MELESTARIKAN IBADAH PUASA,MANIFESTO ORANG BERIMAN

MELESTARIKAN IBADAH PUASA,MANIFESTO ORANG BERIMAN

0

PENGERTIAN PUASA:

” صوم ” atau  ” صيام ” merupakan perkataan daripada bahasa Arab yang bermaksud puasa. Menurut bahasa, puasa adalah menahan diri daripada melakukan sesuatu seperti makan, minum dan bercakap. Menurut syarak pula, puasa bermaksud menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya, bermula dari terbit fajar sehingga matahari terbenam disertai dengan niat.

KEBAIKAN BERPUASA DARIPADA SUDUT PANDANG SAINS

    Pada tahun 2016, Dr. Yoshinori Ohsumi, pakar biologi bidang sel telah menerima Anugerah Nobel dalam bidang Fisiologi atau Perubatan kerana telah berjaya menemui mekanisme sebalik autophagy. Ia berasal daripada perkataan Greek, ‘auto’ bermaksud sendiri dan ‘phagein’ bermaksud makan, apabila diterjemahkan secara terus membawa maksud makan dengan sendiri. Kajian ini menunjukkan cara badan kita membuang bahan buangan. Melalui bantuan lisosom, badan kita boleh menguraikan protein menjadi asid amino. Kemudian, ia digunakan untuk mencipta sel-sel baharu. Badan kita boleh menggunakan protein yang tersimpan dalam sel-sel yang telah rosak dan daripada bakteria melalui autophagosome.

Bagaimana cara memulakan autophagy?
    Dalam kajiannya, Dr. Yoshinori Ohsumi menggunakan kaedah puasa untuk merangsang badan kita bagi memulakan proses autophagy. Keputusannya, apabila kita berpuasa, sel-sel dalam badan kita akan hidup lebih lama dan menghasilkan lebih banyak tenaga. Tambahan pula, badan kita akan mengalami penurunan keradangan (inflammation). Jika kita memilih untuk mengurangkan pengambilan kalori, paras nitrik oksida dalam badan akan meningkat, molekul inilah yang membantu dalam detoxification.
Antara kebaikan berpuasa yang lain adalah meningkatkan kadar metabolisme dalam badan, membantu mengurangkan berat badan, mengurangkan risiko sakit jantung, diabetes, tekanan darah tinggi dan lain-lain lagi.

BADAR BUKTI KEKUATAN MUKMIN:


    17 Ramadan 2 Hijrah menjadi tarikh yang cukup bersejarah bukan sahaja bagi orang mukmin bahkan bagi semua manusia hingga masa kini. Pada tarikh inilah berlakunya peperangan pertama orang muslim menentang orang musyrik dengan jumlah orang musyrik melampaui jumlah orang muslim beberapa kali ganda.Dalam peperanagan ini , orang muslim seramai 313 dan orang musyrik seramai 1000. Jika dilihat pada jumlahnya sahaja, seolah-olah pasukan tentera muslim tiada peluang untuk menang. Tetapi, sejarah telah membuktikan kepada kita semua bahawa jumlah yang sedikit mampu mengalahkan jumlah yang banyak dengan pertolongan Allah SWT. Sesungguhnya, pejuang-pejuang mukmin tidak akan keluar dengan teguh untuk berperang kecuali setelah diberikan taufik oleh Allah SWT . Kekuatan, keberanian dan kesungguhan yang  diperoleh  adalah  berkat  daripada semangat mereka menjalani latihan demi latihan untuk membela agama Islam dan melindungi Rasul kita.


    Perang Badar ini merupakan ibu kepada kemenangan-kemenangan yang seterusnya. Antaranya, Perang Hunain, Perang Tabuk dan pembukaan Kota Mekah. Rasulullah menerangkan kepada kita akan hakikat peperangan ini melalui doa baginda kepada Allah SWT: “Ya Allah jika Engkau musnahkan pasukan Islam ini, nescaya tidak ada lagi orang yang akan beribadah kepada-Mu di atas muka bumi ini.” Maka telah jelaslah kepada kita akan kepentingan Perang Badar serta kelebihan dan kehebatan ahli Badar yang tiada tempat bagi mereka melainkan di sisi Allah SWT.


