ILMU | ANTARA KHIANAT DAN AMANAH

ILMU | ANTARA KHIANAT DAN AMANAH

0

ILMU | ANTARA KHIANAT DAN AMANAH

Penulis: Ahmad Tasnim Muslim (Tahun 6 Kuliah Perubatan)

 

MUQADDIMAH

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ (١)خَلَقَ الإنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ (٢)اقْرَأْ وَرَبُّكَ الأكْرَمُ (٣)الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ (٤)عَلَّمَ الإنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ (٥

“Bacalah (Wahai Muhammad) dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”
[Surah al-‘Alaq: Ayat 1-5]

Wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah SWT jelas menunjukkan betapa pentingnya ilmu dalam kehidupan seseorang manusia. Tanpa ilmu, maka segala amal dan gerak kerja yang dilaksanakan sudah pasti tidak bertahan lama jika hanya didorongi oleh semangat semata-mata. Imam as-Syahid Hasan al-Banna juga telah menyusun dalam kitab Risalah Ta’lim berkenaan dengan rukun perjanjian yang sepuluh, yang mana rukun pertama sekali adalah rukun faham. Daripada rukun faham itu maka keluarlah penerangan terhadap kefahaman yang dimaksudkan (usul 20). Menunjukkan betapa pentingkan ilmu dan kefahaman dalam menjalankan gerak kerja dakwah Islam. Selepas rukun faham itu barulah disusuli dengan rukun-rukun yang lain iaitu ikhlas, amal, jihad dan seterusnya.

Antara ilmu yang bersungguh-sungguh ingin dilenyapkan oleh musuh Islam adalah ilmu tentang jihad. Mereka menyedari bahawa umat Islam tidak akan sesekali memberi ancaman dan tidak akan sesekali bangkit menentang mereka melainkan dengan roh, semangat dan kefahaman tentang jihad yang sebenar. Lihatlah realiti dunia sekarang, sudah cukup menunjukkan bahawa mereka telah berjaya melenyapkan semangat dan kefahaman tentang jihad dalam diri setiap individu muslim melalui serangan pemikiran seperti liberalisme, pluralisme, sekularisme, feminisme dan sebagainya.

Musuh Islam mendoktrin masyarakat Islam dengan mengatakan bahawa jihad adalah satu perkara yang ekstrim dan sudah tidak sesuai lagi untuk dilakukan pada zaman moden lantas golongan ini dianggap sebagai ektrimis (mutasyaddidun) dalam Islam. Selain itu, mereka medakwa bahawa orang Islam tidak boleh berpolitik kerana politik itu kotor sedangkan Islam itu suci dan hukum Islam sudah tidak relevan untuk dilaksanakan. Bagaimana mereka yang dipotong tangan disebabkan mencuri (hudud) hendak mencari kerja nanti? Dek terlampau banyak serangan pemikiran yang menimpa umat Islam, maka berlakulah bencana normalisasi terhadap pencabulan prinsip-prinsip Islam seperti mana yang kita lihat di dunia Islam sekarang, hari demi hari.

Sabda Baginda SAW:

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيُنْقَضَنَّ عُرَى الْإِسْلَامِ عُرْوَةً عُرْوَةً فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ

تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ

Dari Abu Umamah al-Bahili dari Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya tali Islam akan terlepas, ikatan demi ikatan. Setiap satu ikatan terlepas, maka manusia akan berpegang pada ikatan selanjutnya. Ikatan pertama yang terlepas adalah hukum (pemerintahan) dan yang terakhir adalah solat.”
[HR. Ahmad]

SEJARAH PENGKHIANATAN TERHADAP ILMU

Pengkhiatan pertama terhadap ilmu telah dilakukan oleh musuh kita yang nyata iaitu Iblis laknatullah ‘alaih. Sekiranya hendak dibandingkan keilmuannya dengan kita sekarang perumpamaannya ibarat langit dan bumi. Oleh sebab keangkuhan dan kesombongan Iblis dengan ilmu yang dimilikinya, maka dia dihinakan sehina-hinanya dan dijanjikan oleh Allah dengan neraka Jahannam. Walaubagaimanapun, Iblis dengan penuh bongkak telah bersumpah di hadapan Allah SWT akan menyesatkan umat manusia dengan ilmu dan segala kudrat yang ada.

(قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ)

Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.”
[Surah al-Hijr: Ayat 39]

Seterusnya, kita perhati pula bagaimana pengkhianatan yang dilakukan oleh ahli kitab. Para ahli kitab telah menyembunyikan kebenaran rasul akhir zaman, Nabi Muhammad SAW. Mereka bertindak sedemikian hanya semata-mata inginkan habuan dunia dan bimbang akan kehilangan kedudukan dan pengaruh manusia terhadap mereka. Alangkah hinanya moral tindakan mereka itu. Semoga kita dijauhkan daripada tergolong dalam manusia yang menyembunyikan kebenaran untuk kepentingan dunia. Amin.

PUNCA PENGKHIANATAN

1. Ilmu yang tidak diamalkan atau hanya diamalkan sebahagian sahaja mengikut kehendak nafsu.
2. Dipergunakan untuk membantu musuh sama ada secara sedar atau tanpa sedar.

Dunia sedang berada dalam fasa akhir zaman sebagaimana yang disebut dalam salah satu hadis akhir zaman; akan semakin hilang sifat amanah dan hilangnya ilmu agama (matinya para alim ulama).

SIFAT AMANAH TERHADAP ILMU

Allah SWT telah merakamkan dalam al-Quran pada surah an-Naml ayat 15-44, bahawasanya Nabi Sulaiman AS dikurniakan ilmu oleh Allah yang membolehkan baginda AS berkomunikasi dengan binatang dan jin, boleh bergerak dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain dengan sekelip mata. Manakala Nabi Daud AS dikurniakan ilmu melentur besi tembaga serta mempunyai suara yang sangat lunak. Namun segala kelebihan tersebut tidak membuatkan mereka bersifat angkuh bahkan mereka bersyukur dan terus menyebarkan dakwah. Beberapa perkara yang boleh diambil sebagai pengajaran:

1. Bersyukur terhadap kefahaman ilmu yang Allah berikan
2. Tidak membangga diri bahkan menyombong diri dengan ilmu yang ada
3. Menggunakan kelebihan ilmu untuk menyebarkan Islam yang syumul

Selain itu, perjalanan Nabi Musa dengan Nabi Khidir juga antara kisah yang boleh diambil pengajaran oleh kita sebagai penuntut ilmu. Kisah ini telah termaktub di dalam al-Quran dalam surah al-Kahfi Ayat 66-82. Antara beberapa intipati yang boleh didapati dalam kisah ini adalah:

1. Mestilah beransur-ansur dalam menyampaikan ilmu.
2. Menuntut ilmu memerlukan kesabaran, kesungguhan, beradab dan berakhlak.
3. Hendaklah dibajai dengan sifat tawaduk, elakkan rasa megah dan sombong.
4. Mewujudkan komunikasi dua hala dalam membincangkan sesuatu ilmu .

KELEBIHAN AHLI ILMU

Allah memuliakan orang yang menuntut ilmu itu beberapa darjat dan membezakan orang yang berilmu dan tidak berilmu.

Firman Allah SWT:

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

“Katakanlah: Adakah sama orang yang menyetahui dengan orang yang tidak mengetahui?”
[Surah az-Zumar: Ayat 9]

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

“Meninggikan oleh SWT orang yang beriman dalam kalangan kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama beberapa darjat.”
[Surah al-Mujadalah: Ayat 11]

Sabda Baginda SAW yang bermaksud:

“Keutamaan orang berilmu (alim) dari seorang yang ahli ibadah (‘abid) adalah seperti keutamaan bulan pada malam bulan purnama dari seluruh bintang. Sesungguhnya alim ulama itu adalah pewaris para Nabi. Dan para Nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Barangsiapa mengambilnya (mewarisinya) maka ia telah mengambil dengan bahagian yang besar.”
(HR. Tirmizi, Ibnu Majah, Abu Daud)

Semakin dekat dirinya kepada Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran:

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ

“Sesungguhnya orang yang takut (mendekatkan diri) kepada Allah SWT ialah dari kalangan hamba-hamba-Nya yang berilmu.”
[Surah Fatir: Ayat 28]

PENYAKIT AHLI ILMU

1. Tiada/kurang adab terhadap guru dan ilmu.
2. Bermegah-megah dengan ilmu yang diperoleh.
3. Menyembunyikan/takut menyatakan kebenaran.
4. Menyeleweng ilmu untuk maslahat dan kepentingan peribadi.
5. Memecah-belahkan masyarakat dengan kepakaran ilmu yang ada.
6. Menggunakan ilmu sebagai alat untuk mendapatkan habuan dunia semata-mata.
7. Menyesatkan manusia dengan ilmu sama ada sedar atau tidak (nauzubillah min zalik).

