MINDA PIMPINAN: Deraigning Returns of Pure Souls

MINDA PIMPINAN: Deraigning Returns of Pure Souls

MINDA PIMPINAN: DERAIGNING RETURNS OF PURE SOULS

 

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, dan dengan-Nya kita meminta pertolongan. Selawat dan salam ke atas junjungan Baginda Nabi Muhammad SAW, dan juga keatas keluarganya dan para sahabatnya serta mereka yang mengikutinya dengan amal hingga hari kiamat.

 

Firman Allah di dalam al-Quran: “Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah Ghafir, ayat 57)

 

Telah menjadi satu persoalan lazim yang timbul dalam benak pemikiran manusia, iaitu persoalan tentang “mengapakah Tuhan menjadikan seluruh alam ini?” Sifat dan naluri ingin tahu manusia menjadikan kita sering tertanya-tanya apakah signifikasi kejadian-kejadian alam yang sungguh besar dan hebat ini. Perhatikanlah disekeliling kita, bukan sahaja kita berasa kagum tentang kejadian satu bentuk tubuh manusia, malah tidak dapat disenaraikan kebesaran Allah dari pandangan atas hingga ke lantai anda berpijak. Tetapi di sebalik keajaiban dan kekaguman kita, pernahkah terintas di fikiran kita, tujuan apakah tuhan menciptakan segala-galanya ini?

 

Penciptaan adalah bukti adanya Sang Pencipta. Akan tetapi, tidak bermaksud bahawa Sang Pencipta yang Maha Agung itu memerlukan ciptaanNya, malahan sebaliknya. Allah tuhan yg Maha Esa dan Maha Pencipta tidak memerlukan sesuatupun sama sekali. Boleh sahaja Dia tidak menciptakan alam ini jika dia menghendaki. Namun, diciptakannya seluruh isi semesta ini dengan tujuan yang tertentu. Setelah kita merenung tentang sesuatu yang lebih mudah membawa manusia memikirkan kebesaran Allah SWT iaitu kejadian alam semesta, luaskan pemikiran kita kepada mukjizat-mukjizat yang terselindung tapi tidak ubah tujuannya, juga untuk menzahirkan kebesaranNya dan bertujuan untuk mengurniakan pahala yg berganda-ganda kepada hambaNya. Apakah ia?

 

Bulan Ramadan adalah bulan yang paling dinantikan oleh umat muslim. Saat itu, dianggap sebagai bulan yang penuh berkat dan rahmat. Semua umat Islam disyariatkan untuk berpuasa. Allah menjanjikan akan memberi barakah kepada orang yang berpuasa. Seperti ditegaskan sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Suny dan Abu Nu’aim: “Berpuasalah maka kamu akan sihat.” Dengan berpuasa, akan diperoleh manfaat secara biopsikososial berupa kesihatan jasmani, rohani dan sosial. Mukjizat Ramadan yang dijanjikan dalam berpuasa inilah menjadi daya tarik ilmuwan untuk meneliti dengan lebih terperinci tentangnya.

Terkadang padatnya aktiviti duniawi menjadikan kita tidak memiliki waktu untuk beribadah dan mengakrabkan diri dengan-Nya. Momentum Ramadan ini kiranya dapat menjadi media terbaik bagi kita untuk mendekatkan diri dengan Yang Maha Kuasa. Pada bulan Ramadan , manusia adalah tetamu Allah. Sehingga mereka harus memenuhi syarat-syarat untuk meraih kehormatan Tuhannya. Al Quran menyebut: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu.” (Surah Ash-Shams, ayat 9)

 

Penyucian jiwa yang kita harapkan bukanlah wujud dalam tempoh Ramadan sahaja. Setiap apa yang mendidik kita punya matlamat untuk selepasnya, semoga penyucian jiwa yang ditempohi menjadi permulaan hidup yang sejahtera di bawah pemerhatian Allah.

