[MINDA PIMPINAN BPI: SALAH FAHAM MENGENAI JIHAD]

0

Pada 11 September 2001, dunia dikejutkan dengan satu tragedi apabila sekumpulan pemuda disyaki beragama Islam merampas kapal terbang penumpang di Amerika Syarikat dan merempuh bangunan Pusat Dagangan Dunia di New York sehingga menyebabkan lebih 6000 orang awam terkorban. Akhbar Berita Harian keluaran 2015 pula pernah melaporkan bahawa kira-kira 60 rakyat Malaysia difahamkan terbabit dengan perjuangan militan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (IS), manakala 45 orang telah ditangkap dan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Peperangan sesama saudara seagama, mengancam nyawa orang awam yang tidak bersalah serta merosakkan harta benda awam sahaja sudah membuktikan bahawa perbuatan yang dianggap sebagai jihad ini tidaklah berlandaskan Islam yang sebenar.

Dasawarsa umat Islam saat ini lemah terutamanya dalam bidang media dan penerbitan. Celah inilah yang dimanfaatkan oleh musuh-musuh Islam untuk melemahkan pergerakan umat Nabi Muhammad SAW. Bagaimanakah caranya? Sudah tentulah dengan menyebarkan propaganda menyimpang sehingga mencetuskan kekeliruan terhadap agama Islam itu sendiri termasuklah “jihadphobia”. Kebanyakan tokoh orientalis dan liberal menterjemahkan kata ‘jihad’ sebagai ‘perang suci’ ataupun holy war. Sayangnya, muslim pun latah menggunakannya. Mungkin kerana sudah terinfeksi atau termasuk dalam golongan di atas. Padahal, frasa ‘perang suci’ sendiri jika diterjemahkan ke dalam bahasa Arab adalah harbun muqoddasun. Sedangkan tidak terdapat sepatah pun perkataan harbun muqaddasun di dalam kitab suci umat Islam itu sendiri.

ISTILAH JIHAD

Dalam al-Fiqh al-Manhaji menyebut, Jihad dalam bahasa Arab ialah kata nama terbitan daripada jaahada yang bermaksud berusaha gigih untuk mencapai sesuatu matlamat. Jihad menurut istilah syariat Islam ialah berusaha gigih untuk menegakkan sebuah masyarakat Islam dan meletakkan kalimah Allah di tempat yang tertinggi, seterusnya membawa syariat Allah untuk memimpin seluruh alam. Konklusinya, jihad bererti seseorang muslim itu mencurahkan tenaga dan kekuatan bagi menentang kejahatan dan membuang kebatilan, bermula daripada membuang kejahatan dalam diri dengan menolak godaan-godaan syaitan. Manakala yang keduanya jihad menentang kejahatan yang berlaku dalam masyarakat sekeliling mengikut kemampuan.

Adapun perkataan jihad mengikut istilah hukum Islam ialah kesungguhan menegakkan Islam walaupun terpaksa menghadapi kesusahan dan kesulitan, serta menggembleng tenaga sehingga mengorbankan jiwa raga, nikmat jasad, akal dan harta.

Menurut Imam Hasan al-Banna:
“Antara jenis jihad dalam Islam wahai saudara yang dikasihi, perasaan yang kuat diliputi kelembutan hati itu dengan kehebatan dan kemuliaan Islam, rindu pada kekuasaan pemerintahan dan kekuatan Islam serta menangis sedih akan kelemahan umat Islam serta kehinaan yang menimpa mereka. Begitu juga perasaan ini menimbulkan rasa sedih terhadap keadaan tersebut yang tidak diredhai Allah, Nabi Muhammad SAW, jiwa yang sejahtera dan hati seorang Mukmin.”

