[MINDA PIMPINAN NP: HARISUN ALAA WAQTIHI]

0

HARISUN ALAA WAQTIHI

وَهُوَ ٱلَّذِى جَعَلَ ٱلَّيْلَ وَٱلنَّهَارَ خِلْفَةً لِّمَنْ أَرَادَ أَن يَذَّكَّرَ أَوْ أَرَادَ شُكُورًا

“Dan Dia (pula) yang menjadikan malam dan siang silih berganti bagi orang yang ingin mengambil pelajaran atau orang yang ingin bersyukur.”

(Surah al-Furqan: Ayat 62)

Sesaat masa yang berlalu, belum tentu boleh dicari dan diganti semula walau dengan segunung emas. Itulah antara asbab waktu perlu dihargai dan tidak boleh dibuang begitu sahaja.

Imam Hassan al-Banna ada mengatakan: “Masa adalah sebuah kehidupan. Dan kehidupan itu adalah masa yang dia habiskan bermula daripada saat kelahiran sehingga kepada saat kematiannya.”

Kita mudah terlena dengan asyiknya masa lapang dan mudah saja leka dengan kehidupan fana. Kadangkala kita sudah merancang dan berazam untuk menggunakan masa dengan baik, akhirnya kecundang jua di hujung jalan. Begitulah realiti kehidupan kita belakangan ini.

Allah SWT telah berjanji dengan masa:

“Demi masa. Sungguh manusia dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.”

(Surah al-‘Asr: 1-3)

Melalui ayat di atas, Allah SWT  telah menyatakan bahawa manusia akan terus berada dalam kerugian kecuali bagi orang mukmin yang sedar akan kepentingan masa, lalu menggunakan masa tersebut untuk melakukan kebajikan dan kebaikan serta memberi peringatan untuk manfaat diri sendiri dan masyarakat sekeliling secara umumnya.

Namun adakah kita telah mengambil pengajaran daripada ayat di atas?

Antara kesan tidak mengatur waktu dengan baik ialah seseorang itu akan mengalami kegelisahan dan kegoyahan hidup. Hal ini adalah kerana apabila seseorang itu tidak menguruskan waktu dengan baik, dia mudah terjerumus ke dalam lembah kemaksiatan lalu maksiat tersebut menyebabkan jiwa individu tersebut menjadi tidak tenang dan resah gelisah. Selain itu, akibat daripada tidak mengatur waktu dengan baik, seseorang itu juga akan membazirkan masa dengan perkara yang kurang bermanfaat atau tiada faedah langsung kepada kehidupannya. Inilah hakikat fatamorgana kehidupan yang sering berlaku dalam kehidupan kita semua.

Rasulullah SAW telah mengingatkan kita berkenaan perkara ini dalam sabda Baginda yang berbunyi:

 “Dua nikmat yang ramai manusia tertipu, iaitu nikmat sihat dan masa lapang.”

(Riwayat Bukhari)

Hadis yang mulia ini mengingatkan bahawa masa lapang ialah nikmat yang besar daripada Allah SWT, tetapi banyak manusia tertipu dan mendapat hanya kerugian terhadap nikmat ini.

Antara bentuk kerugian ini adalah:

  1. Seseorang tidak mengisi masa lapangnya dengan bentuk yang paling sempurna seperti menyibukkan waktu luangnya dengan amalan yang kurang utama, sedangkan dia boleh mengisinya dengan amalan yang lebih baik.
  • Dia tidak mengisi waktu luangnya dengan amalan-amalan yang utama, yang memiliki manfaat bagi agama atau dunianya. Namun kesibukannya adalah dengan perkara-perkara mubah yang tidak berpahala.
  • Dia mengisinya dengan perkara yang haram, maka dia ialah orang yang paling tertipu dan rugi kerana mensia-siakan kesempatan waktu dengan perkara yang tidak bermanfaat. Bukan hanya itu, bahkan dia menyibukkan waktunya dengan perkara yang akan menjatuhkannya kepada hukuman Allah di dunia dan di akhirat.

Semua manusia berada dalam keadaan rugi apabila tidak mengisi waktunya dengan perbuatan-perbuatan yang baik. Rasulullah SAW bersabda:

 عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عُمَر رَضِيَ الله عَنْهُمَا قَالَ : أَخَذَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَنْكِبِي فَقَالَ: كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيْبٌ أَوْ عَابِرُسَبِيْلٍ وَكاَنَ ابْنُ عُمَرُ يَقُوْلُ إِذَا أَمْسَيْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الصَّبَاحَ وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الْمَسَاءَ وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ وَ مِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ رواه البخاري.

Daripada Abdullah bin Umar RA berkata, Rasulullah memegang kedua-dua belakangku kemudian bersabda: “Jadilah kamu di dunia ini seakan-akan kamu orang asing atau orang yang menempuh suatu jalan.” Ibnu Umar berkata: “Apabila kamu berada di petang hari janganlah kamu menunggu (melakukan sesuatu) hingga pagi hari (datang). Apabila kamu berada di pagi hari janganlah kamu menunggu (melakukan sesuatu) hingga petang (datang). Gunakan waktu sihatmu untuk menghadapi sakitmu dan waktu hidupmu untuk menghadapi matimu.” (HR. Bukhari)

Hadis tersebut menjelaskan tentang pentingnya waktu. Jika kita menginginkan tempat abadi yang memuaskan kelak, maka kita haruslah menyiapkan bekal yang mencukupi serta menggunakan waktu perjalanan kehidupan ini dengan sebaik-baiknya. Waktu hendaklah digunakan dengan perkara yang bermanfaat yang tidak menyalahi aturan agama. Janganlah membuang masa dengan hal-hal yang mengotori jiwa seterusnya membuat kita menyesal di kemudian hari.

Allah SWT berfirman: 

 وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ 

(Surah Fussilat: 35)

“Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keuntungan yang besar.”

Banyak orang mengetahui nilai dan kepentingan waktu, dan mengetahui perkara-perkara bermanfaat yang seharusnya dilakukan untuk mengisi waktu, tetapi kerana lemahnya kehendak dan tekad, mereka tidak melakukannya. Maka seorang muslim wajib mengubati perkara ini dan bersegera serta berlumba-lumba melaksanakan amalan-amalan soleh, serta memohon pertolongan kepada Allah SWT, kemudian bersama-sama berkawan dengan kawan yang baik.

Jika kita benar-benar mengerti tujuan hidup dan kita benar-benar memahami nilai waktu, maka seharusnya kita mengisi waktu kita dengan perkara yang akan membawa kepada reda Penguasa kita, Allah SWT. Semoga Allah selalu membimbing kita di atas jalan yang lurus.

Naib Pengerusi,

PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2020/2021

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?