[MINDA PIMPINAN JB: PENGORBANAN DAN KEMERDEKAAN]

0

Alhamdulillah, selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad SAW dan setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi nikmat iman, Islam dan ihsan sehingga ke hari ini.
Berkorban adalah satu bentuk ujian daripada Allah SWT kerana dalam menjalani kehidupan di dunia ini, kita harus melakukan pengorbanan.

Berkorban juga adalah kesanggupan untuk melepaskan sesuatu sebagai bukti setia dan cinta. Semakin besar dan berharga sesebuah pengorbanan, semakin nyata dan terbukti sesebuah kecintaan.

Misalnya, pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. kepada anaknya Nabi Ismail a.s menjadi iktibar, pedoman dan teladan buat umat Islam dalam melengkapkan diri dan sentiasa bersedia dengan ujian Allah yang sentiasa menguji keimanan dan kesabaran demi menggapai mardhatillah dan cinta-Nya.

Justeru, kita perlu berjuang melaksanakan perintah Allah demi mencapai keredaan-Nya. Perjuangan itu pula memerlukan pengorbanan. Pengorbanan yang menjurus kepada pelaksanaan perintah Illahi bagi menjamin diri dan jiwa raga mencapai keredhaan-Nya.

Memetik kata-kata Saidina Ali bin Abi Talib: “Bahawa apabila kita dapat korbankan sesuatu yang paling berharga untuk orang lain, kelebihan yang akan kita peroleh nanti lebih daripada yang dikorbankan.”
Merdeka pula bukan sekadar bebas dari penjajahan fizikal bahkan bebas juga daripada kejahilan mengenal Tuhan yang sebenar untuk menjadi hamba Tuhan yang sejati.
Para pejuang kemerdekaan mengorbankan segala yang dimiliki,sebagai bukti setia dan cinta mereka terhadap agama, bangsa dan negara demi menyampaikan seruan Islam kepada bangsa keturunan dalam negara tercinta.

Setia dan cinta mereka sudah terbukti.

Seterusnya, menjadi tanggungjawab kita yang mewarisi kemerdekaan untuk buktikan pula setia dan cintanya kita kepada agama, bangsa dan negara seperti para pejuang terdahulu.

Seperti iman perlu dibuktikan dengan amal. Maka ilmu juga perlu dibuktikan dengan berbakti dan menyumbang segala yang dimiliki.Setiap satu elemen perlulah bergerak seiring tanpa meninggalkan salah satu.

Yang penting, kemerdekaan kita dimanifestasikan dengan terus menyampaikan seruan Islam.
Gunakan segala kelebihan yang ada untuk mencapai matlamat kewujudan kita. Mengajak manusia mengenal tuhan dan berpegang teguh dengan Islam.

Akhir kalam, yakinlah bahawa pengorbanan yang kita berikan untuk agama Islam, baik pengorbanan jiwa, harta, waktu, keluarga, dan lainnya, pasti akan dibalas dengan balasan yang sebaik-baiknya daripada Allah. Dakwah tidak akan hidup dan berkembang melainkan dengan jihad. Jihad pula tidak akan berlaku tanpa pengorbanan. Inilah jalan yang telah ditempuh oleh para nabi dan solihin sepanjang zaman seperti yang dirakamkan oleh Allah SWT dalam surah an-Nisa’ , ayat 74:


فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالْآخِرَةِ ۚ وَمَنْ يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيُقْتَلْ أَوْ يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا

“Oleh itu, orang-orang (yang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada (kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah mereka berperang di jalan Allah (untuk membela Islam). Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu ia mati (gugur Syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala yang besar.” [Surah an-Nisa’ 74]

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?