    Kemuliaan ahli Badar dapat diperhatikan dalam sepotong hadis dalam Sahih Bukhari, daripada Ibn Mas’ud,

فَقَالَ لاَ نَقُولُ كَمَا قَالَ قَوْمُ مُوسَى ‏{‏اذْهَبْ أَنْتَ وَرَبُّكَ فَقَاتِلاَ‏}‏ وَلَكِنَّا نُقَاتِلُ عَنْ يَمِينِكَ وَعَنْ شِمَالِكَ وَبَيْنَ يَدَيْكَ وَخَلْفَكَ‏.‏ فَرَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم أَشْرَقَ وَجْهُهُ وَسَرَّهُ‏.‏ يَعْنِي قَوْلَهُ‏

“Berkata Miqdad Ibn al-Aswadi kepada Rasulullah: Kami tidak akan mengatakan kepadamu seperti yang dikatakan oleh kaum Nabi Musa kepadanya: (Pergilah engkau dengan Tuhan engkau, dan berperanglah kalian berdua), tetapi kami akan berperang pada bahagian kanan, kiri, depan dan belakangmu. Berkata Ibnu Mas’ud: “Aku melihat wajah Baginda diterangi dengan kegembiraan oleh ucapan yang menggembirakannya itu tadi.”

SYARAT-SYARAT MENCAPAI PUASA ORANG SOLEH:

    Sememangnya ramai daripada kita yang berpuasa. Namun adakah ramai daripada kita yang berpuasa seperti puasa para ulama, umara dan orang-orang yang soleh? Ramai yang berpuasa hanya untuk memenuhi tuntutan agama maka ia amatlah rugi. Hal ini kerana puasa di bulan Ramadan amatlah berbeza berbanding puasa dalam bulan-bulan yang lain. Semua amalan baik yang dilakukan pada bulan Ramadan dilipat gandakan pahalanya. Oleh itu, marilah kita bersama-sama meningkatkan azam untuk mencapai martabat puasa sama seperti orang-orang yang soleh.

Berikut merupakan beberapa syarat dalam mencapai tahap puasa orang soleh seperti :

  1. Memejamkan mata dan menahannya daripada memandang perkara tercela dan dibenci agama, mengganggu hati dan melalaikan daripada mengingat Allah.
  2. Memelihara lidah daripada bercakap kosong, bohong, mencaci maki, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan sombong.
  3. Memelihara pendengaran daripada hal yang dilarang dan dibenci serta ungkapan yang diharamkan.
  4. Memelihara seluruh anggota badan seperti tangan, kaki dan perut daripada dosa. Contohnya berpuasa menahan lapar, tetapi berbuka dengan makanan haram. Imam Ghazali memberi perumpamaan seperti seorang yang membina istana yang indah kemudian memusnahkannya.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ، وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

Maksudnya: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiamullail itu tidak mendapat apa-apa daripada qiamullailnya melainkan hanya berjaga malam.”

(HR Ibnu Majah)

  • Jangan memperbanyak makan ketika berbuka hingga terlampau kenyang dan terlalu mewah dengan makanan. Bagaimana mahu melawan syaitan dan nafsu sedangkan perut yang terlalu kenyang itu sebenarnya mengundang syahwat baru? Perbuatan makan sampai terlalu kenyang bertentangan dengan maksud puasa itu sendiri.
  • Hatinya hendaklah bimbang  antara takut dan berharap sama ada amalannya diterima Allah atau puasanya ditolak hingga tergolong sebagai orang yang jauh dari rahmat Allah. Imam Ghazali menyifatkan perasaan seumpama itu harus sentiasa ada dalam diri seseorang setiap kali menunaikan ibadat.

AMALAN PARA SALAFUS SOLEH DALAM BULAN RAMADAN

    Jika kita ingin membandingkan amalan-amalan kita dengan para salafus soleh, ia umpama langit dan bumi. Namun adalah menjadi sesuatu yang baik jika kita menjadikan mereka sebagai suri teladan dalam melaksanakan ibadah. Secara tidak langsung, kita akan cuba memperbaiki amalan-amalan kita yang boleh meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT.

i. MEMBACA AL-QURAN

  • Imam Malik akan meninggalkan pelajaran hadis dan majlis-majlis ilmu untuk fokus membaca al-Quran dengan mushaf.
  • Imam Syafie mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali di luar solat.
  • Qatadah mengkhatamkan al-Quran pada hari-hari biasa selama 7 hari, pada bulan Ramadan selama 3 hari dan pada 10 hari terakhir selama satu hari.

