[PROJEK KESIHATAN MAYA – ARTIKEL KESIHATAN]

0

Oleh: Nik Nashihah Binti Nik Azhan

APA ITU SLIP DISC?

SLIP DISC kebiasaannya berlaku secara tiba- tiba dan menyebabkan sakit pada badan. Disc akan menekan saraf dan menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan di bahagian badan dan kaki. Ianya boleh terjadi disebabkan kecederaan atau proses penuaan. Secara ringkas, Slip disc ini disebabkan oleh tergelongsor keluar disc dari tulang belakang dan menekan saraf tunjang. Fungsi disc ini adalah sebagai pelapik di antara tulang – tulang belakang, memudahkan pergerakan, dan sebagai perlindungan kepada saraf tunjang.

APAKAH TANDA – TANDA SLIP DISC?

  1. Sakit, lenguh, kebas di lengan, badan, dan kaki.
  2. Pergerakan terbatas disebabkan kesakitan yang dialami.
  3. Sakit belakang.
  4. Sakit kaki.
  5. Sakit bahu.
  6. Sakit di bahagian tengkuk.
  7. Kebas di punggung dan kaki.
  8. Perubahan pada sistem perkumuhan.

APAKAH PUNCA – PUNCA SLIP DISC?

  1. Mengangkat benda berat.
  2. Pekerjaan yang memerlukan duduk yang lama (Pemandu kereta).
  3. Sukan angkat berat.
  4. Perokok.
  5. Obesiti.
  6. Proses penuaan.
  7. Posisi duduk yang tidak betul.

BAGAIMANA CARA SLIP DISC DIRAWAT?

Ada berbagai-bagai jenis rawatan untuk Slip Disc termasuk dengan rawatan mudah seperti rawatan konservatif sehingga kes yang memerlukan pembedahan. Rawatan ini juga bergantung kepada tahap kesakitan yang pesakit alami dan sejauh mana disc itu tergelongsor daripada tempatnya.
Sesetengah pesakit melegakan Slip Disc dengan menggunakan program senaman yang boleh menegangkan dan menguatkan otot belakang serta mengurangkan kesakitan.
Pengambilan ubat tahan sakit dan mengelakkan daripada mengangkat benda yang berat juga turut membantu dalam proses rawatan. Sekiranya kesakitan tidak berkurang setelah pengambilan ubat tahan sakit, kembali berjumpa doktor anda dan doktor akan memberikan preskripsi ubat yang lebih kuat seperti ubat yang melegakan otot untuk mengurangkan kekejangan otot belakang, ubat narkotik (ubat tahan sakit yang lebih kuat) untuk melegakan kesakitan dan ubat untuk sakit saraf seperti gabapentin atau duloxetine.
Jika kesakitan disebabkan Slip Disc tidak berkurang dalam tempoh enam minggu, doktor akan menyarankan pembedahan untuk membuang disc yang rosak atau menggantikan disc dengan disc palsu untuk memberikan kestabilan kepada tulang belakang namun kebiasaannya kebanyakan pesakit memberikan respons yang baik terhadap rawatan konservatif yang diberi pada enam minggu pertama.

APAKAH CARA UNTUK MENGELAKKAN SLIP DISK DARIPADA BERLAKU?


Untuk mengelakkan Slip Disc daripada terjadi sepenuhnya adalah mustahil namun faktor yang menyumbang kepada Slip Disc boleh dikurangkan melalui cara seperti:

  1. Menggunakan teknik mengangkat barang yang selamat iaitu bengkokkan badan dan angkat objek bermula dari ketinggian lutut anda dan bukan dari pinggang.
  2. Jangan duduk secara statik dalam satu tempoh masa yang lama. Bangun dan regangkan otot anda secara berkala.
  3. Amalkan senaman yang boleh menguatkan otot belakang, kaki, dan perut.

PENUTUP

Jika dilihat kepada punca-punca Slip Disc ini boleh berlaku, kita dapat simpulkan bahawa gaya hidup yang sihat memainkan peranan yang penting untuk mengelakkan hal ini berlaku. Jika anda mempunyai tanda – tanda tersebut, segera berjumpa dengan doktor yang terdekat dan dapatkan rawatan lanjut.

ARTIKEL BERKAITAN

0

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?