[MINDA PIMPINAN NP: KEPERCAYAAN TUNJANG KESATUAN]

0

Allah SWT berfirman:

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.”
(Surah Ali Imran: Ayat 103)

Penyatuan umat adalah perintah Allah yang tertulis dalam al-Quran. Pimpinan, ahli dan sistem adalah elemen-elemen dalam sesebuah organisasi, masyarakat atau negara yang memerlukan dan menguatkan antara satu sama lain. Salah satu penyumbang kekuatan dalam kesatuan adalah kepercayaan antara pimpinan dan ahli.

Contohnya sepasang suami suami isteri yang tidak mungkin bersatu tanpa adanya simpulan kepercayaan kepada pasangan mereka. Seorang majikan semestinya perlu mempercayai pekerjanya untuk memastikan perjalanan sesuatu syarikat berjalan lancar. Maka, kepercayaan ini juga perlulah ada di dalam setiap ahli terhadap kewibawaan pimpinan mereka. Bukan sekadar kepercayaan semata-mata bahkan menghormati dan taat serta kasih terhadap apa yang dilaksanakan oleh pimpinan.

Imam Hasan al-Banna juga pernah berkata, pimpinan adalah sebahagian daripada dakwah. Dakwah pula tidak akan wujud tanpa pimpinan. Jadi apakah maksud disebalik susunan ayat ini? Mengapa dikatakan pimpinan menjadi sebahagian dari seruan dakwah?

Secara mudahnya, sesebuah organisasi, kampung, sekolah sehingga ke negara memerlukan pimpinan untuk memimpin rakyat dan ahlinya kepada kehidupan beragama Islam. Sekiranya tidak wujud pimpinan dalam kalangan mereka, maka dakwah Islam yang dibawa mungkin mengalami beberapa masalah seperti perpecahan dan sebagainya. Sejauh mana wujud hubungan saling percaya-mempercayai antara pimpinan dan rakyat ini akan menentukan kekuatan sistem sesebuah organisasi, kekemasan strateginya, kejayaannya untuk mencapai matlamat dan sejauhmana ia mampu mengatasi segala rintangan dan cabaran dunia hari ini.

Sifat ini dikenali sebagai Thiqah. Syeikh Mustafa Masyhur menerangkan: “Wajib ke atas setiap muslim untuk thiqah terhadap pemimpin dengan thiqah yang tinggi tanpa batasan. Thiqah inilah yang melahirkan rasa tenang dalam hati lalu membuahkan rasa sayang, redha, hormat dan taat.” Sifat yang mulia ini perlulah ada disetiap pimpinan dan rakyat bagi kelangsungan sekecil-kecil organisasi hinggalah sebuah negara.

Imam Hasan al-Banna mendefinisikan thiqah dengan perasaan tenang, percaya, berlapang dada dan yakin kepada pemimpin dalam hal berkaitan kemampuan dan keikhlasannya sehingga menatijahkan rasa cinta, penghargaan, penghormatan dan ketaatan kepada pimpinan.

Allah SWT berfirman:

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” (Surah an-Nisa: 65)

Ayat ini menunjukkan bahawa orang mukmin adalah orang yang menjadikan pemimpin mereka iaitu Nabi Muhammad S.A.W sebagai hakim didalam setiap urusan dan mereka menerima segala keputusan nabi tanpa rasa berat hati bahkan melaksanakan dengan taat dan kasih. Di dalam Tafsir Ibnu Kathir, didatangkan satu hadis yang menceritakan berkenaan dengan ayat ini.

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Urwah, dia berkata: “Az-Zubair bersengketa dengan seorang laki-laki tentang saluran air. Lalu Nabi bersabda:

‘Siramlah hai Zubair, lalu salurkanlah kepada jiran tetanggamu!’ Kemudian orang Ansar itu berkata: ‘Ya Rasulullah! Adakah kerana dia adalah anak bapa saudaramu?’

Maka wajah Nabi pun berubah, lalu bersabda: ‘Ya Zubair! Siramlah, kemudian tahanlah air hingga memenuhi parit. Kemudian, alirkanlah air itu kepada jiran tetanggamu.’ Maka Nabi mengambilkan Zubair semua haknya dalam keputusan yang jelas, ketika orang Ansar tersebut marah. Dan adalah Nabi memberikan jalan keluar kepada keduanya terhadap urusan keduanya yang mengandung keluasan.’ Az-Zubair berkata: ‘Saya kira ayat ini tidak turun, kecuali berkenaan dengan masalah tersebut.

