SELAMAT ULANG TAHUN PCA

SELAMAT ULANG TAHUN PCA

0

Bersempena ulang tahun penubuhan Perubatan Cawangan al-Azhar (PCA) yang disambut pada 8 Mac ini, suka untuk kami daripada batch Renaixance ingin berkongsi beberapa memori menarik dan terindah sepanjang bersama PCA.

Sejujurnya, sepanjang hampir 3 tahun keberadaan kami di Mesir ini sungguh banyak kenangan manis dan pahit dalam mengharungi kehidupan bersama antara satu sama lain khususnya bersama warga PCA.
Hakikatnya untuk menjalinkan satu tali ikatan persaudaraan yang utuh, aspek persefahaman dan keharmonian dalam mencari titik persamaan amat perlu dititikberatkan. Natijahnya segala perbincangan dapat disuarakan dalam suasana harmoni.

Antara pengalaman bersama PCA yang tak dapat kami lupakan ialah ketika menyertai Hari Keluarga PCA atau nama lainnya Fiesta of Azharian Family (FIFA). Melalui program FIFA ini dapat menjadi medium untuk kami menambah kenalan terutama daripada batch-batch senior dan pelajar pergigian.

Tidak dilupakan juga, antara pengalaman terindah bersama PCA ketika menyertai program Kembara Jejak Auliya’ Iskandariah 2017 (KEJORA 17). Program ini dapat menambah pengetahuan kami tentang sirah para Nabi, para sahabat Nabi, Ulamak’, dan wali-wali Allah yang berada di sekitar bumi Mesir ini khususnya di Iskandariah.
Sesungguhnya, sejarah bumi Mesir yang menjadi tempat kita menuntut ilmu ini masih banyak lagi yang belum kita terokai dan kaji untuk mengembangkan minda dan skop pemikiran serta menambahkan pengalaman yang bermakna untuk dibawa pulang dan diceritakan kepada orang-orang tersayang di Malaysia kelak.

Selain itu, antara aktiviti yang terpahat kemas
dalam sanubari ini ialah Istiadat Konvokesyen Pelajar Perubatan. Majlis Konvokesyen ini banyak memberikan semangat kepada kami supaya bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu.
Hal ini demikian kerana apabila mendengar bacaan ikrar para graduan perubatan untuk berkhidmat sebaik mungkin apabila mereka menjadi seorang pengamal perubatan kelak. Hal ini sedikit sebanyak mengingatkan kita kepada konsep perjanjian kita sebagai seorang manusia dengan الميثاق (Tuhan pencipta kita sejak di alam roh lagi. Dalilnya termaktub dalam al-Quran;
‎ألست بربكم قالوا بلى شهدنا
“Bukankah aku Tuhanmu? Maka mereka berkata, Ya, Kami bersaksi terhadap pengakuan itu ”
(Surah al-A’raf: Ayat 172).
Melalui ayat ini kita akan sentiasa mengingatkan diri kita bahawa ada satu janji yang sangat utama telah kita akui iaitu pengakuan akan hanya Allah sahajalah Tuhan yang berhak disembah.

Selain itu, antara program yang menarik minat kami untuk bersama dengan PCA ialah melalui Human Development Academy (HDA) yang membuka peluang kepada para mahasiswa sains kesihatan di sini untuk melatih dan mengasah bakat individu untuk dimanfaatkan secara meluas terhadap diri, rakan dan masyarakat.
Platform akademi ini dilihat sangat menarik dan mampu membuka peluang ahli untuk mengasah satu kemahiran yang utuh dalam kalangan ahli.

Sebenarnya terlampau banyak lagi pengalaman dan memori yang mampu dicatatkan di artikel ini.
Oleh itu, kami dapat simpulkan bahawa dalam menyelami dunia sebagai seorang penuntut ilmu kita perlu lebih memandang luas skop pandangan terhadap sesuatu perkara iaitu melihat sesuatu perkara berdasarkan nilai-nilai Islam secara harmoni untuk menatijahkan satu impak dan kesan positif yang lebih penting terhadap diri sendiri dahulu sebelum disebarluaskan kepada ahli keluarga dan masyarakat setempat dalam keadaan diri sendiri sudah bersedia untuk menyampaikan risalah Islam yang tulen dan membumi seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, para sahabat baginda serta para Ulamak dan cendekiawan Islam yang mewarisi khazanah-khazanah dan warisan Islam.

Disediakan Oleh : Renaixance (Perubatan Batch ke-9)
PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2018/2019.

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?