[ARTIKEL JANUARI: DISINFEKSI]

0

Artikel Khas Januari 2019

Tajuk: DESINFEKSI
Penulis: Hajar bt. Ab Rahman

5.15 PM. Angka tersebut terpapar pada jam Casio hitam di pergelangan tangan kanan. Kaki dilangkah turun dari bas.

“Alamak, 5 minit lagi pasti akan azan Maghrib ni. Rasanya sempat singgah ke pasar. Nak beli buah sikit sahaja.” Aku mencongak dalam hati. Teringat pesanan teman serumah supaya membeli buah strawberi sebelum aku keluar tadi. Petang masih cerah. Jalan masih sesak dan sibuk dengan deruan kereta dan motor yang bersimpang-siur.
Langkah diayun masuk ke pasar. Plastik kuning dicapai dan aku memulakan pencarian buah strawberi yang elok untuk dibeli. Musim sejuk sekarang memang terkenal dengan lambakan buah strawberi yang merah dan segar. Saiznya yang lebih besar daripada kebiasaan dan rasanya yang manis menjadikan setiap mata yang memandang pasti tidak lepas untuk mendapatkannya. Jika digabungkan dengan kombinasi coklat cair pasti akan membangkitkan lagi selera.

“AllahuAkbar AllahuAkbar…” terdengar azan Maghrib berkumandang.

“Allah, waktu Maghrib sudah masuk ni. Aku harus segera pulang. Nanti kena guna musyrif kalau sudah gelap. Tetapi masih cerah lagi kan?” Kepala mendongak ke langit, menyesuaikan keadaan dengan monolog sendiri, ayat untuk menyedapkan hati.

“Ustazah…”

Satu suara menyapa. Mataku menoleh. Dua orang lelaki Melayu berdiri bersama bungkusan plastik sayur di tangan. “Aaa sudah, gaya macam kena tegur pasal musyrif dah ni. Valid tak kalau buat macam tak dengar?” Otak ligat berfungsi memikirkan reaksi apa yang harus aku tunjukkan ketika ini.

“Dah azan Maghrib dah ni. Ustazah duduk di mana? Biar kami hantar pulang.” Ujar ustaz yang bertanya tadi.

Saat itu terasa seperti mahu menyembunyikan diri di balik timbunan buah. Baru sahaja berkira-kira untuk sempat bergegas pulang tanpa menggunakan musyrif. Lagi pun, rumah hanya sebatu dari pasar. Tidak mahu menyusahkan sesiapa dan hari masih cerah. Manusia di sekeliling juga ramai dan pasti tidak akan berlaku apa-apa jika pulang seorang diri.

“Tidak mengapa ustaz, rumah saya di belakang lorong itu sahaja. InsyaAllah tidak jauh dan saya boleh balik sendiri. Saya rasa tak gelap lagi kalau saya lari balik,” Balasku sambil tangan masih memegang sebiji strawberi untuk dimasukkan dalam plastik. Nampaknya berakhir sudah pemilihan buah strawberi untuk hari ini.

“Oh tidak mengapa. Rumah kami pun dekat sahaja dengan lorong itu. Ustazah boleh selesaikan membeli buah, InsyaAllah kami tunggu di sini.” Katanya dengan nada lembut tetapi tegas.
Lidah terkedu tanpa bantahan. Kuasa musyrif memberi arahan. Selesai membeli, dua orang ustaz itu menghantarku pulang. Hanya terima kasih dan permohonan maaf yang dapat diberikan. Perasaan memberontak hadir kerana berasa tidak perlu menggunakan musyrif ketika itu namun juga diselubungi rasa bersalah kerana ustaz itu terpaksa menjadi “musyrif terkejut” aku petang itu.

“Kau beli tak strawberi?” Sengihan Syuk di muka pintu menyambut kepulangan.
“Sebab strawberi ni lah aku kena tegur dengan musyrif. Ada ustaz hantar balik sebab katanya dah maghrib.” Plastik bertukar tangan.
“Itu Allah yang jaga kau. Ustaz itu wasilah sahaja. Bersyukur tau. Kita tak tahu apa yang akan berlaku.” Syuk membalas bersama lambaian tanda terima kasih lalu melangkah ke dapur. Tiba-tiba aku terfikir, betul juga kata Syuk. Siapa tahu ada musibah berlaku tadi, Nauzubillahi minzalik.

“JOM GUNA MUSYRIF, ANDA MAMPU MENGUBAHNYA!”

Poster yang ditampal di belakang pintu menyentak lamunanku. Macam perli sahaja tajuk poster ini.

“Syuk, sejak bila poster ni ada dekat sini?” tanyaku.