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ

“Maka demi Rabbmu, mereka [pada hakikatnya] tidak beriman hingga mereka menjadikanmu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan”. (an-Nisa: 65)

Demikian yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam Sahihnya, kitab at-Tafsir. Bentuknya adalah mursal dan secara makna adalah muttasil.

THIQAH PARA SAHABAT

Ketika umat Islam berhadapan dengan perang kali pertama iaitu perang Badar, Rasulullah telah memanggil para sahabat untuk membincangkan ketetapan samada mahu berperang atau tidak. Saad bin Muaz telah menyatakan sesuatu yang menunjukkan thiqah yang tinggi terhadap kepimpinan Rasulullah SAW.

Katanya: “Maralah Wahai Rasulullah dengan apa yang kamu kehendaki. Kami tetap bersamamu. Demi yang telah mengutuskanmu dengan hak, seandainya laut dihadapan kita dan kau mengharunginya, nescaya kami akan turut mengharunginya. Tiada seorangpun kalangan kami yang akan berundur. Kami tidak kisah untuk bertemu musuh nanti. Sesungguhnya sabar dalam peperangan adalah kebenaran dalam pertembungan. Mudah-mudahan Allah menenangkan kamu dengan adanya kami. Maka maralah bersama kami dalam keberkatan Allah.”

Kisah kedua menceritakan bagaimana Saidina Umar al-Khattab RA meletakkan sokongan dan thiqahnya kepada Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA untuk menjadi Khalifah yang pertama selepas Rasulullah SAW wafat. Walaupun semua maklum dengan kekuatan dan keberanian yang ada pada Saidina Umar, pun begitu dia menolak dengan berkata, “Kekuatanku adalah untukmu bersama kelebihanmu, wahai Abu Bakar”.

Sepanjang pemerintahan Saidina Abu Bakar RA, Saidina Umar al-Khattab RA setia menjadi penyokong dan pendokong yang taat kepadanya. Pada ketika masalah golongan yang enggan membayar zakat wujud, Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA bersungguh mahu memerangi golongan tersebut. Walaupun keputusan itu tidak dipersetujui oleh Saidina Umar, namun tahap kepercayaan dan ketaatan Saidina Umar RA kepada khalifah mengatasi pendapatnya.

Jika Saidina Umar tidak mencapai tahap kemuliaan ini, pasti dia terpedaya dengan diri sendiri kerana Rasulullah SAW pernah mengakui bahawa setiap perkataan dan perbuatan Saidina Umar dibenarkan sendiri oleh Allah Taala.

Itulah teladan dan contoh yang perlu diikuti, walaupun kebenaran perkataannya diperakui oleh Allah Taala, namun tetap percaya dan taat kepada pimpinannya ketika itu. Apatah lagi kita, yang jauh kedudukan dengan para sahabat alaihimusolatu wassalam, perlu lebih berhati-hati dan beringat.

ADAKAH THIQAH PENTING DALAM BERORGANISASI?

Bayangkan seseorang yang ingin meminta sahabatnya menjaga barangan berharga miliknya, dia semestinya perlu yakin dan percaya bahawa sahabatnya dapat menjaga dengan baik. Sekiranya tiadanya kepercayaan, maka sama sekali orang tersebut tidak akan meminta sesiapa pun untuk menjaga barang berharga itu.

Begitulah juga kepercayaan ini sangat diperlukan dalam berorganisasi. Ahli dan pimpinan, keduanya berhajat kepada sifat ini untuk melahirkan pergerakan yang lancar dan teratur. Gerak kerja adalah seperti barangan berharga yang disebutkan diatas, dengan wujudnya kepercayaan ini, matlamat, visi dan misi organisasi dapat dicapai dengan baik. Pimpinan dan ahli dapat merasakan kemanisan ini bilamana perkara-perkara tersebut tercapai.

Jadi, setiap gerak kerja yang diterima, perlulah ahli itu bertanya dengan lebih dalam berkenaan apa yang bakal dipundakkan keatas dirinya juga berkenaan apa aspirasi pimpinan dalam setiap gerak kerja yang bakal dilakukan. Hal ini supaya gerak kerja yang bakal dilaksanakan, dapat dilakukan dengan penuh kefahaman yang tinggi serta dapat menghayati nilai-nilai gerak kerja itu. Natijahnya, bukan sahaja gerak kerja dapat diselesaikan dengan baik malah kefahaman juga turut bertambah serta dapat menonjolkan kerapian dan kekemasan strategi dan perancangan organisasi tersebut.

