[KENYATAAN RASMI: VISA]

0

 

Alhamdulillahi rabbil ‘alamin setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah Yang Maha Esa, kerana masih memberikan kita peluang merasai nikmat kehidupan ini melalui nafas iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia , Baginda SAW dan keluarga Baginda serta para sahabat, kerana tanpa jerih payah usaha dakwah mereka, tidak mungkin kita merasai nikmat sebagai seorang Muslim.

Susulan daripada maklumat yang umum maklumi, berkaitan kesukaran memperbaharui visa pelajar, kami dari pihak Biro Kebajikan PERUBATAN Cawangan al-Azhar mengambil inisiatif untuk bertemu dengan pihak Education Malaysia Egypt (EME) untuk mendapatkan penerangan mengenai isu yang berlaku. Berikut adalah hasil penerangan yang diterima serta beberapa peringatan untuk sama-sama kita ambil cakna:

  1. Kita perlu memahami punca kesukaran yang berlaku ialah daripada pihak pejabat visa (jawazat) Mesir, berikutan berlakunya pertukaran pegawai visa yang merupakan warga tempatan sendiri serta pengurangan tenaga kerja (kerani) di pejabat visa, yang kemudiannya bertindak mengamalkan sistem  kerja yang tidak teratur dan menyukarkan pelbagai pihak.
  2. Sehubungan itu, tindakan menuding jari kepada mana-mana pihak bukan tempatan dengan sangkaan bahawa  tiada pihak sedang cuba mengusahakan supaya polemik ini dapat segera diselesaikan adalah kurang wajar, memandangkan kuasa mengubah pengamalan kerja di negara luar (Mesir) adalah di luar bidang kuasa kita (rakyat Malaysia) selaku bukan warga tempatan. Adapun usaha berbincang dan berunding dengan pihak berkuasa tempatan sedang dijalankan, dengan harapan supaya berlaku perubahan positif bagi memudahkan urusan semua pihak.
  3. Berikutan masalah ini juga, kita semua diingatkan supaya:
    • Meminimakan pergerakan sama ada di dalam atau ke luar negara, terutama sekali bagi mereka yang tiada dokumen perjalanan yang terbaru.
    • Tetap membawa passport dan kerneh ke mana-mana sebagai dokumen pengenalan diri serta pengesahan bahawa kita merupakan penuntut di Universiti al-Azhar.
    • Elakkan ke tempat-tempat ‘panas’ dan elakkan daripada sebarang provokasi. Sekiranya mendengar sebarang rondaan polis atau wujud tindakan daripada pihak berkuasa tempatan untuk menahan pelajar yang tiada visa, segera laporkannya kepada pihak yang berautoriti seperti JAKSI, HISBAH BKAN, EME dan sebagainya.
    • Sekiranya anda ingin ke luar negara, sediakan wang denda sebagai persediaan sekiranya ditahan. Kemudian, setelah tiba di Malaysia, perbaharui visa anda di pejabat imigresen di Malaysia.
    • Sentiasa kunjungi laman Facebook Wakil Visa MC, PERUBATAN Cawangan al-Azhar dan KBMK untuk mendapat maklumat lanjut mengenai visa (sekiranya ada).
    • Sila patuhi panduan serta langkah-langkah keselamatan yang telah dikeluarkan oleh KBMK, JAKSI dan HISBAH BKAN.

Sebagai penutup, kami turut merasai kesulitan dan kesukaran yang dihadapi oleh mahasiswa-mahasiwi Universiti al-Azhar, serta berharap agar kita semua dikekalkan dalam kesabaran dalam menghadapi masalah ini. Semoga Allah mempermudahkan urusan kita dan membukakan jalan agar masalah ini dapat segera diselesaikan. Sebarang permasalahan, cadangan atau soalan, sila diajukan kepada Biro Kebajikan PERUBATAN Cawangan al-Azhar.

Semoga Allah mempermudahkan urusan kita semua. Wallahu a’lam.

 

“We Unite To Serve Our Community”

“PCA: Unity in Diversity”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

 

EIZZUL FAHMI BIN BADLISHAH

Ketua Biro Kebajikan & Perumahan

PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2018/2019

 

A’FAF BINTI OTHMAN

Timbalan Ketua Biro Kebajikan & Perumahan

PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2018/2019

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?