MINDA PIMPINAN: Value Our Humanity

MINDA PIMPINAN: Value Our Humanity

0

MINDA PIMPINAN: Value Our Humanity

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

((Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) itu pasangannya (isterinya, Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan, lelaki dan perempuan yang ramai.

Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (kaum kerabat), kerana sesungguhnya Alah sentiasa memerhati kamu.))

[Surah an-Nisa: 1]

Alhamdulillah, syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi yang telah mengizinkan tulisan ini dipaparkan. Begitu juga Dialah yang mengizinkan kalian membaca tulisan ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan keluarganya, yang bersusah-payah, berpenat-lelah mengorbankan harta dan tenaga untuk memastikan kelangsungan agama Islam sehingga ke hari ini.

Kita sebagai manusia diciptakan dan ditakdirkan hidup di bumi ini bukan berseorangan. Allah telah mengurniakan kita keluarga, rakan-rakan dan masyarakat di sekeliling kita untuk menyempurnakan lagi kehidupan kita. Justeru, Allah juga telah menyebutkan arahanNya dengan jelas dalam ayat di atas supaya manusia sentiasa memelihara hubungan antara manusia. Ada beberapa hak manusia lain yang perlu kita penuhi sebagai seorang muslim. Ianya adalah hak kemanusiaan.

Bila perkataan kemanusiaan ini disebut, sudah tentu medan perang dan senjata yang berada dalam pemikiran kita. Suasana peperangan yang berlaku di Gaza dan negara Islam yang lain berlegar di benak fikiran. Perasaan sayu dan marah bercampur-baur mengenangkan keadaan mangsa-mangsa yang terbunuh. Namun ramai dalam kalangan kita menganggap isu ini adalah sekadar isu kemanusiaan. Ianya bukan hanya terbatas kepada isu kemanusiaan, bahkan ini adalah persoalan iman.

Mengapa iman? Kerana Allah telah berfirman di dalam surah al-Hujurat, ayat ke-10 ((Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara)). Jelas, kita sebagai orang Islam yang beriman, selayaknya merasakan penindasan yang berlaku ke atas saudara kita di Gaza, Myanmar, Burma, Syria, Iraq dan negara Islam yang lain seolah-olah berlaku kepada saudara kandung kita sendiri kerana ikatan berdasarkan pegangan iman adalah lebih kuat dan kekal berbanding dengan semua jenis ikatan.

Tidak cukup dengan menyemai perasaan belas kasihan. Tenaga dan kudrat yang Allah kurniakan buat kita hendaklah dikerahkan ke arah gerak kerja yang memartabatkan Islam. Mengapa? Cukuplah sejarah menjadi jawapan. Dahulu, Islam pernah memerintah dua pertiga dunia. Dunia ketika itu berada dalam keadaan harmoni dan sejahtera. Namun setelah jatuhnya Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924, orang Islam sudah mula ditindas.

Tidak dinafikan segala infak berupa makanan dan wang yang disalurkan dari Malaysia buat mangsa-mangsa yang berada di kem-kem pelarian adalah satu usaha padu dan bermakna buat mereka. Tetapi, jika kita memandang jauh ke hadapan, langkah yang lebih serius perlu difikirkan sedari awal. Perancangan perlu dirapikan dan persediaan dari sudut ilmu perlu diperkemaskan bagi menghadapi dunia yang kian mencabar.

Akhirnya, semoga semua mahasiswa dapat menjadi batu-bata dalam perjuangan memartabatkan Islam. Janganlah kita menjadi golongan yang mengecewakan baginda Rasulullah SAW. Golongan yang tidak berjuang sehabis baik dalam mempertahankan agama Allah Taala. Lihatlah isu kemanusiaan atau lebih tepat isu persaudaraan sebagai satu isu yang penting supaya kita tidak mengulangi sejarah yang pahit. Sama-sama kita renungkan hadis baginda nabi SAW : “Seorang mukmin dengan orang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan yang bahagian-bahagiannya saling mengukuhkan antara satu sama lain”, hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

 

Biro Pembangunan Insan,

PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2018/2019.

ARTIKEL BERKAITAN

0

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?