[MINDA PIMPINAN: ECHOING THE STUDYING SPIRITS]

0

MINDA PIMPINAN: ECHOING THE STUDYING SPIRITS

Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat ke 11, “Hai orang-orang beriman! Apabila dikatakan kepadamu: “Berlapang-lapanglah dalam majlis”, maka lapangkanlah nescaya Allah SWT akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu”, maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Suka untuk kami mengeluarkan satu persoalan penting. Sebenarnya apakah tujuan kita datang ke Mesir? Adakah sekadar paksaan kedua ibu bapa ataupun sekadar ingin melancong di negara orang? Mari kita renung kembali tujuan asal kita datang ke mari. Hadirnya kita di sini adalah untuk menuntut sebanyak mana ilmu yang ada di ‘Ardhul Kinanah’ ini. Umum mengetahui bahawasanya negara ini dirahmati oleh Allah SWT dengan banyaknya peluang untuk menuntut ilmu. Apabila mendengar sahaja nama Universiti al-Azhar, maka orang kampung di Malaysia akan memandang kita dengan darjat yang lain. Hal ini kerana, ilmu yang berada di bumi Mesir ini amatlah banyak cuma kita yang tidak sedar atau masih lagi memikirkan masakan ibu di rumah.

Sebagai pelajar sains kesihatan, menuntut ilmu perubatan atau pergigian bukannya satu perkara yang mudah seperti di sekolah menengah dahulu. Ilmu sains kesihatan memerlukan kepada pembacaan yang banyak, hafalan yang kuat serta pemikiran yang matang dan pantas. Justeru di sini kami ingin berkongsi sedikit pengalaman sepanjang tiga tahun bergelar pelajar sains kesihatan di sini. Mungkin cara setiap orang berbeza cuma apa yang disampaikan adalah apa yang telah berjaya dilakukan, terpulang kepada individu untuk mengambilnya atau sebaliknya.

Cara belajar setiap individu berbeza. Waktu di kelas merupakan waktu yang paling berkesan menyerap segala ilmu yang disampaikan oleh pensyarah. Fokus di kelas adalah paling penting dan didapati bahawa perbuatan sentiasa mencatat apa yang disampaikan dapat mengukuhkan lagi ingatan. Apa yang kita hendak sewaktu di dalam kelas adalah kefahaman tentang subjek tersebut. Mungkin kita boleh baca sahaja buku di rumah, namun kefahaman yang diberikan oleh pensyarah tidak dapat diperoleh dengan membaca sahaja. Seterusnya, apabila pulang ke rumah, tetapkan masa untuk ulangkaji subjek yang telah belajar dan akan belajar. Manusia perlukan kepada pengulangan yang berterusan agar ilmu yang diperoleh tidak lupa. Jadual belajar amatlah penting untuk menguruskan masa kita dengan lebih efisien. Tanpa pengurusan masa yang betul, kita pasti akan merasa kesusahan dan banyak yang kita akan terlepas pandang.

Selain itu, apabila tiba musim peperiksaan, jadual kita hendaklah lebih banyak dipenuhi dengan mengulangkaji pelajaran. Banyak cara untuk kita skor dalam peperiksaan, antaranya, banyakkan menjawab soalan peperiksaan yang lepas. Hal ini untuk melatih kita untuk menjawab soalan peperiksaan yang sebenar. Fasa peperiksaan inilah akan munculnya pelbagai dugaan. Dugaan permainan, makanan, rehat, filem, drama dan sebagainya. Sekiranya seorang itu tidak kuat melawan nafsu mereka, maka mereka akan hanyut dalam kelalaian dunia dan meninggalkan belajar. Amalan seharian kita juga hendaklah ditingkatkan untuk membina hubungan dengan Allah SWT. Ingatlah yang memberi kejayaan hanyalah Allah SWT jua. Tugas kita adalah untuk berusaha sebaik mungkin. Restu ibu dan ayah juga amat penting agar kehidupan kita sentiasa diberkati lebih – lebih lagi dalam musim peperiksaan ini.

Seterusnya, perkara yang paling penting semasa belajar di sini adalah untuk tidak melupakan tanggungjawab kita yang lain. Kehidupan bermasyarakat perlulah diamalkan dalam diri setiap pelajar. Saling tegur menegur, bantu membantu dapat mengeratkan lagi hubungan sesama pelajar di sini. Ceburkanlah diri anda dalam persatuan yang ada. Ambillah sebanyak mana butir- butir mutiara di bumi Mesir ini. Walau bagaimanapun, perlu diingat untuk menyeimbangkan antara keduanya agar tidak timbul masalah yang lain pula. Kemahiran-kemahiran yang diperoleh di sini pasti akan memudahkan kehidupan kita di Malaysia kelak. Maka, janganlah takut dan risau untuk melibatkan diri dengan persatuan kerana Allah SWT pasti akan membantu hamba-Nya yang membantu hamba-Nya yang lain.

Suka untuk kami tekankan mengenai firman Allah SWT dalam surah asy-Syarh, ayat 5 dan 6,

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا ﴿٥﴾
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,

إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا ﴿٦﴾
(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

Jalan menuntut ilmu sains kesihatan semestinya bukanlah jalan yang mudah. Tetapi, indahnya janji Allah SWT apabila Dia menjanjikan kesenangan yang pasti selepas kesusahan. Ayat ini juga menjadi salah satu bukti bahawa Allah telah meletakkan hukum bahawa di setiap kebaikan yang kita impikan, pasti ada kesusahan di awalnya. Tidak mungkin dan tidak pernah ada kebaikan di dalam dunia ini diberikan Allah kepada kita dengan senang-lenang. Sedangkan mahu makan pun kita perlu melalui beberapa proses agar makanan itu masuk ke sistem badan kita. Memasak makanan dan mengunyah makanan sahaja sudah merupakan satu proses yang panjang. Jadi ini adalah sunnatullah bahawa kebaikan yang diberikan Allah kepada kita ada harganya. Sekaligus menjadi bukti bahawa Allah ingin melihat sejauh mana keinginan hamba-Nya yang serius dalam menginginkan kebaikan dalam hidupnya.

Ulama-ulama zaman terdahulu ramai yang dapat menguasai pelbagai bidang dalam satu-satu masa. Ini membuktikan bahawa tidak mustahil untuk kita menguasai bukan sahaja ilmu akademik, malah juga ilmu-ilmu ‘thaqafah’ yang lain. Had kemampuan diri seseorang terbatas hanya dengan limitasi yang diletakkan oleh dirinya sendiri. Tiada yang mustahil sekiranya kita berusaha dan ingatlah janji Allah SWT mengenai kesenangan yang menanti selepas kesusahan yang diberi.
Akhir kata, kami menyeru semua ahli PERUBATAN Cawangan al-Azhar untuk bersama-sama terus bersemangat dalam menempuh jalan menuntut ilmu dan ingatlah bahawa sebagai seorang muslim adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mencuba sehabis baik dalam setiap perkara yang kita lakukan. Sesuai dengan seruan Allah SWT yang membawa maksud bahawa kita adalah sebaik-baik umat. Terapkanlah dalam diri kita bahawa setiap ilmu yang dipelajari akhirnya adalah untuk kita sumbangkan kembali kepada agama dan negara agar kita dapat melahirkan generasi akan datang yang jauh lebih baik dari kita dan dapat membawa kemenangan agama Allah.
Sirru ‘Ala Barakatillah.

Biro Akademik,
PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2018/2019.

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?