[MINDA PIMPINAN BPP: SIGNIFIKASI AMAL DALAM KEHIDUPAN SEORANG MUSLIM]

0

Dalam kitab Risalah Ta’lim ada menyatakan, “Amalan soleh, mendampingi keimanan dan kebenarannya. Keimanan dan kebenaran iman ini adalah faktor kemenangan dan ketuanan di muka bumi serta kebahagiaan dan kenikmatan di akhirat.” Apa itu semulia-mulia bidang amal soleh yang mampu kita amalkan? Ia adalah bekerja dalam bidang dakwah demi ketuanan agama Allah dan mendirikan Daulah Islamiyyah. Wahai sahabat, kita sudah berada di pengakhiran zaman, waktu tidur sudah berakhir. Maka menjadi kewajipan kita sebagai seorang muslim untuk turun di bidang amal tanpa keluhan rasa penat dan lelah. Tiada lagi ruang untuk malas dan merasa lemah.

Amal adalah manifestasi ilmu. Seseorang yang amanah dengan ilmunya akan berusaha untuk beramal dengannya secara bersungguh-sungguh dan bekerja sepenuh hati untuk mencapai matlamat. Pengarang menyebutkan, “Ilmu dan ikhlas yang tidak didorong dengan amal, umpama pokok yang tidak berbuah.” Oleh itu, marilah kita terus-menerus bekerja, kerana ilmu yang sahih akan menjadi semakin berkurang dan semakin pincang apabila ilmu tersebut gagal mendorong pelakunya untuk menjalankan amal yang soleh dan membina.

Firman Allah dalam surah at-Taubah, ayat ke 105 yang bermaksud: “Dan katakanlah (wahai Muhammad), Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”

Marilah kita menyahut seruan Allah dalam mengamalkan ilmu yang kita ada supaya matlamat kita dalam mengembalikan Khilafah Islamiyyah akan lebih jelas untuk dicapai.

Ulama ada menjelaskan turutan amal yang dituntut daripada para muslimin, iaitu:

TAHAP PERTAMA: Kewajipan Seorang Muslim.
Pada tahap ini, pengarang menyatakan sepuluh ciri yang perlu ada pada setiap muslim.
1. Aqidah yang bersih
2. Ibadah yang benar
3. Akhlak yang kukuh
4. Iman yang kuat
5. Intelektual dalam berfikir
6. Pandai menjaga hawa nafsu
7. Pandai menjaga waktu
8. Teratur dalam segala urusan
9. Mampu berdikari
10. Bermanfaat bagi orang lain

TAHAP KEDUA: Pembentukan Rumah Tangga Muslim.
Keluarga yang mawaddah dan sakinah demi menjunjung kalam Allah yang satu akan mampu untuk melahirkan keturunan yang beramal dengan Islam serta mengajak manusia di sekeliling mereka. Perkara ini penting untuk dicapai agar segala tuntutan Allah terhadap hamba-NYA dapat dipenuhi dan dituruti.

TAHAP KETIGA: Masyarakat Muslim.
Kenapa pentingnya untuk menghasilkan masyarakat yang menjalankan Islam? Kerana Allah SWT berfirman dalam surah as-Saff ayat yang ketiga, mafhumnya: “Allah mencintai hamba-Nya yang memerangi kebatilan pada jalan-Nya dalam satu barisan yang kukuh dan teratur seperti satu bangunan yang tersusun rapi.”
Matlamat sebenar seorang muslim adalah sangat besar dan berat. Maka, ia adalah sangat mustahil untuk mendapatkannya secara sendirian.

TAHAP KEEMPAT: Membebaskan Tanah Air.
Pembebasan ini dapat dilakukan melalui pembebasan politik, ekonomi atah rohani dari segala kuasa asing yang bukan Islam supaya kembali kepada kebenaran Islam.

TAHAP KELIMA: Memperbaiki Kerajaan.
Kerajaan yang mengamalkan Islam akan memudahkan urusan mengembalikan Khilafah Islamiyyah. Ini kerana undang-undang yang dibuat akan berpandukan pada dasar kita yang paling utama iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Tiada lagi anggapan bahawa Islam pada zaman Nabi tidak sesuai untuk diamalkan pada masa kini.

TAHAP KEENAM: Negara Islam.
Ini adalah tahap amal yang dituntut. Iaitu mengembalikan entiti negara-negara kepada umat Islam dan membebaskan tanah airnya serta mengembalikan kegemilangannya. Mendekatkan kebudayaan antara negara, dan menyatukan suara mereka sehingga terbangunnya khilafah Islamiyyah.

TAHAP KETUJUH: Dunia yang Mengamalkan Islam Secara Syumul.
Pada empat tahap yang terakhir ini, kesatuan dalam menjalankan tanggungjawab dan menanggung bebanan adalah diperlukan agar impian dan matlamat yang ingin kita kecapi bersama tidak akan mustahil untuk kita kecapi bersama.

Seterusnya, ulama juga ada menyebutkan, ”Wajib ke atas setiap Muslim memulakan dengan memperbaiki dirinya, kesempurnaan itu dapat dilihat apabila ia telah dapat memiliki beberapa perkara yang meletakkan ia di peringkat tertentu yang menjadikan ia mampu untuk memikul tanggungjawab amal Islami.” Tiga komponen manusia yang saling berkait rapat dalam membentuk keperibadian individu Muslim yang syumul iaitu akal, jasad dan ruh di mana kesemua elemen ini dapat kita aplikasikan melalui 10 muwasafat tarbiyah.

