.

“Dua orang yang tidak belajar ilmu: Orang yang pemalu dan orang yang sombong.” (HR Bukhari)

6. Memberikan sepenuh perhatian saat guru mengajarkan ilmu.

وَإِذَا قُرِئَ ٱلْقُرْءَانُ فَٱسْتَمِعُوا۟ لَهُۥ وَأَنصِتُوا۟ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

“Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-A’raf: 204)

Adab yang lain menuntut ilmu adalah menjaga adab dengan guru ketika di dalam kelas atau tempat belajar. Jangan berbicara atau melakukan perkara yang tidak ada kena mengena dengan pembelajaran yang disampaikan dengan erti kata lain memberi sepenuh perhatian kepada pembelajaran tersebut.

Akhir kalam, kita juga memerlukan keyakinan atas apa yang kita perjuangkan kerana keyakinan menjadi satu bahan bakar utama untuk meraih kejayaan. Iringilah doa kepada-Nya dan usahalah sehabis mungkin serta bertawakal kepada Allah SWT. Semoga jalan yang kita pilih ini sentiasa diredhai oleh-Nya. Semoga selamat di titian sirat dan bahagia menuju syurga abadi. Bersabarlah dan bertabahlah dalam berjuang menuju redha Allah SWT kerana selepas kesusahan pasti disusuli dengan kemudahan.

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?