 

Jadi, apabila kita mendapat pengampuanan dri Allah. Apa tindakan kita selepas Ramadan ? Salah satu tanda penerimaan Allah terhadap ibadah puasa yang kita laksanakan ialah, kehidupan kita berubah, walaupun satu inci. Jika gaya kehidupan kita menjadi lebih baik selepas Ramadan, bermaksud, Ramadan kita diterima oleh Allah. Maka sebaliknya, jika tiada perubahan atau mungkin semakin buruk, kita telah bazirkan nikmat Ramadan itu sendiri. Bak kata pepatah Inggeris, “Reward on condition it is done with conviction.”

 

Kita mestilah mengakhiri setiap amalan baik kita dengan memohon pengampunan dari Allah, selesai solat kita disunatkan untuk mengucapkan astaghfirullah. Sesudah ibadah haji kita disunatkan untk mengucapkan istighfar dan taubat, dan sama sekali apabila kita mengakhiri ibadah puasa, kita seharusnya mengakhiri dengan taubat dan jiwa yang suci. Kerana, taubat itu adalah faktor yang paling utama untuk Allah menerimanya. Mungkin kita selangi puasa kita dengan keadaan yg marah, puasa yang kurang sempurna, melihat keburukan dan sebagainya. Sebab itulah Allah mensyariatkan kita untuk sering mengucapkan kata taubat dan syukur.

 

Bagi orang beriman, tiada istilah terlambat untuk  berbuat kebaikan. Tidak terlambat jika kita cuba rekleksi balik diri kita dengan soalan. Adakah cita-cita Ramadan kita terlaksana ? Oleh kerana itu, sesungguhnya wajib bagi seorang mukmin apabila dia melihat imannya berkurang atau merasakan sesuatu dari indikasi futur, hendaklah ia berbekal dengan sebab-sebab bertambahnya keimanan, dan mengetahui tentang faktor-faktor pendokongnya. Jadi, jika kita boleh pastikan iman sepanjang Ramadan dalam keadaan baik, di bulan-bulan seterusnya pasti juga boleh. Dengan iman yang tinggi, kehendak untuk meneruskan kebaikan tidak akan luput. Itulah tarbiyah Ramadan yang sebenarnya, memulangkan jiwa yang baru sebagai muslim.

 

Eloklah sekiranya kita bermuhasabah apakah dengan menjalani ibadah puasa Ramadan itu kita merasai kesan tarbiyahnya. Antara kesan yang utama adalah jiwa kita bertambah kuat. Dalam hidup, manusia sentiasa didominasi hawa nafsu. Oleh itu, dalam Islam ada perintah supaya memerangi nafsu. Perangi di sini bermaksud berusaha untuk menguasainya, bukan membunuh nafsu sehingga membuat kita tidak mempunyai keinginan langsung terhadap sesuatu yang bersifat keduniaan. Sekiranya manusia kalah untuk perangi hawa nafsu sendiri, tidak mustahil kita akan mengalihkan pengabdiannya dari Allah SWT. Ini dijelaskan dalam firman Allah SWT bermaksud; “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya.” (Surah Al-Jathiyah, ayat 23)

 

Maka sebagai pengakhirannya, perjalanan hidup kita dipenuhi nikmat yang kadang jelas terzahir dan ada juga yang hadirnya secara tersembunyi. Maka, syukurilah segala sesuatu yang Allah kurniakan dan sentiasalah mengislahkan diri dari masa ke semasa untuk diri dan Islam. Jiwa yang suci dihiasi dengan keimanan yang tidak akan mendorong ke bawah dengan sesuatu yang bersifat keduniaan. Keimanan yang sebenar adalah asas peribadi umat Islam.

“Andai diumpamakan Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir roboh, maka aku akan berjalan ke seluruh dunia bagi mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramainya bilangan mereka. Tapi aku ingin hati-hati yang ikhlas untuk membantu dan membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan yang tersegam indah.”

(As Syahid Imam Hasan Al-Bnna)

 

BIRO PERUMAHAN DAN KEBAJIKAN,

PERUBATAN CAWANGAN AL-AZHAR 2018/2019.

ARTIKEL BERKAITAN

0

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?