MINDA PIMPINAN: Intensifying Our Brotherhood

MINDA PIMPINAN: Intensifying Our Brotherhood

MINDA PIMPINAN: INTENSIFYING OUR BROTHERHOOD

 

Maha Suci Allah, segala yang berada di langit dan juga yang berada di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah SWT, dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Selawat dan salam ke atas junjungan baginda Nabi Muhammad SAW serta keluarga dan para sahabat baginda SAW kerana atas usaha baginda SAW menyampaikan dakwah, kita dapat merasai nikmat iman dan Islam.

 

Saudara seIslamku sekalian, kesatuan ummah merupakan perkara terbaik di dunia. Dipetik daripada Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kesatuan membawa maksud keadaan atau hal yang satu. Manakala, ummah membawa maksud umat Islam yang mengikut ajaran Nabi Muhammad SAW. Justeru, kalau kita gabungkan makna kedua-dua patah perkataan tersebut, kesatuan ummah bermaksud umat Islam yang bernaung di bawah satu panji pemerintahan demi menjaga kepentingan dan matlamat Islam. Allah SWT berfirman di dalam surah as-Saff, ayat 4:

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”

Ayat ini jelas menyatakan bahawa umat Islam yang mengaku Islam dan beriman perlu bersatu dalam menghadapi semua perkara bagi mengelakkan terjadinya perpecahan.

 

Mari kita lihat ibrah di sebalik kisah para sahabat terdahulu. Jika tiadanya kesatuan antara mereka, manakan mungkin mereka mampu untuk menyediakan satu kumpulan tentera bagi menghadapi serangan musyrikin. Diceritakan ketika penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah, antara golongan yang dihadapi oleh Nabi Muhammad SAW ialah para sahabat dari kalangan Muhajirin dan Ansar. Kabilah terbesar yang menguasai Madinah pada ketika itu dikenali sebagai suku Aus dan Khazraj di mana mereka dipersaudarakan dengan golongan Muhajirin oleh Nabi Muhammad SAW. Golongan Muhajirin yang telah meninggalkan kampung halaman, harta benda dan sebagainya menghadapi segala masalah dengan mudah hasil pertolongan saudara-saudara baru mereka iaitu golongan Ansar. Bagi golongan Ansar, mereka tidak menganggap kedatangan saudara-saudara mereka itu sebagai satu masalah malah merasakan kedatangan tersebut sebagai satu kurniaan yang besar dari Allah. Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal, ayat 74:

“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan (kepada orang-orang Muhajirin), mereka itulah orang yang benar-benar beriman. Untuk mereka keampunan dan rezeki yang mulia.”

Dari ayat suci al-Quran ini, dapat kita lihat bahawa ganjaran yang diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya yang memelihara kebajikan saudara mereka adalah sangat besar dan berbaloi. Maka jelaslah di sini bahawa kesatuan ummah ini sudah dipraktikkan oleh para sahabat dan diperakui oleh Allah SWT serta Nabi Muhammad SAW.

 

Sahabat-sahabat sekalian, perpecahan umat Islam adalah satu masalah yang sangat kritikal pada masa ini. Sebagaimana kita melihat dunia pada hari ini, kebanyakan umat Islam di segenap negara telah hilang akan nikmat kesatuan. Malah yang lebih mengejutkan, ada segelintir manusia yang menganut agama Islam, solat cara Islam, berpuasa di bulan Ramadan, tetapi sanggup menjadi tali barut untuk memecahkan umat Islam kerana habuan dunia yang fana’ ini. Sekarang, mari kita lihat negara Malaysia yang kita sayangi dan kita cintai. Pada pandangan sahabat sekalian, bagaimana dengan kesatuan umat Islam kita di Malaysia? Adakah memuaskan? Ataupun adakah sudah berada di tahap yang membimbangkan?

Sungguhpun begitu, amatlah digalakkan kepada kita untuk berusaha ke arah yang lebih baik walau ditimpa berbagai-bagai ujian di samping mengajak orang-orang sekeliling kepada kebaikan. Pepatah Arab ada menyatakan yang bermaksud, perbaikilah dirimu dan ajaklah orang lain. Diterangkan lagi dalam firman Allah SWT dalam surah al-Asr, ayat 2 dan 3:

“Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

Ayat ini cukup mudah untuk kita faham bahawa Allah SWT menghendaki kita untuk saling berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran supaya kesatuan dan ikatan hati antara orang yang beriman makin kuat dan kukuh. Maka wahai sahabatku yang dikasihi, marilah kita menyambut seruan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW dan menyambung tali persaudaraan kita serta mengukuhkan lagi kesatuan antara umat Islam. Pepatah Melayu ada mengatakan, bersatu teguh, bercerai roboh. Sedangkan rumah pun memerlukan tiang-tiang yang banyak untuk menegakkannya, inikan pula kesatuan ummah yang ramai ahlinya.

 

Jika kita teliti dalam al-Quran, terlalu banyak arahan dan suruhan Allah kepada kita untuk mengukuhkan kesatuan ini. Antaranya ialah selalu bersangka baik terhadap saudara seIslam kita, dan jangan mudah percaya dengan tuduhan-tuduhan luar terhadap mereka. Selidiklah kebenaran dan hukumlah dengan cara Islam sekadar kemampuan kita. Seterusnya, sentiasalah ambil cakna akan kebajikan mereka dan bersedia untuk menghulurkan bantuan dalam apa jua keadaan. Keadaan ini bertepatan dengan janji Allah SWT dalam surah Muhammad, ayat 7:

“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”

Merenung kepada intipati ayat ini, suka saya bertanya kepada sahabat sekalian. Jika janji Allah SWT ini tidak kita idamkan, maka balasan apa lagi yang kita inginkan?

 

 

Biro Penerbitan dan Penerangan,

PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2018/2019.

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?