“JAKSI yang bagi tadi. Mereka buat sebaran poster daripada rumah ke rumah. Seruan kempen menggunakan musyrif. Aku yang tampal poster tu belakang pintu. Supaya beringat sikit. Sesuai lah untuk kau yang ‘rajin’ pakai musyrif tu.” Hanya suara yang membalas. Gerangan orangnya masih ligat membasuh di dapur. Syuk sudah arif dengan perangai aku. Pelik betul hari ni. Kenapa semua hal hari ini berkaitan dengan musyrif? Bisik aku mencari jawapan.

Aku salah seorang yang selalu mengelak daripada menggunakan musyrif. Bagi aku, musyrif seolah-olah mengongkong perjalananku. Aku berasa selesa dan selamat untuk bergerak menggunakan Uber seorang diri. Dan aku ada juga berasa bersalah untuk menggunakan musyrif kerana seperti menyusahkan tenaga dan masa pelajar siswa hanya untuk menjaga keselamatan aku.

Ketukan di pintu kedengaran.

“Masuk.” Laungku sambil fokus dengan bacaan Pharmacology sedari lepas solat Isyak tadi.
“Aku nak pulangkan buku yang aku pinjam tadi. Terima kasih.” Syuk meletakkan buku nota di atas mejaku.
“Maya, kau ada dengar kes JAKSI terbaru tak?” Tanya Syuk sambil meneliti telefon bimbit miliknya lalu melabuhkan duduk di atas katil.
“Kes apa? Tak tahu pun.” Ujar ku. Mataku masih fokus di dada buku.

“Nah baca.” Syuk memberikan telefon bimbit Iphone miliknya.

‘..Kenyataan semasa JAKSI, telah berlaku kejadian ragut yang melibatkan mahasiswi Melayu di Syari’ Abu Ahmad pada jam 5.45 petang tadi. Seorang mahasiswi diragut dan diseret oleh dua orang lelaki warga Arab yang menaiki motor. Mangsa dipercayai berjalan seorang diri ketika itu dan beg tepi yang dipakainya direntap…”

Astaghfirullahalazim. Aku membaca perlahan kenyatan tersebut. Aku tergamam dan tersentak. Terkejut dengan kejadian tersebut. Namun apa yang lebih mengejutkan aku ialah Syari’ Abu Ahmad adalah jalan yang berdekatan dengan pasar yang aku singgah tadi. Pasar yang kusangkakan selamat dan aku boleh berjalan pulang seorang diri.
“Betul lah Allah jaga kau tadi. Cuba kalau kau balik seorang diri tadi, Nauzubillah. Mulai dari sekarang, kau kena ubah persepsi buruk kau terhadap musyrif. Musyrif ni penting tau Maya, bukan satu isu yang remeh. Isu musyrif ini melibatkan nyawa dan maruah kita khususnya sebagai seorang perempuan. Malang memang tidak berbau, tapi jangan sengaja dijemput perkara yang tak baik tu.
Hadis Nabi ada menyebut,’ لا ضرر ولا ضرا ر’ yang bermaksud jangan memudaratkan diri sendiri dan orang lain. Kalau berlaku sesuatu pada kita, bukan hanya kita seorang sahaja yang susah, ramai individu lain yang akan turut menanggung kesusahan kita.” Panjang lebar Syuk menerangkan. Aku tahu Syuk risau.

Rupanya itulah petunjuk dan gerak hati yang Allah hantar kepadaku untuk mengubah sikapku terhadap sistem musyrif. Maha Baiknya Allah SWT, mengingatkan aku bahawa jangan sudah terhantuk baru hendak terngadah. Aku berazam. Aku tidak akan menolak konsep musyrif lagi. Aku mula berasa takut untuk bergerak seorang diri dan tidak menggunakan musyrif. Baru aku sedar bahawa peringatan yang JAKSI dan HISBAH selalu sampaikan adalah suatu perkara yang berhikmah besar.

“Kau dengar tak apa yang aku cakap ni? Penat aku ceramah pada kau. Tu tengok apa yang khusyuk sangat dekat handphone tu?” Syuk menguis bahuku.

“Apa tagline JAKSI ya? Oh, aku ingat!”

“Kenapa?” Syuk bertanya.

“Tengok status WhatsApp aku. Aku nak pergi sujud syukur dan solat taubat.”

Syuk lantas membuka aplikasi WhatsApp. Status Maya.

” وَلا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ..”
“..Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, karena sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik ” (Al Baqarah 195)

“HAK TERTEGAK, BIAH TERPELIHARA”

JOM GUNA MUSYRIF!

Alhamdulillah, Syuk melafazkan. Maya sudah berubah. Semoga dia terus istiqamah!

ARTIKEL BERKAITAN

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?