[KENYATAAN RASMI: ITEM KEBAJIKAN KEPADA AHLI PCA KETIKA MUSIM PEPERIKSAAN]

0

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum WBT.

وَلَنَبۡلُوَنَّكُمۡ حَتَّىٰ نَعۡلَمَ ٱلۡمُجَٰهِدِينَ مِنكُمۡ وَٱلصَّٰبِرِينَ وَنَبۡلُوَاْ أَخۡبَارَكُمۡ

“Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.”

(Surah Muhammad: Ayat 31)

Seperti sedia maklum, Universiti al-Azhar telah memutuskan untuk meneruskan peperiksaan bagi pelajar-pelajar sama ada pelajar warganegara Mesir mahupun luar negara, secara atas talian atau bertulis di universiti, bermula tahun 2 hingga tahun 6.

Dengan segala kekangan yang ada, PERUBATAN Cawangan al-Azhar tetap komited untuk menjaga kebajikan ahli semampu mungkin, dengan mewujudkan beberapa pakej kebajikan bagi kemaslahatan semua ahli yang akan menghadapi peperiksaan dalam tempoh yang mencabar ini.

Diminta semua ahli mengambil perhatian terhadap beberapa item yang akan ditekankan, ianya terdiri daripada beberapa sudut:

I. KESELAMATAN

  1. Setelah merujuk pihak berautoriti iaitu pihak KBMK dan EME, pihak PCA telah mendapat sokongan kuat untuk mengeluarkan arahan kepada ahli yang akan mengambil peperiksaan di universiti untuk tinggal berasingan daripada ahli rumah yang tidak menduduki peperiksaan. Hal ini melibatkan pergerakan ahli yang terpaksa berulang alik ke universiti bagi menduduki peperiksaan. Tempoh pengasingan ialah sepanjang tempoh peperiksaan (bergantung kepada jadual masing-masing), sehinggalah dua minggu selepasnya.
  • Arahan untuk mengumpulkan ahli yang tinggal di luar kawasan Hayyu Sabiek agar semuanya menetap di Hayyu Sabiek secara sementara.
  • Kelonggaran diberikan hanya kepada ahli yang tinggal berdua di rumah (seorang akan menduduki peperiksaan di fakulti, manakala seorang lagi tidak menduduki peperiksaan di fakulti), dengan syarat ahli rumah tersebut turut mengikuti Standard Operating Procedures (SOP) kuarantin yang digariskan oleh PERUBATAN, kerana ahli rumah tersebut masih terdedah kepada risiko jangkitan apabila ada yang kerap berada di luar rumah.

II. KEBAJIKAN

  1. Kepada Ahli PCA yang Menduduki Peperiksaan di Fakulti:
  1. PCA telah memperuntukkan sejumlah bantuan kewangan kepada semua ahli yang menduduki peperiksaan sebanyak 120LE seorang bagi menampung kos pengangkutan serta sara hidup sedikit sebanyak.
  2. PCA turut membekalkan air mineral, roti, pelitup muka dan hand sanitiser kepada semua ahli yang menduduki peperiksaan.
  3. Terdapat pembahagian kumpulan pergerakan ke dewan peperiksaan untuk ahli yang akan menjalani peperiksaan, had maksima ialah 3 orang/kumpulan.
  4. PCA turut merujuk pihak BKAN serta pegawai atase sekiranya pihak mereka ingin menyalurkan sebarang sumbangan kepada pelajar sains kesihatan dari negeri masing-masing.
  • Ahli PCA Secara Keseluruhan:
  • PCA akan melaksanakan Agihan Sumbangan Kit Kebajikan 2.0 yang merangkumi pelitup muka serta sejumlah wang kepada setiap ahli iaitu sebanyak 88LE seorang.

Diharapkan semua ahli PERUBATAN Cawangan al-Azhar dapat menjaga kebajikan dan keselamatan diri serta rakan-rakan sekeliling sepanjang keberadaan di bumi Mesir ini. Peringatan juga kepada ahli-ahli yang bakal menduduki peperiksaan di universiti supaya memberi perhatian lebih terhadap pengamalan langkah berjaga-jaga dengan lebih ketat dalam erti kata lain, mematuhi SOP Peperiksaan serta SOP Rumah Kuarantin yang digariskan di peringkat PERUBATAN dengan baik. Sila pastikan juga, ahli rumah yang duduk bersama untuk mematuhi  SOP berikut secara serius dan tidak memandang enteng terhadap isu kesihatan, keselamatan serta kebajikan di sepanjang musim peperiksaan.

Semoga Allah merahmati usaha kecil ini, dan kekal meletakkan kita semua di bawah pemeliharaan-Nya.

Untuk sebarang aduan, masalah atau cadangan, sila klik pautan di bawah:

http://tinyurl.com/aduanPCA

#KitaKeluargaPCA
#KitakanRakyatMalaysia
#SayangiPERUBATAN

“PCA: Kita Satu Keluarga”
“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

Muhammad Safwan bin Khairul Anwar
Pengerusi,
PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2020/2021.

Nur Aqillah binti Ayob,
Timbalan Pengerusi,
PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2020/2021.

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?