[MINDA PIMPINAN BCAD: PENGORBANAN SEORANG MUSLIM]

0

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan kepada kita dua nikmat terbesar iaitu iman dan Islam, serta nikmat-nikmat lain yang tidak mampu dibilang oleh hamba-hamba-Nya. Perjuangan dan pengorbanan Baginda Rasulullah SAW dan para sahabat juga sepatutnya disyukuri dalam memastikan agama Islam tersebar ke seluruh pelusuk dunia sehingga sampai kepada kita hari ini. Syukur.

Sahabat,
yang dimaksudkan dengan pengorbanan itu bukanlah sesuatu perkara yang mudah dan remeh bagi seorang muslim. Namun, pengorbanan sebenar yang dimaksudkan adalah dengan berkorban seluruh jiwa, harta, masa, kehidupan, keluarga dan segalanya.

Hari ini, kita melihat umat Islam di seluruh dunia ditindas, hak-hak Islam dizalimi, malah kejahilan umat Islam dalam memahami hakikat sebenar Islam makin membimbangkan dan akhlak-akhlak Islam kian menghilang daripada gaya hidup masyarakat. Maka, menjadi suatu kewajipan ke atas kita selaku mahasiswa muslim yang berilmu untuk mengubah diri dan masyarakat ke arah yang lebih baik bagi membina masyarakat Islam yang kembali kepada ketakwaan terhadap Allah serta kebenaran Islam yang sahih.

Para mahasiswa Azhari sekalian,
dalam mencapai matlamat dan cita-cita yang tinggi ini pastilah perjalanan yang bakal ditempuhi jua adalah sangat panjang dan mencabar seperti sukarnya para anbiya’ dan para tabiin terdahulu. Maka, sudah pastilah pengorbanan yang dilakukan mereka adalah begitu besar sehingga sanggup mengorbankan seluruh jiwa dalam meninggikan kalimah Islam.

Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah ayat 111:
“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang beriman jiwa dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (kitab-kitab) Taurat, Injil dan al-Quran. Dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu dan ketahuilah bahawa jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.”

Berdasarkan ayat di atas, Allah telah menawarkan jual beli yang memberikan keuntungan yang sangat lumayan. Maka, beruntunglah mereka yang mengorbankan diri untuk mencapai keredaan Allah. Inilah pengorbanan yang dituntut ke atas setiap muslim.

Firman Allah:

“Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata, dan Allah pula amat belas kasihan terhadap hamba-hamba-Nya.”
(Surah al-Baqarah: Ayat 207)

Sebagai mahasiswa dan mahasiswi perubatan serta pergigian yang dididik dengan ilmu agama sama ada di kuliah mahupun kelas-kelas pengajian di Mesir ini, sudah menjadi kewajipan dan tanggungjawab ke atas kita untuk mendalami sebaiknya ilmu dalam bidang yang diceburi, melibatkan diri dengan aktiviti persatuan dan kemasyarakatan serta menjadi agen pengubah dalam era globalisasi ini.

Ada kalam hukama yang berbunyi,
“Tanggungjawab itu lebih banyak berbanding waktu.”

Setiap pilihan yang dilakukan dalam menyusun jadual harian serta membahagikan masa antara tugasan, tanggungjawab dan menunaikan hak-hak terhadap diri, sahabat, keluarga, pensyarah, ahli rumah dan sebagainya menuntut kepada kita untuk mendahulukan perkara-perkara yang lebih utama serta membahagikan masa antara tugasan dan tanggungjawab menuntut kepada kita untuk mengorbankan hal-hal yang lain. Dengan ini, kita terdidik untuk memilih perkara utama yang perlu didahulukan dalam menjadi seorang muslim yang intelek, profesional dan cemerlang dari setiap aspek.

Akhir kalam, semoga kita dapat mengaplikasikan erti pengorbanan yang sebenar seperti Rasulullah dan para sahabat dalam kehidupan seharian seterusnya menjadi mahasiswa mahasiswi yang berguna buat ummah kelak.

Biro Akademik,
PERUBATAN Cawangan al-Azhar sesi 2019/2020.

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?