Dosa dan Keberkatan Menuntut Ilmu : KESAN DOSA PADA PELAJAR BIASA

Dosa dan Keberkatan Menuntut Ilmu : KESAN DOSA PADA PELAJAR BIASA

0

Dosa dan Keberkatan Menuntut Ilmu : KESAN DOSA PADA PELAJAR BIASA

 

Berbuat dosa mungkin tak menampakkan kesan serta-merta terhadap menuntut ilmu, tetapi kesannya memang ada. Cuma ia tidak dirasakan secara sedar.

 

Apabila seseorang mula membuat dosa sewaktu dia sedang melalui bangku penuntut ilmu, memang dirinya tak akan jadi bodoh serta-merta.

 

Bahkan mungkin dia boleh jadi seorang yang mendapat skor tinggi dalam peperiksaannya. Tetapi semua itu tidak lama.

 

Kebaikan yang terzahir pada dirinya hanyalah kebaikan jangka pendek (short-term benefit) semata-mata. Tetapi hakikat sebenar yang bakal berlaku ialah jiwanya akan semakin menderita. Dan kesakitan itu akan dirasainya masa demi masa.

 

Sebab itu ketika Imam Malik RA melihat terdapat kecerdasan yang luar biasa pada muridnya Imam Syafie RA tatkala usianya masih muda, bersungguh-sungguh Imam Malik RA berpesan kepada Imam Syafie RA,

 

إِنِّي أَرَى اللَّهَ قَدْ أَلْقَى عَلَى قَلْبِكَ نُورًا، فَلَا تُطْفِئْهُ بِظُلْمَةِ الْمَعْصِيَةِ.

 

“Sesungguhnya aku melihat (ada petanda bahawa) Allah SWT telah menganugerahkan cahaya (ilmu) di hatimu, maka janganlah engkau padamkan cahaya tersebut dengan kegelapan (melakukan) maksiat.” [Al-Jawaabul Kaafi, hal. 52]

 

Dan memang kesan melakukan dosa terhadap jalan menuntut ilmu ini tersangat dirasai oleh mereka yang bertaqwa kepada Allah SWT sebenarnya.

 

Sehinggakan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah RA berkata,

 

من الذنوب ما يكون سببا لخفاء العلم النافع أو بعضه بل يكون سببا لنسيان ما عُلم

 

“Antara kesan dosa-dosa itu ialah ia menjadi sebab yang menghalang ilmu yang bermanfaat atau sebahagiannya, bahkan ia boleh menjadi sebab terlupanya (seseorang itu akan) ilmu yang sudah diketahui.” [Majmu’ Al-Fatawa, 14/160]

 

Disebabkan itu tatkala Imam Syafie RA dilanda masalah sukar untuk menguasai daya menghafal ketika menuntut ilmu, Imam Syafie RA lantas mengadukan perihal masalahnya itu kepada guru murabbinya di waktu itu.

 

Sehinggakan peristiwa itu diabadikan oleh beliau ke dalam serangkap bait syair yang sangat masyhur. Bait-bait syair yang menceritakan peri pentingnya sikap menjauhi amalan maksiat bagi seorang penuntut ilmu.

 

شَكَوْتُ إلَى وَكِيعٍ سُوءَ حِفْظِي ,

فَأرْشَدَنِي إلَى تَرْكِ المعَاصي,

وَأخْبَرَنِي بأَنَّ العِلْمَ نُور,

ونورُ الله لا يهدى لعاصي.

 

“Pernahku mengadukan kepada (guruku) Waqi’ akan buruknya hafalanku,

 

Lantas beliau menunjukkan kepadaku untuk meninggalkan maksiat,

 

Kemudian beliau mengkhabarkan kepadaku bahawa ilmu itu ialah cahaya,

 

Dan cahaya Allah itu tak akan diberikan kepada pelaku maksiat.”

 

Hal yang sama juga disebutkan oleh Imam Ibnu Qayyim RA,

 

فَإِنَّ الْعِلْمَ نُورٌ يَقْذِفُهُ اللَّهُ فِي الْقَلْبِ، وَالْمَعْصِيَةُ تُطْفِئُ ذَلِكَ النُّورَ.

 

“Sesungguhnya ilmu itu ialah cahaya yang Allah curahkan di hati seseorang, dan perbuatan maksiatlah yang mematikan curahan cahaya tersebut.” [Al-Jawaabul Kaafi, hal. 52]

 

Amirul Azmeer bin Asmadi,

Mahasiswa tahun 6 kuliah perubatan Universiti al-Azhar

 

Rujukan:

1. http://www.adab.com/modules.php?name=Sh3er&doWhat=shqas&qid=14262

2. https://1bnuumar.wordpress.com/2015/10/09/maksiat-menghalangi-cahaya-ilmu/

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?