[MENINGKATKAN ELEMEN KESATUAN DALAM KOMUNITI PCA]

0

MENINGKATKAN ELEMEN KESATUAN DALAM KOMUNITI PCA

Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) merupakan satu medium utuh yang berperanan membentuk kesatuan dan mempererat ukhuwah Islamiah dalam kalangan ahli PERUBATAN Cawangan al-Azhar, bertepatan dengan apa yang digalakkan dan dianjurkan dalam Islam melalui firman-Nya:
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolong untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolong pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksanya.” (Surah al-Maidah: 2)

Sebuah kesatuan yang utuh mampu diwujudkan apabila kita menghayati erti ukhuwah yang sebenar. Ukhuwah adalah satu konsep Islam yang menyatakan bahawa setiap Muslim dengan Muslim yang lain adalah bersaudara. Ukhuwah dan persaudaraan itu seharusnya dibuktikan dan bukan hanya teori semata-mata. Seorang mukmin harus merasakan penderitaan yang dialami oleh mereka di Palestin, Syria dan beberapa tempat yang majoritinya umat Islam tetapi ditindas serta tidak diberikan hak yang sepatutnya kepada mereka walhal mereka juga insan sama seperti kita. Jika saudaranya mendapat kebahagiaan, maka mereka pun seharusnya merasa bahagia dan tidak boleh bersifat dengki kepadanya. Begitu juga jika saudaranya menerima ujian dan malapetaka, mereka harus turut merasa prihatin dan sedih. Hatta, jika saudaranya memerlukan pertolongan, maka mereka memberikan pertolongan yang termampu dan sedayanya. Kesemua ini dapat diwujudkan sekiranya marhalah ukhuwah yang berteraskan 3T yang utama iaitu Taaruf (berkenalan), Tafahum (memahami) dan Ta’awun (tolong-menolong) dapat dihayati, difahami dan diimplementasikan dalam bersaudara.

Marilah kita telusuri sirah Rasulullah SAW dalam peristiwa Hijrah apabila Rasulullah SAW berjaya mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar serta menjadikan setiap Ansar seorang saudara daripada Muhajirin. Sehinggakan terdapat dalam kalangan Ansar yang telah membawa saudara Muhajirinnya pulang ke rumah dan menawarkannya untuk membahagi sama rata semua barang yang terdapat dalam rumahnya. Hebat! Itulah ukhuwah yang sebenar.

Elemen persaudaraan, bersatu padu dan tidak berpecah-belah mampu menjadikan Islam sebagai agama yang kukuh. Sebaliknya, jika permusuhan dan kebencian berleluasa, Islam akan menjadi lemah dan umatnya tiada suara di pentas dunia. Inilah realiti yang terjadi pada masa kini. Umat Islam semakin hilang dan pudar kesatuannya, menjadikan musuh-musuh Islam mudah untuk memperalat dan menghina umat Islam sewenang-wenangnya.

Jika difahami nikmat ukhuwah dan kesatuan, maka timbullah rasa kelazatan iman sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tidak beriman salah seorang di antara kamu hingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.”  (Riwayat Bukhari dan Muslim). Selain itu, ukhuwah Islamiah yang diniatkan kerana Allah SWT sudah pastinya akan menjadi amalan mulia dan mendekatkan diri kepada Allah.

Amat rugi bagi seseorang yang mengharapkan belas kasihan daripada Allah SWT tetapi tidak peduli terhadap kesejahteraan saudara seagamanya. Sedangkan hubungan seimbang yang perlu dijaga ialah hubungan dengan manusia dan hubungan dengan Allah SWT serta menjadi kewajipan kepada setiap Muslim pada hari ini seperti disebutkan dalam kitab ‘Faridatul Faraid’ untuk beriman, bertakwa, melakukan amar makruf nahi mungkar serta berjemaah dalam kata lain berpersatuan.

Akhir kalam, penulis menyeru untuk kita bersama-sama menjaga ukhuwah dan kesatuan dalam kalangan ahli PERUBATAN agar segala misi dan visi yang direncana mampu dicapai seterusnya mampu mengangkat nama Islam ke peringkat yang tertinggi.

Muhamad Lukman Naqib bin Ahmad Kamal

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?