Jihad untuk melawan hawa nafsu juga termasuk antara jihad yang dituntut kerana bagaimana mungkin mukmin yang hebat terhasil daripada didikan nafsunya? Konsep Jihad juga boleh diertikan sebagai usaha umat Islam untuk meninggikan nasib mereka dari segenap lapangan ilmu, pendidikan, politik dan ekonomi mengikut takrif Islam yang menyeluruh. Manakala menasihati raja dan pemimpin yang zalim diletakkan sebagai jihad yang paling besar, kerana sanggup bersabar dan tidak melakukan kekacauan dalam negara dan masyarakat sendiri walaupun terpaksa dizalimi sehingga dibunuh sekalipun oleh pemimpin tersebut.

Sabda Rasulullah SAW:
‎أفضل الجهاد كلمة حق عند سلطان جائر
“Jihad yang paling mulia adalah menasihati kerajaan yang zalim.” (Riwayat Abi Daud, At-Tirmizi dan Ibn Majah)

Usaha menegakkan Islam itu sentiasa menghadapi tentangan, sama ada tentangan itu datangnya daripada gelojak hawa nafsu sendiri ataupun terpaksa bersabar menghadapi tekanan pihak musuh. Namun Islam bukanlah agama keganasan yang menggalakkan pertumpahan darah atas dasar jihad. Bahkan, dalam Islam terdapatnya hukum fiqah yang bermaksud faham, dan jihad juga ada fiqahnya tersendiri yang telah dibukukan oleh para ulama menyatakan syarat, rukun dan adab jihad. Antaranya, bermula dengan pendekatan damai yang lebih diutamakan, sehinggalah terpaksa menghadapi musuh yang mengisytiharkan perang. Namun Islam mengharamkan tindakan melampau dalam peperangan walaupun terhadap musuh yang melampaui batas, berpandukan firman Allah:

‎وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
“Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampau (dengan menceroboh atau melampaui adab peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau”. (Surah al-Baqarah: 190)

Menurut Rasululullah SAW tindakan melampau itu adalah seperti membunuh mereka yang tidak terlibat dengan peperangan. Antaranya, warga emas, kaum wanita, kanak-kanak serta para paderi dan sami yang berlindung di rumah ibadat mereka. Rasulullah SAW juga melarang daripada merosakkan rumah ibadat, ladang ternakan serta menyeksa mereka yang telah terkorban, bahkan tentera Islam dikehendaki untuk menyantuni tawanan perang. Selain itu, Islam mengutamakan dan menerima perdamaian walaupun sedang berperang, kerana firman Allah:

‎وَإِن جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (Surah al-Anfaal: 61)

PERINGKAT-PERINGKAT JIHAD

Imam Ibn Qayyim menyatakan bahawa jihad itu mempunyai empat peringkat:

I) Jihad melawan Hawa Nafsu
• Melawannya dengan mempelajari ajaran Allah SWT dan Rasul-Nya.
• Melawannya dengan melakukan amal ibadah berpandukan ilmu yang telah dipelajari.
• Melawannya dengan berdakwah dan menyeru orang lain kepada ajaran Islam serta mengajarkan ilmu yang telah dipelajari kepada orang lain.
• Melawannya dengan bersikap sabar menghadapi kesulitan dalam menjalankan usaha-usaha dakwah.

II) Jihad melawan Syaitan
• Menolak bisikan yang dilemparkan ke dalam hatinya sama ada perasaan was-was, keraguan dan syak wasangka yang menggoyahkan keimanan.
• Melawan bisikannya yang mengajak untuk melakukan perbuatan maksiat dan mengikut hawa nafsu.

III) Jihad melawan orang-orang kafir dan munafik ada empat peringkat:
• Dengan hati.
• Dengan lisan.
• Dengan harta.
• Dengan jiwa.

IV) Jihad melawan orang-orang yang zalim, pelaku bidaah dan golongan mungkar
• Dengan tangan apabila ada kuasa.
• Dengan lisan apabila tiada kuasa.
• Dengan hati jika tidak mampu dengan lisan.