1) AKIDAH YANG SEJAHTERA.
Telah menjadi fitrah seorang manusia untuk menjadi hamba kepada Allah SWT dan bermatlamatkan kepada-Nya. Sebagai seorang Muslim, kita mestilah membina kekuatan akidah yang membina sahsiah dengan sifat-sifat Islam seperti sentiasa bermuraqabah kepada Allah SWT dan mengingati akhirat. Seperti firman Allah SWT, “Ketahuilah bahawa kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang).” (Surah al-Hadid: 20)

2) IBADAH YANG SAHIH.
Kita hendaklah menjaga hubungan dengan Allah SWT di samping hubungan dengan manusia. Sentiasa memperbanyakkan amalan dan bersederhana dalam setiap urusan kehidupan kerana Nabi SAW juga mengajar kita supaya bersifat dengan sifat ‘qanaah’, iaitu sentiasa merasa cukup.

3) AKHLAK YANG MANTAP.
Contoh akhlak dan keperibadian yang boleh kita contohi tidak lain tidak bukan daripada akhlak Rasulullah SAW. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud, ”Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.” Nabi SAW terkenal dengan sifat siddiqnya iaitu berkata benar dalam setiap kata-kata dan perbuatannya sehingga Baginda SAW digelar sebagai ’al-Amin’. Baginda SAW sentiasa berlumba dalam membuat kebajikan hatta sekecil-kecil perkara seperti memberi salam kepada para sahabat. Baginda SAW sentiasa menjadi orang yang pertama memberikannya.

4) BERPENGETAHUAN LUAS
Sebagai individu Muslim kita tidak terlepas daripada tanggungjawab sebagai seorang daie’ iaitu pendakwah. Maka, adalah menjadi satu aspek yang penting untuk kita menguasai pelbagai bidang ilmu bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah Rasulullah SAW serta ulama’ yang thiqah. Pengetahuan tentang berita dunia Islam dan isu semasa merupakan salah satu bentuk kecaknaan kita kepada umat sejagat. Dari Abu Hurairah R.A, dari Rasulullah SAW bersabda, ”Siapa yang membantu menyelesaikan kesulitan seorang mukmin daripada sebuah kesulitan di antara berbagai kesulitan dunia, nescaya Allah SWT akan memudahkan salah satu kesulitan di antara berbagai kesulitan pada hari kiamat.”

5) MAMPU MELAWAN NAFSU
Musuh utama diri ialah nafsu dan individu yang kuat adalah yang mampu memelihara diri daripada maksiat dan kelalaian.

6) TERSUSUN DALAM URUSAN
Kita perlu bijak meletakkan keutamaan agar dapat melaksanakan kerja dengan sebaik mungkin. Jadilah individu yang berdisiplin dalam mengurus jadual harian. Sahabat Nabi SAW selalu berdoa agar diberkati waktu yang ada pada mereka.

7) KUAT TUBUH BADAN
Kehidupan yang sihat adalah melalui gaya hidup yang sihat iaitu diet yang seimbang, bersukan, melakukan pemeriksaan kesihatan berkala, tidur yang optimum dan menjaga kebersihan. Sabda Rasulullah SAW, ”Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah SWT daripada mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan.”

8) MAMPU BERDIKARI DAN BERUSAHA
Tidak mengharapkan orang lain dan bersikap ihsan dalam bekerja. Ihsan adalah ketepatan atau kesempurnaan. Dari sudut syarak ia bermaksud melakukan sesuatu ibadat dengan baik dan tepat sebagaimana yang diperintahkan Allah SWT. Dalam hadis Nabi SAW ada menyebut ihsan ibarat kamu beribadat kepada Allah SWT dengan merasakan seolah-olah kamu melihat-NYA, meskipun kamu tidak mampu melihat-NYA, akan tetapi Allah SWT melihat kamu.

9) BERMANFAAT UNTUK ORANG LAIN
Daie’ umpama lilin yang membakar diri untuk menyuluh orang lain. Sebagai Muslim yang ingin menegakkan kalimah lailahaillallah, kita perlu bersedia untuk mewakafkan diri ke jalan Islam dalam memenuhi hak orang lain, melakukan kebajikan dan membantu mereka yang memerlukan. Ingatlah kepada janji Allah SWT dalam firman-Nya, “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, disebabkan mereka berjuang dijalan Allah SWT.” (Surah at-Taubah: 111)

10) MENJAGA WAKTU
Tahukah kita dengan menjaga kualiti solat, maka waktu kita juga akan terjaga seperti solat di awal waktu dan solat secara berjemaah yang merupakan asbab kepada keberkatan waktu di samping kita memohon doa kepada Allah SWT agar diberkati waktu dengan perkara yang bermanfaat.

Sebagai konklusi, kita haruslah menjadi seorang muslim yang bukan hanya petah berkata-kata dan berteori tetapi juga harus menjadi seorang yang bekerja keras dalam setiap bidang dan meninggikan cita-cita dan keazaman. Moga usaha kecil kita untuk beramal tanpa henti ini diterima Allah SWT sehingga mendapat reda-Nya dan diganjarkan syurga di akhirat kelak dengan rahmat Ilahi. Bekerja dengan PERUBATAN, bekerja untuk Islam.

Biro Penerbitan dan Penerangan,
PERUBATAN Cawangan al-Azhar sesi 2019/2020.

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?