[MINDA PIMPINAN: IN THE MAKING OF NEXT AL-FATEH]

0

MINDA PIMPINAN: IN THE MAKING OF NEXT AL-FATEH

“Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk.”

[al-Kahfi: Ayat 13]

Ayat ini bercerita tentang pemuda Ashabul Kahfi, sekelompok pemuda yang beriman kepada Allah dan mereka diberikan bimbingan oleh Allah SWT dan dikurniakan ketaqwaan sehingga mereka beriman kepada Rabb mereka.

SEBAIK-BAIK RAJA DAN TENTERANYA ADALAH SEBAIK-SEBAIK TENTERA.

Sabda Rasulullah SAW. “Kalian pasti akan membebaskan Konstantinopel, sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin pasukan (yang menakluk) itu dan sebaik-baik tentera adalah tentera pasukan itu.”
[Hadis Riwayat Ahmad]

Muhammad al-Fateh merupakan seorang sultan yang mementingkan kekuatan dalaman dan luaran para tenteranya. Beliau menghafal al-Quran sejak kecil dan diajarkan dengan ilmu agama tanpa sedikitpun meninggalkan ilmu-ilmu kepimpinan, sains dan teknologi serta ilmu peperangan pada zaman itu disamping disemai dengan cita-cita dan semangat yang tinggi untuk Islam.

Seawal usia 21 tahun Sultan Muhammad al-Fateh telah berjaya menakluk Konstantinopel selepas pengepungan selama lima puluh tujuh hari yang membawa kepada kehancuran Empayar Byzantine. Disamping mempunyai keimanan dan ketaqwaan yang utuh dalam dirinya beliau juga tidak culas untuk menanamkan benih keimanan yang teguh dalam diri para tenteranya. Diceritakan bahawa para tentera Sultan Muhammad al-Fateh tidak pernah meninggalkan solat fardhu sejak baligh dan sebahagian daripada mereka tidak penah meninggalkan solat sunat rawatib sejak baligh.

Pengajaran penting yang boleh diambil daripada kisah Muhammad al-Fateh ini adalah, kita boleh melihat sendiri beliau telah membuktikan kepada dunia bahawa beliau telah bersaksi dan telah mati semata-mata hanya untuk Allah SWT. Sejak dari kecil, Muhammad al-Fateh telah dididik oleh bapanya Sultan Murad, Khalifah Empayar Turki Uthmaniyah ke-6 dengan didikan Islam yang sempurna.

PEMUDA ISLAM HARI INI PENENTU MASA DEPAN UMAT ISLAM KELAK.

Sabda Rasulullah SAW “Tidak akan terlepas kedua kaki seorang hamba itu semasa (berada di Padang Mahsyar) pada hari kiamat sehingga disoal kepadanya empat soalan; tentang umurnya dimanakah dihabiskan, tentang masa mudanya bagaimana digunakan, tentang hartanya bagaimana diperoleh dan dimanfaatkan, dan tentang ilmunya bagaimana diamalkan.”

[Hadis Riwayat at-Tirmizi]

Ayuh kita campakkan persoalan dibenak fikiran kita tentang bagaimanakah kondisi pemuda umat Islam pada hari ini? Adakah pemuda hari ini dibesarkan dalam keadaan beriman kepada Allah SWT atau sebaliknya? Adakah persekitaran yang mengelilingi pemuda hari ini menjadikan Islam sebagai suatu cara hidup yang lengkap meliputi seluruh aspek kehidupan? Realitinya ramai dalam kalangan pemuda hari ini mempunyai mentaliti bahawa masa muda hanya datang sekali seumur hidup oleh itu mereka bebas melakukan apa sahaja yang diinginkan menurut hawa nafsu mereka.

Marilah sama-sama kita menghayati ungkapan Imam Hasan al-Basri Rahimahullah yang menyebut “Kami sempat bertemu dengan generasi yang waktu mereka lebih berharga dari dinar, emas, dan perak.”

PERSIAPAN PEMUDA ISLAM SEBAGAI EJEN PERUBAHAN.

Golongan pemuda Islam hari ini perlu mencontohi pemuda-pemuda Islam yang hebat suatu ketika dahulu. Misalnya pemuda Ashabul Kahfi yang berani mempertahankan akidah dan agama sekalipun mereka golongan minoriti dan tetap memelihara keimanan kepada Allah SWT meskipun di hadapan raja yang zalim yang memaksa mereka kembali kepada kekufuran. Keperibadian Sultan Muhammad al-Fateh yang bukan sahaja memiliki kekuatan iman dan taqwa yang tinggi kepada Allah swt tetapi juga mampu memimpin sebuah pasukan tentera yang hebat dan disebut sebagai sebaik-baik tentera oleh Rasulullah SAW juga perlu dicontohi oleh pemuda Islam kini.

Disebutkan di dalam buku “Generasi Muda dan Perubahan” hasil nukilan Dr Fathi Yakan, pada hakikatnya usia muda seorang pemuda ialah usia yang penuh dengan cita-cita yang tinggi dan darah yang gemuruh serta idealisme yang luas, iaitu usia yang memberi pengorbanan dan menebus semula. Usia yang menabur jasa, memberi kesan dan emosional.
Dari sini usia muda pemuda dalam perkiraan Islam mempunyai tanggungjawab dan nilai yang khusus dan kerana itu Rasulullah SAW menekankan supaya pemuda-pemuda merasai demikian melalui sabdanya:
“Ambillah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Usia muda kamu sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, harta kekayaan kamu sebelum papa, masa hidup kamu sebelum mati, dan masa kosong kamu sebelum sibuk.”

Secara kesimpulannya, kembalilah kepada ajaran Islam yang berpandukan petunjuk al-Quran dan as-Sunah. Peranan pemuda Islam hari ini ialah suatu peranan dan tanggungjawab yang berat penuh dengan mehnah dan tribulasi. Tanggungjawab mendirikan Islam dalam realiti kehidupan manusia hari ini memerlukan generasi al-Quran yang baru mengikut generasi al-Quran yang terdahulu. Pada hari itu barulah orang-orang mukmin akan bergembira dengan pertolongan Allah SWT.

Naib pengerusi,
PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2018/2019.

ARTIKEL BERKAITAN

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?