TARBIYAH SEBELUM JIHAD

Prof. Dr. Yusuf Abdullah al-Qardhawi menyatakan dalam penulisannya yang bertajuk Fiqh al-Awlawiyat, para ulama sentiasa menyeru umat Islam untuk mendahulukan tarbiyah, pendidikan dan pembinaan ke arah jihad. Tarbiyah yang dimaksudkan adalah sehingga mampu untuk melahirkan mukmin yang sanggup membawa beban dan tugas-tugas dakwah, tidak bakhil terhadap harta dan jiwa serta teguh dalam menghadapi setiap dugaan dan cubaan yang dilaluinya demi menegakkan kalimah Allah. Jika kita soroti sirah perjuangan Rasulullah SAW, aqidah, iman, dan fikrah yang jelas serta akhlak yang luhur merupakan perkara terutama diterapkan oleh Baginda SAW buat penduduk Mekah. Tempoh masa selama 13 tahun baginda berdakwah hanya untuk menyucikan pemikiran kaum Musyrikin Mekah daripada dipalit fahaman jahiliah serta membina akhlak al-Karimah bawah bimbingan Rasulullah SAW.

Firman-Nya dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu…”

Satu perkara penting yang harus kita ingati bahawa jenis jihad yang ditangguhkan pelaksanaannya ialah jihad yang menggunakan kekerasan dan senjata, sementara jihad dengan berdakwah, pengajaran dan penyampaian al-Quran telah pun dimulakan sejak penurunan al-Quranul Karim, berdasarkan firman Allah dalam surah al-Furqan ayat 52 yang bermaksud:

“Maka janganlah kamu mengikuti (tawaran) orang-orang kafir, dan berjihadlah terhadap mereka dengan al-Quran dengan jihad yang besar.”

Begitu juga jihad dengan kesabaran, keteguhan dan menanggung derita sepanjang jalan perjuangan menyebarkan agama Islam demi menuju reda Ilahi perlu dilakukan sejak awal lagi. Firman-Nya dalam surah al-Ankabut ayat 6 yang bermaksud:

“Dan barangsiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.”

Sebagai penghias bicara terakhir, jelaslah bahawa jihad bukanlah sahaja didefinisikan sebagai pertumpahan darah semata, bahkan skop jihad itu sebenarnya luas.  Peringkat jihad yang pertama adalah mengingkari kemungkaran dengan hati dan jihad tertinggi ialah berperang di jalan Allah. Antara keduanya, terdapat jihad lisan, pena dan kuasa berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim. Sudah semestinya, jihad berdakwah itu berterusan sehingga tertegaknya kalimah ‘La Ilaaha Illallah’ di atas muka bumi ini.

Rujukan:
1. Prof Dr. Hamka. (1981). Tafsir al-Azhar Juzu’ 18-29-20-21. Surabaya: Yayasan Latimojong.
2. Prof. Dr. Yusuf Abdullah al-Qardhawi. (2011). Fiqh Keutamaan (Ahmad Nuryadi Asmawi, Trans.). Selangor: Thinker’s Library.
3. Abdul Hadi Awang. (2019, April 2). Menjawab kekeliruan jihadfobia. HarakahDaily. Retrieved 26 July, 2019, from https://www.harakahdaily.net/index.php/kolumnis/presiden/10471-menjawab-kekeliruan-jihadfobia
4. Rohaniza Idris. (2014, September 19). Jihad di Syria membelakangi syariat. Berita Harian. Retrieved 26 July, 2019, from https://www.bharian.com.my/node/6685
5. Othman Mustafa. (2015, March 17). Tangani salah faham jihad elak generasi muda tersesat. Berita Harian. Retrieved 26 July, 2019, from https://www.bharian.com.my/node/41483
6. http://kelabstar.weebly.com/uploads/1/4/7/6/14761366/risalah_talim_as-syahid_imam_hassan_al-banna.pdf

Biro Pembangunan Insan,
PERUBATAN Cawangan al-Azhar sesi 2019/2020.

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?