[ARTIKEL GRADUAN | ILMU + TAKWA = SOLUSI]

0

ILMU+TAKWA = SOLUSI

“Alhamdulillah, tahniah. Kita semua lulus peperiksaan tahun akhir.”

Beberapa kali aku ulang baca mesej yang diberikan dalam WhatsApp itu. Cuba menghadam sebaiknya mesej tersebut.

“Alhamdulillah, ya Allah.”

Luahan rasa syukur turut diungkap oleh sahabat yang ada di sisi diiringi air mata kegembiraan. Lega seleganya perasaan aku ketika itu setelah hampir sebulan lebih berdebar menunggu keputusan.

……………..

Akhirnya, aku pulang ke tanah air setelah selesai majlis graduasi. Tidak sabar untuk berjumpa keluarga yang sentiasa mendoakan dan memberi sokongan ketika aku masih menuntut ilmu di bumi Mesir. Perjalanan menuntut ilmu selama lebih enam tahun di sini bukanlah satu perjalanan yang mudah, tetapi pastinya sangat berguna untuk kehidupan aku di masa akan datang.

Dan, kepulangan aku ke tanah air ini bakal membuka fasa yang baru dalam hidupku. Fasa membuat persediaan menuju ke alam pekerjaan.

………….

6 bulan berlalu,

“Betul ke pilihan aku nak jadi doktor ini?”

Aku mula mempersoalkan keputusan aku ini. Status-status berkaitan doktor pelatih di media sosial mula menghantui diri. Belum disebut lagi perihal golongan antivaksin dan doula yang sentiasa mengelirukan masyarakat berkaitan ilmu perubatan.

Bukan mudah untuk mencapai segulung ijazah. Beban kerja yang berat ditambah pula dengan kerenah golongan’jahil’ ini seakan-akan mematikan impian aku untuk bergelar doktor. Perasaan putus asa dan serabut silih berganti menyerang mindaku.

“Leya, ingat lagi tak niat nak jadi doktor dulu?”

Pertanyaan sahabatku kembali bergema dalam minda. Sering kali dia menjadi teman untuk berbicara dan setiap kali itu juga dia berjaya memujuk keresahan hati aku.

“Ya, niat untuk selamatkan nyawa manusia.”

“Dan, jiwa manusia juga.”

Keluhan kecil turut keluar mengiringi jawapan yang aku berikan. Hakikatnya, aku teramat sedar bahawa ini merupakan salah satu cabaran yang aku akan hadapi kelak. Namun, tugas memelihara nyawa manusia lebih besar dan sama sekali aku tidak menafikan perlunya penerangan yang baik disampaikan kepada masyarakat berkaitan salah faham mengenai ilmu perubatan.

Situasi ini mengingatkan aku kepada golongan agamawan. Cabaran untuk menyampaikan dakwah dan wujudnya ideologi selain fikrah Islamiah yang turut serta menggugah pemikiran masyarakat.

Namun, setiap cabaran pasti ada jalan penyelesaian. Aku tiba-tiba teringat dengan satu pengisian yang pernah disampaikan mengenai fikah dakwah dalam al-Quran.

Antaranya:

1. Melakukan dakwah dengan berfikir dan beramal dengan kejelasan.

2. Dakwah hendaklah mengemukakan alternatif.

3. Perlu adanya usaha untuk melindungi dakwah.

4. Pentingnya kepekaan terhadap persekitaran dakwah dan perkembangan semasa.

Nah, itu dia. Penyelesaian yang dicari-cari. Yang turut boleh diaplikasikan bukan sahaja dalam bidang perubatan malahan dalam kehidupan seharian. Walaubagaimanapun, penyelesaian ini tidak akan mampu dicapai tanpa adanya bekalan ilmu seperti tin kosong yang tidak ada gunanya. Tidak kurang sia-sianya juga jika tidak diamalkan ilmu yang ada.

Imam Syafie ada berkata:

لَيْسَ العِلْمُ مَا حُفِظَ، إِنَّمَا العِلْمُ مَا نَفَعَ

Maksudnya: Ilmu itu bukanlah sesuatu yang dihafal, tetapi yang bermanfaat.

Masih belum terlambat untuk berubah. Kutiplah segala ilmu yang ada dalam perjalanan mengejar cita-cita. Sentiasa ada peluang bagi mereka yang tidak berputus asa. Jadilah manusia yang bermanfaat, bukan semata-mata menunggu bulan jatuh ke riba.

Akhir sekali, tidak kurang pentingnya juga bekalan takwa  untuk setiap Muslim dalam menghadapi mehnah dan cabaran di atas muka bumi ini. Sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah bekalan takwa.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 197:

وَتَزَوَّدُوا۟ فَإِنَّ خَيْرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقْوَىٰ ۚ وَٱتَّقُونِ يَٰٓأُو۟لِى ٱلْأَلْبَٰبِ

Maksudnya: “Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal.”

Jelas sekali menunjukkan bahawa ilmu yang ada sepatutnya menjadikan kita manusia yang bertakwa. Seterusnya, menyelamatkan kita daripada segala kesusahan dan kekusutan. Bukan manusia yang hanya pasrah menyalahkan takdir.

Pesanan ini bukan untuk diriku sahaja, bahkan untuk diri kalian juga. Kita, manusia yang hanya menginap sementara di atas muka bumi ini sebelum berpindah ke perkampungan akhirat yang abadi.

Ayuh, persiapkan diri!

NUR ALIAA BINTI MEOR IDRIS

GRADUAN 2020

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?