Sebaliknya, bilamana pimpinan dan ahli tiada sifat thiqah antara satu sama lain, segala perancangan dan gerak kerja pastinya akan tergendala. Masing-masing menyimpan syak wasangka yang buruk dan pelbagai fikiran negatif. Pimpinan tidak yakin dengan kemampuan ahli dan ahli pula menganggap pimpinan tidak berwibawa kerana tidak pandai mendelegasikan tugas. Akhirnya, tiada gerak kerja yang berlaku. Jadi, hasil yang sepatutnya tercapai yang dapat memberi manfaat kepada ahli yang lain tidak dapat dirasai.

Oleh itu, kepercayaan pimpinan dan ahli perlulah dipupuk bagi melancarkan pergerakan organisasi dan kelangsungan dakwah kepada ahli lain dapat diteruskan.

BAGAIMANA CARA AHLI MEMANIFESTASIKAN THIQAH TERHADAP PEMIMPIN?

Pertama, ahli tidak merasa keberatan di dalam hati ketika menerima arahan pemimpin kerana percaya dengan kemampuan, kebijaksaan dan kebolehan pemimpinnya. Hal ini kerana, pandangan pimpinan adalah pandangan yang jauh ke hadapan kerana mereka melihat kebaikan umum berbanding kebaikan khusus. Banyak perkara yang telah dipertimbangkan dan bukan mudah untuk mengeluarkan sesuatu arahan dan keputusan.

Tambahan, ahli perlu merasa tenang berada dibawah pimpinan pemimpinnya selagimana tidak bercanggah dengan perintah Allah dan Rasulullah SAW. Ahli juga harus mengetahui dan berhati-hati dengan perancangan musuh Islam yang sentiasa cuba memburukkan kekuatan organisasi iaitu, pimpinan, dengan menimbulkan kecelaruan, fitnah dan khabar angin. Oleh itu, ahli perlu merujuk terus dengan pimpinannya sekiranya ada berita-berita yang tersebar. Nas al-Quran dan hadis perlu dijadikan rujukan dalam berselisih dan ahli tidak sepatutnya mengulang-ulang pembacaan sumber yang tidak dipercayai, seolah mengiyakan dan menggugat kepercayaan kepada pimpinan.

Seterusnya, sekiranya terdapat arahan pimpinan yang tidak difahami, ahli perlu mendapatkan penjelasan dari pihak atasan agar dadanya sejahtera dan mampu kembali taat semula kerana kefahaman adalah asas yang penting dalam sesebuah gerak kerja. Pelaksanaan tanpa kefahaman akan mencacatkan pergerakan organisasi dakwah itu sendiri.  

ADAKAH AHLI SAHAJA YANG PERLU THIQAH?

Tidak, aplikasi sikap ini tidak terpundak kepada ahli sahaja, bahkan barisan pimpinan mempunyai cara yang tersendiri untuk memanifestasikan sifat ini. Thiqah pemimpin terhadap ahli akan melahirkan pemimpin yang:

1. Memutuskan perkara yang dirasakan paling tepat mengikut ilmunya.

Setiap pimpinan pasti mempunyai tugas untuk didelegasikan kepada ahli dan juga perlu membuat sebarang keputusan berkenaan sesuatu perkara yang berkait dengan gerak kerja ahli tersebut. Maka, pimpinan perlulah menimbang dengan baik maslahah (kebaikan) dan mafsadah (keburukan) didalam keputusan yang ingin dikeluarkan. Dengan ini, gerak kerja yang perlu dilaksanakan diberikan kepada ahli yang betul-betul mampu melaksanakannya. Namun, pimpinan tidak terlepas untuk sentiasa memberi tunjuk ajar kepada ahli tersebut berkenaan apa yang telah ditaklifkan kepadanya.

2. Percaya dengan kemampuan ahli.

Setelah mendelegasikan tugasan kepada ahli dan memberi tunjuk ajar, pimpinan perlulah percaya dengan kemampuan ahli untuk menyelesaikan tugas tersebut. Setiap ahli mempunyai tahap yang berbeza dalam memahami dan menyelesaikan sesuatu tugasan. Adakalanya timbul di dalam hati keraguan berkenaan kemampuan ahli untuk menyelesaikan tugasan tersebut, ketika itu pimpinan perlulah menghilangkan perasaan tersebut daripada fikirannya. Bahkan, pimpinan perlulah meniupkan semangat kepada ahli tersebut dan sentiasa bertanya berkenaan masalah yang dihadapi.