REALITI SEMASA: ‘SEKULARISME’ ILMU DAN AMAL

Umat sekarang seolah-olah cuba men’sekular’kan kembali antara ilmu dan amal. Ada segolongan yang menyibukkan diri dengan ilmu sehingga lalai untuk berjihad dan menyebarkan ilmu kepada umat. Ada juga golongan yang menyibukkan diri dengan beramal dan berjihad sehingga mengabaikan kewajipan untuk menuntut ilmu.  Sedangkan sudah terbukti dalam sejarah bahawa generasi yang mensekularkan antara ilmu dan amal lah menjadi penyebab kepada kelemahan dan kejatuhan Islam.

Sejarah telah membuktikan, ketika zaman kejatuhan Kerajaan Islam Abbasiah, rakyat dan para alim ulama pada zaman itu terlalu disibukkan dengan ilmu-ilmu cabang (furu’) sehingga tersasar dari matlamat sebenar ilmu serta lalai dari menyedari perancangan jahat musuh Islam yang dalam usaha menjatuhkan khilafah Islam Abbasiah pada ketika itu.

Kita perhatikan pula tentang bagaimana jatuhnya Khilafah Uthmaniah. Selain daripada kelemahan ekonomi, hilangnya nilai-nilai Islam dalam diri pemerintah serta rakyatnya. Tidak dinafikan juga golongan pemuda yang menerajui sebuah gerakan yang dinamakan The Young Turks yang semata-mata bersemangat inginkan perubahan terhadap kerajaan Islam Uthmaniah tanpa didasari dengan ilmu Islam dan kurang cermat terhadap tipu daya musuh lantas dipergunakan musuh Islam untuk menjatuhkan Khilafah Uthmaniah.

Apa yang kita boleh simpulkan, kegagalan kita dalam memahami Islam yang sebenar menjadi punca kepada kemunduran, perpecahan dan kehancuran Islam serta umatnya. Oleh itu, kita sebagai mahasiswa Islam perlu menerapkan dalam diri kefahaman akidah Islamiah yang sebenar serta mengetahui hakikat sebenar apa itu Islam dan apa itu jahiliah.

BEBERAPA PENGAJARAN YANG BOLEH DIAMBIL

1. Bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dan berusaha untuk mengamalkannya.
2. Mencontohi segala sifat Nabi SAW dan para Nabi yang lain terhadap ilmu.
3. Mengenalpasti segala penyakit ahli ilmu dan bertindak menjauhkan diri daripadanya.
4. Jangan mengikut telunjuk Iblis yang mana menyalahgunakan keilmuannya untuk menyesatkan anak keturunan Adam AS, menjauhkan bahkan memecah-belahkan manusia daripada petunjuk dan jalan yang ditunjuki Baginda SAW.
5. Berhati-hati dan mengambil tahu tentang perancangan jahat musuh yang mempergunakan ahli ilmu untuk melemahkan dan menjatuhkan Islam.
6. Celik sejarah dan sirah bagaimana umat-umat terdahulu diperdaya daripada memahami Islam yang sebenar.

PENUTUP

Kesimpulannya, matlamat ataupun tujuan ilmu itu adalah untuk diamalkan dan disebarkan. Bukan semata-semata berlumba siapa yang lebih berilmu, siapa yang lebih tinggi sanadnya. Ilmu dan amal sesekali tidak boleh dipisahkan. Kematian kita belum pasti bilakah masanya. Jadi, marilah sama-sama kita berusaha mudah-mudahan Allah menjadikan kita ahli ilmu yang fakih dan juga istiqamah dalam mengamalkannya. Mudah-mudahan segala ilmu yang kita belajar akan menambahkan thaqafah, iman dan amal insya-Allah. Akhir kalam, saya tinggalkan pesanan Imam Hasan al-Basri sebagai renungan bersama:

“Sesungguhnya apabila aku menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu, bukan juga yang paling soleh atau solehah dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna nescaya tidak ada pendakwah, maka akan sedikitlah orang yang memberi peringatan.”

Wallahu’alam.

Ahmad Tasnim bin Muslim
Kaherah, Mesir.

ARTIKEL BERKAITAN

0

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?