[MINDA PIMPINAN: PENGORBANAN MANIFESTASI CINTA]

0

 

PENGORBANAN MANIFESTASI CINTA

Selalu kita dengar pujangga berkata: “Dalam bercinta perlukan pengorbanan.”

Ya, benar! Nilai sebuah cinta itu diukur berdasarkan setinggi mana pengorbanan terhadap perkara yang kita cintai itu.

Mudah sahaja seseorang itu menyatakan cinta. Akan tetapi apabila diuji oleh Allah SWT untuk membuktikan kebenaran cinta itu, ramai yang lari mengundur diri malah tersungkur tewas di tengah jalan.

Semakin tinggi nilai cinta, semakin tinggilah nilai sesebuah pengorbanan. Sebagaimana cinta seorang ibu kepada anaknya, pastinya pengorbanan yang dilakukan tidak ternilai harganya dan tidak mampu dibayar oleh anak tersebut walau dengan seluruh jiwa dan hartanya.

Sama juga keadaannya dalam konteks melaksanakan gerak kerja Islam (Amal Islami). Tidak akan terlepas daripada diuji tahap cinta kita kepada agama melalui pengorbanan yang dilakukan, sama ada dari sudut jiwa, harta, masa dan sebagainya. Sudah pastinya memerlukan kesabaran dan kesungguhan yang tinggi dalam melaksanakan segala tuntutan.

Selalu juga kita dengar, “Cinta itu buta.” Tetapi dalam Islam tiada istilah buta dalam cinta. Perlu kepada kita untuk kenal dan faham Islam dengan sebenar-benarnya. Maka, tidak dapat tidak amat perlu untuk kita mempelajari ilmu-ilmu asas Islam seperti ilmu tauhid, ilmu fikah dan ilmu tasawwuf serta memahami segala tuntutannya. Dari situlah akan lahirnya rasa cinta kepada agama. Bak kata pepatah: “Tidak kenal maka tidak cinta. Hendak kenal maka taaruf.”

Apabila kita yakin menyatakan cinta terhadap Islam, maka seharusnya kita bersungguh-sungguh untuk melaksanakan amal islami sebagai bukti kebenaran cinta tersebut. Akan tetapi amatlah malang jika ungkapan cinta tersebut hanya sekadar bermain di mulut semata-mata. Tidak mahu berkorban untuk Islam, tidak bersungguh-sungguh bahkan tiada usaha sebesar zarah pun dilakukan untuk mendaulatkan Islam di atas muka bumi ini.

Seringkali kita berasa payah, berat, malas dan sulit dalam melaksanakan gerak kerja Islam. Sebenarnya itu antara tanda kurangnya cinta kita kepada agama. Pernahkah kita merenungkan bagaimana Rasulullah SAW menginfakkan seluruh hidup Baginda untuk Islam? Bagaimana Sayidina Abu Bakar sanggup mengorbankan seluruh hartanya untuk memperjuangkan Islam? Bagaimana golongan Ansar menawarkan harta bahkan isteri-isteri kesayangan mereka kepada golongan Muhajirin? Bagaimana sahabat-sahabat Baginda SAW sanggup bergadai nyawa, bermandikan darah demi melihat tertegaknya agama yang mulia ini?

Semua itu dilakukan tidak lain dan tidak bukan hanyalah kerana CINTA. Kuatnya cinta mereka kepada Islam dan perjuangan yang suci ini melebihi cinta mereka terhadap harta, anak dan isteri.

Percayalah! Dengan cinta perkara yang payah akan menjadi mudah, yang sempit akan menjadi lapang, yang berat akan menjadi ringan. Ya, kerana cinta. Cinta kepada Allah dan Rasul. Maka benarlah sabdaan Baginda SAW yang menyatakan bahawa kemanisan iman hanya dapat dikecapi hanyasanya dengan kecintaan yang benar kepada Allah dan Rasul melebihi cinta selainnya.

Secara kesimpulan, dengan adanya perasaan cinta, sebuah pengorbanan itu akan terasa sangat mudah walau hakikatnya payah. Bila cinta, maka kita akan bersungguh-sungguh untuk melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Maka inilah yang kita fahami ia sebagai TAKWA.

Firman Allah SWT:

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا * وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا *

“…Dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).”

“Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”

(Surah at-Talaq: Ayat 2 & 3)

Akhir kalam, memang benar susah untuk mendapatkan takwa dan reda-Nya. Namun apa yang penting, pasangkan niat, tanamkan azam dan mulakan langkah. Bila tersungkur jatuh dalam perjalanan, bangkitlah serta bermuhasabah dan jalan terus. Moga-moga Allah SWT mengurniakan kita ketakwaan, keyakinan serta kecintaan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah dan Rasul-Nya dan terus tetap berada di atas jalan kebenaran. Insya-Allah.

Ahmad Tasnim bin Muslim
Penasihat PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2018/2019.

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?