[KENYATAAN RASMI: MUHASABAH SEPARUH PENGGAL (MSP) SESI 2019/2020]

0

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَلۡتَنظُرۡ نَفۡسٞ مَّا قَدَّمَتۡ لِغَدٖۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.”

(Surah al-Hasyr: Ayat 18)

Merujuk firman Allah SWT di atas, setiap pekerjaan diri orang yang beriman perlulah sentiasa meneliti dan memerhatikan segala amalan dan pekerjaan yang telah dibuat dan dilaksanakan supaya dapat dibaiki dan ditambah baik agar dapat memberi manfaat yang lebih baik dan dapat menjadi bekalan yang diterima oleh Allah SWT.

Allah SWT berfirman lagi dalam surah al-Anbiya’ ayat ke-47:

وَنَضَعُ الْمَوَازِينَ الْقِسْطَ لِيَوْمِ الْقِيَامَةِ فَلَا تُظْلَمُ نَفْسٌ شَيْئًا ۖ وَإِنْ كَانَ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَلٍ أَتَيْنَا بِهَا ۗ وَكَفَىٰ بِنَا حَاسِبِينَ

“Dan Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka tidak seorang pun dirugikan walau sedikit; sekalipun hanya seberat biji sawi, pasti Kami mendatangkannya (pahala). Dan cukuplah Kami yang membuat perhitungan.”

Secara ringkasnya ayat al-Quran tersebut menjelaskan setiap perbuatan yang dilakukan manusia itu walau sekecil-kecil atau sebesar-besarnya akan diperhitung dan dihisab di akhirat nanti. Perbuatan yang baik akan mendapat balasan yang baik, manakala perbuatan yang jahat akan menerima akibat yang buruk.

Oleh itu, dua perkara yang dititikberatkan disini adalah kepentingan untuk sama-sama bermuhasabah dan koreksi semula amalan dan pekerjaan yang telah dilakukan. Adakah bermanfaat atau sebaliknya? Adakah amalan tersebut mendapat timbangan kebaikan atau keburukan? Ayuh, sama-sama kita bermuhasabah melalui medium ini.

Bahtera Perubatan Cawangan al-Azhar sesi 2019/2020 telah pun berlayar lebih kurang separuh sesi. Dalam tempoh ini, telah banyak aktiviti dan program yang bermanfaat telah dilaksanakan untuk semua ahli.

Justeru, dalam menggerakkan sebuah persatuan yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah dalam setiap gerak kerjanya, PERUBATAN Cawangan al-Azhar mengambil inisiatif untuk menilai dan membaiki prestasi kerja melalui pelaksanaan Muhasabah Separuh Penggal (MSP).

Antara tujuan MSP dilaksanakan adalah:

  1. Menilai kekuatan dan kelemahan PERUBATAN Cawangan al-Azhar melalui penilaian KPI Kertas Kerja Dasar Jabatan dan Biro.
  2. Melaksanakan tindakan susulan pasca MSP dengan menggunakan data/penilaian KPI Kertas Kerja Dasar sebagai penanda aras.
  3. Memperbaiki dan menambah baik mutu dan kualiti gerak kerja agar dapat mencapai Visi dan Misi PERUBATAN pada sesi kali ini.

MSP sesi ini diadakan berfasa seperti sesi-sesi sebelum ini. Fasa ini bermula di peringkat pimpinan dan kemudian diteruskan di peringkat ahli dan telah berjalan bermula pada pertengahan Julai 2019 hingga pertengahan September 2019.

Aspek penilaian bagi MSP kali ini difokuskan kepada tiga item utama iaitu evaluasi Key Performance Index (KPI) biro dan jabatan serta unit-unit khas, ditambah dengan dua item baharu iaitu sistem penilaian autonomi dan pembawaan Presiden PERUBATAN.

Akhir sekali, kami menjemput seluruh ahli PCA untuk sama-sama menjayakan Muhasabah Separuh Penggal (MSP) kali ini dengan mengisi Medium Aduan Online PCA, serta bersama-sama mempromosikan aktiviti-aktiviti sepanjang fasa MSP. Tempoh mengisi bermula 6 Ogos 2019 sehingga 20 Ogos 2019.

Semoga dengan kerjasama semua ahli dapat pertingkatkan lagi mutu gerak kerja PCA agar terus dapat berkhidmat kepada komuniti kita di bumi Mesir ini.

Sila tekan pautan ini:

http://tinyurl.com/aduanPCA

Sekian. Terima Kasih.

“Perancangan Berstrategi, Pengurusan Berintegriti”

“PCA: Keluarga Kita, Kekuatan Kita”
“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

Yang menjalankan tugas,

Naib Pengerusi.

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?