ii. MENDIRIKAN SOLAT MALAM

  • Dari Saib bin Yazid, dia berkata: Umar al-Khattab memerintahkan Ubay bin Ka’ab dan Tamim ad-Dari mengimami manusia pada malam Ramadan (solat tarawih). Kemudian imam membaca 200 ayat hingga kami tersandar pada tongkat-tongkat kerana lamanya berdiri, tidaklah kami selesai dari solat kecuali telah mendekati waktu subuh. (HR. Baihaqi)
  • Dari Malik bin Abdullah bin Abu Bakar, dia berkata: Aku mendengar ayahku berkata: Dahulu apabila kami selesai solat malam pada bulan Ramadan, kami pun bersegera mempersiapkan makan kerana takut datangnya waktu subuh. (HR. Malik)
  • Dari Daud bin al-Husain, dari Abdul Rahman bin Hurmuz, dia berkata: Para qari (para imam terawih) dahulu membaca surah al-Baqarah dalam 8 rakaat. Maka ketika para qari membacanya dalam 12 rakaat, orang-orang melihat bahawa para imam tersebut telah meringankan bacaan untuk mereka. (HR. Baihaqi)

iii. MEMPERBANYAK SEDEKAH

  • Ketika datang Ramadhan, kedermawanan beliau digambarkan melebihi cepatnya hembusan angin.

Dari Ibnu Abbas yang berkata, “Rasulullah Saw adalah orang yang paling dermawan dan saat beliau paling dermawan adalah di bulan Ramadhan ketika malaikat Jibril menemui beliau. Malaikat Jibril senantiasa menemui beliau pada setiap malam dalam bulan Ramadhan untuk saling mempelajari Al-Qur’an. Pada saat itu Rasulullah lebih dermawan dalam melakukan amal kebajikan melebihi (cepat dan luasnya) hembusan angin.”

(HR. Bukhari dan Muslim)

  • Imam Ibn Syihab akan mengisi bulan Ramadan dengan membaca al-Quran dan memberi makan.
  • Hammad bin Abu Salamah memberi jamuan berbuka pada bulan Ramadan kepada 500 orang dan setelah Aidul Fitri beliau memberi setiap seorang 500 dirham.

FAEDAH


    Dapatlah kita perhatikan bahawa bulan Ramadan bukanlah bulan untuk bermalas-malasan, berlebihan dalam tidur dan rehat kerana penat berpuasa. Bahkan bulan Ramadan adalah bulan untuk kita menjadi lebih kuat dan tekun dalam semua pekerjaan kita, lebih-lebih lagi dalam mengerjakan amal soleh. Penemuan sains tentang kebaikan berpuasa merupakan bukti rahmat dan hebat kekuasaan Allah namun perkara-perkara tersebut bukanlah menjadi tujuan utama kita untuk berpuasa.

    Sekiranya Allah tidak meletakkan sebarang kebaikan pada puasa, masih juga menjadi kewajiban ke atas kita sebagai seorang muslim untuk berpuasa. Dibentangkan kepada kita mengenai kemenangan tentera Islam dalam Perang Badar dan amalan-amalan para salafus soleh dalam bulan Ramadan bukanlah untuk dijadikan sebagai kisah yang hanya untuk diceritakan sahaja tetapi untuk difahami dan dijadikan teladan sepanjang zaman. Dapat juga kita fahami bahawa kemenangan dan semangat orang-orang terdahulu tidak akan hadir daripada badan yang lemah kerana mereka mampu untuk memenangi peperangan ketika berpuasa, mendirikan solat malam yang panjang, mengkhatamkan al-Quran berkali-kali dan lain-lain lagi.

    Sebagai penutup, marilah kita memanfaatkan masa yang berbaki ini untuk membetulkan semula cara kita berpuasa. Hal ini supaya segala amalan yang kita lakukan tidak menjadi  sia-sia. Pada bulan Ramadan inilah Allah SWT membuka peluang seluas-luasnya pada kita untuk beribadat pada Allah dan mengumpulkan seberapa banyak pahala yang kita boleh. Kita juga tidak tahu sama ada kita masih diberi peluang atau tidak untuk bertemu Ramadan pada tahun-tahun akan datang.

RUJUKAN:

  • Silatur Riyadah bi al-Din wa Dauruha fi Tansyiati Syababi al-Muslim, Syeikh Sayyid Muhammad Alawi.
  • The Nobel Prize in Physiology or Medicine 2016, Dr. Yoshinori Ohsumi.
  • Ihya’ Ulumuddin Kitab Rahsia-Rahsia Puasa, Imam al-Ghazali.

Ghayah al-Ihsan fi Zakah al-Fitr wa Fadail Ramadan, Syeikh Abdullah Muhammad al-Siddiq al-Ghumari.

BIRO SUKAN DAN AKTIVITI LUAR

PERUBATAN CAWANGAN AL-AZHAR

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?