3. Menerima sokongan setiap ahli dan menghargainya.

Satu kepimpinan dinaikkan atas kepercayaan ahli kepada pimpinan. Maka, setiap ahli akan memberikan sokongan yang terbaik iaitu menjadi pendokong kepada pimpinan. Justeru, pimpinan perlulah menerima sokongan ahli dan perlulah menghindari sifat berbangga diri kerana tanpa ahli, tiadanya pergerakan organisasi. Pimpinan berfikir dan merancang, dan pelaksanaan apa yang ingin dibawa oleh pimpinan tidak mungkin berjalan tanpa adanya ahli yang sanggup berkorban. Maka, pimpinan perlulah memberi penghargaan sebagai satu tanda kepercayaan kepada ahli.

4. Menerima ketaatan dari ahli dalam perkara makruf.

Antara hak sesama muslim yang disebutkan didalam hadis Nabi Muhammad S.A.W adalah mengajak kepada perkara yang makruf iaitu perkara kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran (Amar Makruf Nahi Mungkar). Seseorang pemimpin berhak untuk mengajak ahli kepada kebaikan dan begitu juga ahli, berhak untuk turut mengajak pimpinan untuk melakukan perkara yang sama. Oleh itu, pimpinan perlulah berusaha untuk menerima ketaatan tersebut dan sama-sama melaksanakannya bersama ahli. Hasilnya, kepercayaan ahli kepada pimpinan akan lebih bertambah terhadap pimpinan.

5. Menerima nasihat daripada ahli.

Nasihat merupakan satu perkara yang menghidupkan hati. Islam juga menggalakkan umatnya untuk sentiasa memberi nasihat ataupun peringatan.

Allah SWT berfirman didalam surah az-Zariyat ayat 55:

وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَىٰ تَنْفَعُ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.

Setiap orang berhak memberi dan menerima nasihat begitu juga ahli dan juga pimpinan. Pimpinan semestinya selalu memberi nasihat kepada ahli untuk memberi semangat dalam melaksanakan gerak kerja. Ahli juga boleh menasihati pimpinan sekiranya ada perkara yang perlu ditambah baik didalam organisasi dan juga untuk saling menguatkan antara satu sama lain. Dalam situasi ini, perlulah seorang pimpinan mendengar nasihat tersebut dengan baik bagi menunjukkan kepercayaan pimpinan kepada ahli.

Memetik perumpamaan Imam Hasan al-Banna tentang kepimpinan Islam. Kata Imam, pemimpin Islam sepatutnya seperti bapa dalam konteks hubungan hati, guru dalam konteks memberi manfaat ilmu, Syeikh dalam konteks pendidikan rohani dan pemimpin dalam konteks politik. Sifat-sifat pimpinan yang sejati seperti disebutkan tadi akan membantu meningkatkan kepercayaan ahli terhadap pimpinan. Namun, seruan ini bukan terkena pada pimpinan yang dilantik secara rasmi sahaja kerana ada Nabi Muhammad SAW pernah bersabda,

“Setiap dari kamu adalah pemimpin, dan akan dipersoalkan apa yang dipertanggungjawabkan untuk kamu.”

Hadis Riwayat al-Bukhari.

Jadi setiap dari kita adalah pemimpin sebenarnya, yang mesti berusaha memperbaiki diri dari masa ke semasa untuk melayakkan diri memimpin sesebuah organisasi dakwah dengan baik kerana masa akan berlalu, pemimpin akan bersilih ganti namun gerak kerja dakwah tidak akan terhenti. Persiapkan diri masing-masing untuk membantu agama Allah SWT. Akhirnya, hidup ini ibarat roda, kadang di atas, kadang di bawah. Namun ingatlah setiap posisi mempunyai hak dan tuntutan yang perlu dilunaskan. Jadilah pimpinan dan ahli yang berusaha untuk memanifestasikan sifat thiqah ini demi kekuatan dan kesatuan umat Islam. Bergeraklah kalian diatas keberkatan Allah SWT. Wallahualam.

Naib Pengerusi,
PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2019/2020.

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?