[BEKERJA DENGAN PERUBATAN, BEKERJA UNTUK ISLAM]

0

BEKERJA DENGAN PERUBATAN, BEKERJA UNTUK ISLAM

Dewasa ini, kita berhadapan dengan dunia yang penuh fitnah yang memerlukan kepada pekerja Islam yang sanggup bekerja untuk mendaulatkan kembali kegemilangan Islam atas muka bumi ini. Adakah kita sudah menyumbangkan jiwa kita kepada jalan Islam? Adakah kita sudah menjadi mahasiswa yang menjalankan perintah Amar Makruf Nahi Mungkar dengan baik? Kadang-kadang persoalan yang bermain di fikiran kita perlulah didahului dengan tindakan berbanding omong-omong kosong.

Pertama sekali, sebagai penggerak kita perlu memahami apakah itu ikhlas dalam bekerja mengikut syariat. Ikhlas ialah amalan semata-mata mencari keredaan Allah SWT, tanpa dicampuri dengan tujuan duniawi. Amalannya tidak dicampuri dengan keinginan nafsu, harta, kemasyhuran, meminta pujian atau lain-lain lagi. Setiap amalan yang diterima oleh Allah SWT mestilah menepati dua syarat berikut:
1. Ikhlas dan membetulkan niat.
2. Bertepatan dengan sunah dan syarak.
Jika salah satu daripada kedua syarat ini tiada, maka amalan tidak diterima sama sekali.

Ikhlas adalah amalan hati. Ianya tidak boleh dinilai oleh mana-mana manusia dan hanya Allah SWT yang mengetahuinya. Jadi, antara tanda ikhlas ialah tidak kisah sekiranya perjuangan Islam masih belum menang, tidak merasa malas, tidak takut diugut ataupun merasa penat setelah lama berjuang. Sesungguhnya Allah SWT tidak akan bertanya di akhirat nanti, “Adakah perjuangan kamu berjaya?”, tetapi Allah akan bertanya, “Adakah kamu berjuang sehingga akhirnya atau tidak?”

Di samping itu, pekerja Islam perlulah takutkan kemasyhuran dan bimbang amalannya tidak diterima oleh Allah SWT. Hati mereka sentiasa bertanya adakah Tuhan menerima amalan aku? Benarkah aku tidak riya’? Janganlah kita menjadi seperti orang munafik yang melarikan diri ketika Islam ditindas, tetapi memunculkan diri ketika kemenangan Islam tiba. Orang beriman perlulah terus bersama Islam walaubagaimana sekalipun keadaan dan cabarannya.

Kefahaman daripada ikhlas menghasilkan amal dan pengorbanan. Kita perlulah sedar kita hidup di atas muka bumi ini bukanlah hanya menjadi ahli teori semata-mata, tetapi menjadi kewajipan kepada kita bekerja tanpa mengenal erti penat dan lelah. Janganlah kita membiarkan diri kita sentiasa berada dalam zon selesa yang menjadikan kita umat Islam yang tidak produktif dan pemalas. Amal yang soleh adalah hasil daripada dua elemen; iaitu kefahaman yang jelas dan keikhlasan yang sejati. Sebagai mahasiswa, kadang-kadang kita perlu mengorbankan harta, masa, jiwa dan tenaga di jalan Islam. Bila lagi kita akan mulakan kalau bukan dari zaman muda yang mana masih kuat tubuh badan dan semangatnya yang tinggi?

“Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas kasihan akan hamba-hambaNya.”
(Surah al-Baqarah: Ayat 207)

Apa jua yang kita sumbangkan baik harta, masa, tenaga, yakin dan percayalah segalanya akan diganjari oleh Allah, sama ada kecil atau besar. Setiap derap langkah yang kita jejaki di medan amal ini, Allah tidak akan lenyapkannya dan diganjarkan dengan kebaikan sepuluh kali ganda seumpamanya sehingga tujuh ratus kali ganda banyaknya. Teruskan melangkah!

Sepanjang perjalanan medan amal ini, pentingnya kita menjaga ukhuwah sesama kita dan sentiasa berada dalam jemaah. Perkara ini diumpamakan seperti seekor kambing yang mudah dimakan oleh serigala berbanding sekawan kambing yang lebih terjaga keselamatannya. Pentingnya kita menjaga hak sesama kita bagi melahirkan perasaan mahabbah, saling mempercayai, dan sebagainya.

Sukalah penulis menghuraikan kepentingan menjadi seorang penggerak:
1.Dapat menyempurnakan salah satu tuntutan Amal Islami.
2.Dapat mengasah cara berfikir dan bekerja dengan lebih matang.
3.Mendapat pengalaman dalam menggerakkan sesuatu program/ aktiviti/ organisasi.
4.Dapat membantu pembangunan diri dalam aspek pengurusan diri dan masa.
5.Membantu meningkatkan kemahiran berkomunikasi.
6.Dapat mengasah bakat dan mempelajari ilmu selain ilmu akademik.
7.Menjadi medan untuk mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.
8.Dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah.

Akhir kata, setiap perkara yang kita sumbangkan untuk Islam bukan hanya dapat memberi manfaat kepada diri kita malah orang sekeliling kita. Yakinlah dalam setiap kesusahan dan keperitan yang kita lalui, pasti di akhirnya akan dikecapi kemanisannya. Baca, faham dan hadamlah istilah ‘Bekerja dengan PERUBATAN, Bekerja untuk Islam’.

Syifa’ binti Hairul Anuar
Timbalan Setiausaha,
PERUBATAN Cawangan al-Azhar.

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?