[MINDA PIMPINAN JSU: ILMUWAN BERBAKTI, TEGUH SEHATI]

0

ILMUWAN BERBAKTI TEGUH SEHATI

“Para intelektual bukanlah para pemegang PhD atau para professor, tetapi mereka adalah yang sentiasa memikirkan masalah dan merangka jalan keluar buat masyarakatnya.”

Thomas Sowell (2011), Intellectuals and Society

    Mahasiswa ialah benih-benih keilmuan yang perlu dituai untuk menjadi intelektual mahupun ilmuwan yang bermanfaat buat masyarakat, agama dan negara. Apakah perbezaan antara istilah mahasiswa dan pelajar? Istilah pelajar datang tanpa tanggungjawab kepada masyarakat, pelajar hanya bertanggungjawab kepada dirinya sahaja (tugas pelajar ialah belajar) tapi mahasiswa mempunyai bebanan tanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama, bangsa dan negara.

    Nah, sudah terang lagi bersuluh mahasiswa itu ialah suatu kelompok pelajar yang berada pada peringkat tertinggi dalam sistem pendidikan formal sesebuah negara. Mahasiswa atau pemuda itu ialah aset negara, perlu digilap kemahirannya, dihamparkan dengan ilmu dan pengetahuan kerana kelak mereka ialah pimpinan negara yang memegang tampuk pemerintahan. Saidina Umar ra berkata: “Jika mahu melihat hala tuju sesebuah negara, maka lihatlah pemudanya hari ini.” Sayang seribu kali sayang, jika pemuda yang kita hasilkan tidak ghairah lagi pada ilmu, tidak cakna pada masyarakat hatta semakin meningkat sifat ananiyah dalam diri masing-masing. Ironinya, siapa pula yang bakal membela nasib masyarakat? Memacu pertumbuhan negara? Menyemarakkan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat?

ٱقْرَأْ بِٱسْمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ

خَلَقَ ٱلْإِنسَٰنَ مِنْ عَلَق

ٱقْرَأْ وَرَبُّكَ ٱلْأَكْرَمُ

ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلْقَلَمِ

عَلَّمَ ٱلْإِنسَٰنَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

1. Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),

2. Ia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku,

3. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah,

4. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan,

5. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

(Surah al-Alaq: Ayat 1-5)

    Wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah kepada Rasulullah SAW melalui pengantara malaikat Jibril ini mempunyai signifikan yang agung. Wahyu ini menggalakkan budaya ilmu melalui amalan membaca, menyuruh manusia untuk menyebarkan ilmu dengan pena dan tulisan dan menyuruh manusia untuk memulakan segala jenis perbuatan dengan menyebut nama Allah Yang Maha Agung. Allah, Tuhan yang menganugerahkan manusia dengan nikmat iman dan ilmu, Tuhan yang mengeluarkan bangsa arab daripada jahiliah menjadi umat pendukung dakwah Nabi Muhammad SAW yang mulia. Amalan jahiliah seperti menanam anak perempuan hidup-hidup, merendahkan maruah wanita, semangat assabiyah sehingga membawa kepada peperangan, merompak dan membunuh ditinggalkan. Malahan, digantikan dengan persaudaraan sesama Islam, maruah wanita dipelihara sesuai dengan hukum-hukum Islam, tidak membezakan manusia berdasarkan harta dan keturunan. Umat Islam berakhlak dengan akhlak yang paling mulia ketika itu di bawah lembayung Islam. Benarlah, kita ini hanya dimuliakan apabila beramal dengan Islam.

    Revolusi Islam terus mekar pada zaman pemerintahan Umaiyyah dan kemuncak keilmuan adalah pada zaman Abbasiyah. Bait al-Hikmah yang telah diasaskan oleh Khalifah Harun al-Rashid menjadi saksi keghairahan umat Islam menuntut ilmu, menghafal, mengkaji dan melakukan inovasi terhadap ilmu. Dikatakan bahawa di dalam Baitul al-Hikmah itu terkumpul semua buku yang berada di dunia. Bukan itu sahaja, bahkan kegiatan menterjemah karya Yunani berlaku dengan pesat dalam institusi tersebut. Karya itu ditekuni dan dilakukan pelbagai inovasi ke atasnya, hasil kebijaksanaan para ilmuwan terdahulu. Maka, tidak hairanlah apabila lahirnya nama-nama ilmuwan yang tersohor dalam pelbagai bidang seperti al-Farabi yang menguasai ilmu falsafah, Ibnu Sina penulis karya Qanun fi Tibb, al-Khawarizmi pakar matematik dan astronomi, al-Battani dan ramai lagi. Sejarah juga mencatat bahawa empat mazhab fikah tumbuh dan berkembang semasa Daulah Abbasiyah. Integrasi dalil aqli dan naqli berlaku dengan pesat sehingga menatijahkan tamadun yang agung.

Firman Allah dalam Surah al-Mujadalah ayat 11:

يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَٰتٍ…

…Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) beberapa darjat.

    Islam berkembang kerana golongan ilmuwan yang berterusan mencurahkan bakti membimbing dan membaik pulih segala norma hidup masyarakat. Peranan ilmuwan ini tidak boleh dipandang enteng kerana sejarah telah membuktikan jatuh bangun sesebuah tamadun dan negara adalah berdasarkan sejauh mana masyarakatnya menghargai nilai ilmu. Justeru, bagaimana pula perkaitan antara mahasiswa atau pemuda dengan ilmuwan? Presiden Soekarno berkata: “Berikan aku 10 orang pemuda, nescaya akan aku goncangkan dunia.” Kenapa pemuda didahulukan dalam segenap aspek berbanding golongan veteran? Hal ini kerana dalam diri seorang pemuda terkumpulnya pelbagai kekuatan, keazaman, kejernihan hati, kekuatan ingatan dan hafalan serta keteguhan jiwa. Orang muda itu keazamannya tinggi, jiwanya berkobar-kobar, harus dipandu dengan hikmah orang-orang tua. Maka, belajarlah dan bergurulah dengan mereka yang alim, galilah ilmu sebanyak yang mungkin seperti mana tamaknya Ibnu Sina mengkhatamkan pelbagai buku dalam perpustakaan milik Raja Nuh bin Mansur. Semoga lebih ramai ilmuwan dapat dilahirkan, membantu masyarakat yang dahaga ilmu, mengislahkan dan memandu masyarakat seterusnya mencipta tamadun agung yang baru.

Jabatan Setiausaha,

PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2020/2021

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?