[KENYATAAN RASMI: PENUBUHAN MAJLIS MESYUARAT PEMILIHAN CAWANGAN (MMPC) 2019 SERTA PERLANTIKAN PENGARAH DAN TIMBALAN PENGARAH MMPC]

0

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Allah SWT berfirman:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

“Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum dalam kalangan manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah an-Nisa’: Ayat 58)

Sabda Rasulullah SAW:
“Jika kamu keluar tiga orang ke suatu tempat, maka lantiklah salah seorang daripada kamu menjadi ketua.” (Riwayat Muslim)

Jika dilihat peristiwa kewafatan baginda Nabi Muhammad SAW, para sahabat terlebih dahulu berbincang untuk memilih pemimpin dalam kalangan mereka untuk menggantikan Nabi Muhammad SAW untuk mengelakkan berlakunya fitnah perpecahan umat Islam . Peristiwa ini menunjukkan bahawa urusan memilih pimpinan itu adalah satu tanggungjawab yang sangat penting.

Kaedah Pemilihan AJKT 2020/2021.

Perlembagaan PERUBATAN pada Fasal 20, Perkara 5, Ceraian (d),

“Menentukan kaedah pemilihan Ahli Majlis Tertinggi PERUBATAN dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan.”

Selari dengan perlembagaan di atas, Lembaga Penasihat PERUBATAN telah memutuskan untuk PERUBATAN Cawangan al-Azhar (PCA) menubuhkan Majlis Mesyuarat Pemilihan Cawangan (MMPC) bagi menggantikan sistem pemilihan AJKT yang diamalkan sebelum ini iaitu Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC). Bagi pemilihan kali ini, ahli MMPC akan bermesyuarat bagi mencalonkan AJKT untuk sesi akan datang.

Sehubungan dengan itu, hasil perbincangan pihak Lembaga Penasihat PERUBATAN Cawangan al-Azhar dan dipersetujui oleh Lembaga Penasihat PERUBATAN, dengan ini melantik:

Majlis Mesyuarat Pemilihan Cawangan (MMPC)
Pengarah: Muhammad Khairul Azim bin Abdul Ghani.
Timbalan Pengarah: Hajar binti Ab. Rahman.

Majlis Mesyuarat Pemilihan Cawangan (MMPC) akan bergerak mengikut jalur masa yang telah disusun dan akan diselaraskan dengan pemilihan cawangan PERUBATAN di cawangan lain.

Bilangan Kerusi AJKT PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2020/2021.

Sebanyak 6 bilangan kerusi AJKT sahaja yang akan menjadi perbincangan ahli MMPC untuk pemilihan AJKT siswa begitu juga untuk pemilihan AJKT siswi bagi sesi 2020/2021 berbanding 7 kerusi telah dipertandingkan pada JPC sesi lepas. Dengan ini menjadikan jumlah AJKT adalah seramai 16 orang bagi sesi akan datang.

Perbincangan berkenaan pengurangan bilangan kerusi AJKT ini telah diadakan oleh Lembaga Penasihat PERUBATAN Cawangan al-Azhar (LPC) dengan merujuk kepada Lembaga Penasihat PERUBATAN (LPP).

Pengurangan bilangan kerusi ini diharap akan mengoptimumkan pergerakan di semua peringkat biro dan unit khas PCA.

Akhir kata, semoga segala perancangan dapat dilaksanakan dengan baik dan berjalan dengan lancar.

Sekian, terima kasih.

Abdul Mustaqim bin Mohamad Khalil,
Ketua Lembaga Penasihat,
PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2019/2020.

“PCA: Keluarga Kita, Kekuatan Kita”
“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”
“at-Taqwa, as-Syifa’, ar-Rahmah”

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?