[ARTIKEL MTC: KEPENTINGAN BERMESYUARAT]

0

MENERAPKAN KEFAHAMAN KEPENTINGAN MESYUARAT DALAM KALANGAN AHLI

PERUBATAN Cawangan al-Azhar sesi 2018/2019 bakal melabuhkan tirainya pada 15 Februari ini. Bahtera bakal dikemudi oleh nakhoda dan organisasi anak kapal yang baharu. Maka tanggungjawab kita untuk sama-sama terlibat dengan Mesyuarat Tahunan Cawangan kali ke-6 bagi sama-sama memberi muhasabah dan cadangan. Mudah-mudahan dengan keberkatan syura itu mampu melancarkan perjalanan PCA pada masa-masa akan datang.

SYURA PADA PENSYARIATAN ISLAM.

Syura adalah salah satu daripada dasar yang mendasari Islam.

وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَى بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ.

“Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedangkan urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka; dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka” (Surah as-Syura: ayat 38).

Banyak ciri orang yang beriman dalam al-Quran. Yang dinyatakan dalam ayat ini adalah mendirikan solat, bermusyawarah dan menginfakkan harta dan jiwa yang diberikan oleh Allah. Solat dan berbelanja di jalan Allah adalah ibadah. Maka terdapat hikmah mengapa diletakkan di antara keduanya. Maka dalam Islam, makna ibadah tidak hanya atas syiar pengabdian seperti solat dan zakat sahaja, bahkan konsep ibadah itu terlalu luas sebenarnya.
Penurunan nas al-Quran berkenaan syura berlaku selepas tragedi Perang Uhud apabila ditetapkan keputusan bagi suatu mesyuarat. Sebelum perang berlaku mesyuarat dan perbezaan pandangan antara umat Islam. Ada yang berpendapat bahawa semua umat Islam perlu kekal di Madinah dan apabila musuh memasuki Madinah, mereka akan diperangi. Segolongan yang lain berpandangan bahawa bagi menghadapi musuh mereka perlu keluar dan beradu tenaga di medan Uhud.
Maka apa yang terjadi ketika perang Uhud adalah kekalahan kaum Muslimin di medan Uhud atas beberapa faktor. Namun Nabi tidak menjadikan kekalahan itu sebagai nisbah kepada keputusan syura yang disepakati. Sebelum perang lagi rasul telah mendapat petunjuk melalui mimpinya tentang kekalahan Uhud. Namun rasul tetap berpegang kuat kepada keputusan hasil dari bermusyawarah tersebut.

SYURA DALAM KEHIDUPAN RASULULLAH.

Syura diterapkan dalam kehidupan para Nabi dan Rasul yang terdahulu. Juga pada kehidupan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Allah dan Rasul sentiasa memerintahkan umat Islam melakukan syura sesama mereka. Konsep syura wujud dalam setiap perkara dan urusan kehidupan.
Abu Hurairah: Tidak pernah seorang pun yang aku lihat paling banyak melakukan musyawarah dengan para sahabat melainkan Nabi melakukannya kepada para sahabat. Antaranya adalah peristiwa Rasulullah meminta pandangan para sahabat berkaitan Perang Badar, Uhud, Ahzab, Khaibar, Thoif, perjanjian Hudaibiyah, peristiwa fitnah terhadap Saidatina Aisyah.
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الأمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
“Maka berkat rahmat daripada Allah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri daripada sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampunan bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal” (Surah ali-Imran: ayat 159).
Meminta pandangan Jibril dalam peristiwa Israk Mikraj.
Ketika mana Rasul dimikrajkan pada malam yang sama dari Baitul Maqdis ke langit terdekat dan ke hadapan Allah, telah difardukan kefarduan solat 50 waktu solat. Dan Nabi turun untuk pulang dan telah berjumpa Nabi Musa di pertengahan perjalanan lantas ditanya tentang apakah yang diperintahkan. Jawab Baginda: Aku difardukan dengan 50 waktu solat. Nabi Musa: umat kamu tak akan mampu, kembalilah kepada Allah dan mohonlah pengurangan untuk umat engkau.
Kemudian, baginda berpaling kepada Jibril bagaikan untuk mendapatkan pandangan. Maka Jibril pun memberi persetujuan dengan pendapat Nabi Musa itu.
Rasulullah berulang alik antara Allah dan Musa sehinggalah tinggal 5 waktu

MATLAMAT ATAU MISI SYURA

Setiap perkara yang bermanfaat pasti ada objektifnya. Perkara yang tiada misi dan matlamat adalah perkara yang sia-sia. Sebagaimana kejadian manusia di bumi adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah.
Antara matlamat syura adalah:
1) Dapat mengetahui kadar akal, pemahaman, kadar kecintaan dan keikhlasan terhadap kemaslahatan umum.
2) Akal dan cara fikir manusia itu berbeza-beza. Maka antara mereka pasti mempunyai kelebihan pandangan.
3)Teruji kematangan pendapat-pendapat dalam musyawarah. Maka pilihan yang terbaik dapat dibuat.
4) Akan menzahirkan penyatuan hati untuk menjayakan sesuatu.

Antara matlamat lain adalah:
1) Penyatuan kepada hati-hati manusia.
2) Mengikuti dan mencontohi sunah Nabi SAW.
3) Mempertimbangkan pandangan-pandangan yang betul.
4) Menyingkirkan pandangan orang yang keras kepala dengan pendapatnya.
5) Medan penyelarasan dan keharmonian dengan usaha yg bersungguh.
6) Mencerna dan menghadam kesepadanan dan kemampuan yang berbeza dalam masyarakat.
7) Perisai daripada terjerumus ke dalam lautan penyesalan.

HIKMAH
Apabila syura terlaksana dengan baik, maka banyak hikmah yang akan diperolehi:
1) Keputusan yang akan diambil lebih sempurna dibanding tanpa musyawarah.
2) Masing-masing akan merasai keterikatan terhadap keputusan musyawarah dan rasa bertanggungjawab dan melunaskannya bersama.
3) Saling memperkuat hubungan persaudaraan sesama Muslim.
4) Menghindari dominasi majoriti dan tirani minoriti kerana hakikat pemgambilan keputusan terletak kepada kebenaran, bukan semata pertimbangan banyaknya jumlah yang berpendapat atau berpihak pada sesuatu persoalan.
5) Hindari adanya hasutan, fitnah dan adu domba yang dapat memecah belah barisan perjuangan kaum Muslimin.
SYURA SATU KEMULIAAN DAN PETUNJUK

Allah SWT membantu dan membimbing hambanya melalui usaha manusia. Apabila berlaku sesuatu permasalahan, maka jalan terbaik adalah dengan bermusyawarah. Maka keberkatan dan petunjuk Allah kepada hambanya dapat dikecapi.

KONKLUSI

Kekeruhan hidup secara berjemaah itu lebih baik daripada kejernihan hidup bersendirian

Siti Hajar binti Azhar,
Lembaga Penasihat PERUBATAN Cawangan al-Azhar sesi 2018/2019.

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?