[ARTIKEL FEBRUARI: KEBAL]

0

[ARTIKEL FEBRUARI: KEBAL]

Pada zaman nenek moyang kita, pelbagai ilmu dipraktiskan demi mempertahankan diri. Antara ilmu yang dipelajari ialah ilmu kebal. Ilmu ini (walaupun salah di sisi Islam) dipercayai boleh membuatkan para pengamalnya menjadi kebal terhadap sebarang serangan fizikal dan sukar untuk dikalahkan.

Begitu juga kita pada zaman kini, ada satu kekebalan yang boleh didapati oleh setiap lapisan masyarakat iaitu kekebalan terhadap penyakit yang berbahaya dan berjangkit seperti Diphteria dan lain-lain. Bagaimana caranya untuk menjadi kebal terhadap penyakit? Tidak lain tidak bukan adalah dengan satu bahan yang dinamakan VAKSIN.

Apa itu vaksin?

Vaksin ini adalah satu bahan yang akan menghasilkan imuniti (perlindungan) terhadap sesuatu penyakit secara aktif. Dalam erti kata lain, vaksin mengaktifkan sistem imuniti badan kita untuk sentiasa bersedia apabila diserang oleh penyakit yang berbahaya.

Kenapa perlu vaksin?

Soalan ini sangatlah mudah jawapannya. Sebab utama perlunya vaksin adalah untuk melindungi diri kita dan anak-anak daripada dijangkiti penyakit berbahaya ini. Vaksin juga akan menghasilkan imuniti berkelompok (herd immunity) yang akan melindungi satu kawasan daripada sebarang penyakit cegahan vaksin. Vaksin juga adalah salah satu jalan pencegahan yang sangat berkesan sesuai dengan pepatah arab yang menyebut:

“Mencegah lebih baik daripada mengubati.”

Sekiranya tidak mendapatkan vaksin, apa yang akan berlaku?

Vaksin yang pertama dicipta ialah vaksin penyakit cacar (smallpox) pada tahun 1789. Setelah program vaksinasi secara besar-besaran dijalankan di seluruh dunia, terdapat penyakit yang telah berjaya dibasmi daripada dunia seperti penyakit poliomyelitis. Namun sejak kebelakangan ini, muncul satu golongan yang menolak vaksin dan ini menimbulkan kerisauan kepada seluruh dunia. Apabila semakin ramai orang yang tidak divaksin, maka penyakit yang dahulunya telah dibasmi kini muncul kembali. Hal ini sangat membimbangkan terutamanya bagi pengamal kesihatan kerana penyakit-penyakit ini boleh membawa maut.

Apa yang anda boleh lakukan?

Sebagai mahasiswa sains kesihatan yang lebih arif tentang vaksin berbanding orang awam, kita seharusnya menjadi agen untuk menyebarkan kefahaman tentang peri pentingnya vaksin untuk anak-anak. Kita berperanan memberikan penerangan dengan sebaiknya dan menjelaskan tentang kesan-kesan buruk sekiranya anak-anak tidak divaksin.

Jika anda berada di Mesir, anda boleh rujuk artikel tulisan saudara Amirul Azmeer bin Asmadi di laman Facebook yang banyak mengupas tentang vaksin termasuklah info-info berkaitan hospital yang anda boleh dapatkan vaksinasi.

Akhir kalam, anggaplah vaksin ini sebagai baju besi yang kebal untuk melindungi anak- anak kita daripada penyakit yang berbahaya. Sekiranya ibu bapa tidak memvaksinkan anak- anak mereka, sebenarnya mereka telah mendedahkan anak mereka kepada bahaya penyakit-penyakit yang boleh membawa maut itu. Janganlah terlalu mudah terpengaruh dengan kenyataan yang disebarkan daripada sumber yang tidak dipercayai. Dengarah nasihat-nasihat daripada doktor yang lebih arif berkaitan vaksin ini.

Syed Mohamad Aslam Husaini bin Syed Bahrim
Pelajar Tahun 4, Kuliah Perubatan, Universiti al- Azhar.

ARTIKEL BERKAITAN

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?