Sepotong Al-Fatihah (Ibrah Dari Kisah Benar)

Sepotong Al-Fatihah (Ibrah Dari Kisah Benar)

0

Sepotong Al-Fatihah

Hani ‘Izzati Yaakub

(Ibrah Dari Kisah Benar)

 

Hari ini kelas neurologi. Memang menjadi kebiasaan saya dan beberapa teman lain membilang anak tangga ke tingkat tujuh di sayap belakang bangunan hospital untuk sampai ke Jabatan Neurologi.

 

Bukan kufur nikmat untuk tidak menggunakan kemudahan lif, tetapi saya lebih rela menahan sakit perit kaki mendaki anak-anak tangga daripada menahan sakit perit telinga dan hati. Lantaran melihat kerenah-kerenah yang kurang enak tatkala semuanya mahu menuntut hak tersendiri, sehinggakan sanggup merombak nilai budi manusiawi.

 

Di celah mengejar kesempitan masa dan kesibukan tuntutan tugas, adegan tolak menolak, tarik menarik, jerit pekik singgah meracuni ketenangan jiwa dan mata di pagi hari. Ya, memang kebiasaannya teman-teman pelajar Malaysia hanya diam bersabar melihat sketsa harian ini berlangsung. Namun, kadangkala bertikam lidah juga jadinya, untuk menenangkan keadaan.

 

Di kemuncak bingit kekecohan itu, andai ada pengunjung yang melontarkan “Sollu ala nabiy”, semuanya seolah diberi injeksi ubat penenang. Saat ini saya selalu menghela nafas lega, kerana tatkala kalimah ajakan berselawat ini diucapkan, itu petanda ribut keadaan sudah berakhir. Kalau tidak berakhir sekali pun, keadaan beransur tenang sedikit. Api kemarahan bagai disiram air, lantas hilang maraknya. Yang lantang bersuara terus mendiam, yang bertolak-tolak lekas merenggangkan tubuh. Ribut keadaan jelas sudah reda.

 

Selawat. Itulah senjata untuk melenyapkan kemarahan, merungkaikan pertelingkahan. Itulah antara keindahan yang terselit di celah-celah hitam gelap saki baki sifat jahiliyyah yang masih bersisa dalam masyarakat di sini. Maha Besar Allah mencurahkan keberkatan dan kemuliaan Nabi-Nya kepada ummat ini.

 

***

Dengan nafas yang masih tercungap, kami meluru masuk ke dalam kelas. Kelihatan Profesor sedang sibuk membuat persiapan untuk sesi pelajaran hari ini di sisi komputer riba beliau.

 

“Hari ini kita akan belajar beberapa ujian untuk mengenalpasti fungsi saraf.”

 

Setelah selesai pelajaran teori, seorang pesakit lelaki lebih separuh abad usia melangkah masuk ke dalam kelas.

 

“Pak Cik, baring di atas katil.” Ujar profesor lembut, lantas bergerak ke posisi sebelah kanan pesakit.

 

Setelah pesakit kelihatan tenang dan bersedia untuk pemeriksaan, profesor mengalihkan perhatian beliau kepada kami.

 

“Sekarang, kita akan fokus pada fungsi motor otot di bahagian muka pesakit.” Profesor kembali menumpukan perhatian beliau pada pesakit.

 

Setelah bertanya nama pesakit dan beberapa butiran ringkas sejarah pesakit, beliau memulakan pemeriksaan.

 

“Pak Cik, boleh bacakan surah al-Fatihah?”

 

Pak Cik Muhammad mengangguk lemah.

 

“Bis…mil…lah…ar…rahm…an…Ar…rah…im…Al…hamd..lillah… rabb…a…la..min” terketar-ketar nada suara dan gerakan bibirnya cuba untuk mengungkap satu persatu lafaz ayat.

 

Suasana kelas hening. Hanya suara lemah alunan bacaan al-Fatihah Pak Cik Muhammad yang memenuhi ruang kelas. Hampir tiga puluh pasang mata masih sabar dan setia menumpu perhatian pada pesakit. Menanti untuk melihat sebarang tanda-tanda positif lain yang ada pada pesakit di setiap ujian pemeriksaan saraf yang dilakukan.

 

Lafaznya tersekat-sekat namun dia kelihatan bersungguh untuk menghabiskan bacaannya. Melihat kerutan pada wajahnya, saya dapat merasai betapa sukarnya pesakit untuk menyelesaikan pemeriksaan kali ini. Kelihatan mata kuyunya berkaca.

 

Belum pun sempurna kalimah seterusnya dilantunkan, sudah  berjejeran air liur menitis di pinggir bibir pucatnya. Sudut hujung bibir kirinya juga kelihatan senget sedikit. Ini menandakan pesakit mengalami kegagalan fungsi pada otot pipi wajahnya.

 

Seorang sahabat di sisi kiri pesakit, lekas-lekas mengambil tisu dan mengesat lembut air liur yang membasahi dagu dan bibirnya.

 

Saya mengalihkan pandangan, bimbang tumpuan mata saya menimbulkan rasa kurang senang Pak Cik Muhammad lantaran keadaannya. Namun, sebenarnya saya sedaya cuba menahan genangan jernih dari tiris di gigi mata.

 

Saat ini, memang ada sekelumit rasa yang sukar diungkapkan. Ya, tentang ungkapan al-Fatihahnya. Lembut lidahnya bagai dipasung hingga sukar untuk mengungkap bacaan mulia itu.  Sedangkan itulah seringan-ringan kalimah di bibir bagi mereka yang biasa melaziminya.  Ya, kerana insan biasa hanya memerlukan tidak sampai seminit untuk menghabiskan bacaan!

 

Bahkan keringanan inilah yang menjadikan kita mampu melafazkannya hampir tujuh belas kali sekurang-kurangnya di saat berbicara dengan Tuhan di bentangan sejadah.

 

Tetapi, tidak untuk pesakit ini. Beliau mungkin tidak mampu melengkapkan rukun lisan solat beliau dengan sempurna lantaran kegagalan fungsi pada sebahagian otaknya. Benar, serangan strok telah merentap nikmat fungsi pada lidah dan wajahnya.

 

Melihat pada keadaan pesakit yang sebegitu, lantas profesor mengakhiri pemeriksaan.

 

“Okay Pak Cik. Setakat ini dulu ya pemeriksaan kita.”

 

Pak Cik Muhammad mengangguk lesu. Cukup hanya sepotong ayat dari surah al-Fatihah mampu memberi konklusi pada dapatan pemeriksaan kami ke atas Pak Cik Muhammad hari ini.

 

Profesor beralih pada layar putih di hadapan kelas untuk menyambung sesi pembelajaran. Untuk mengenalpasti fungsi pengucapan (speech) pesakit, kami perlu mengamati kemampuan pesakit untuk mengungkapkan satu ayat lengkap yang mengandungi tujuh hingga sepuluh perkataan tanpa gagap atau tersekat.

 

Di sini (Hospital Zahra), menjadi kebiasaan para perawat akan meminta pesakit membacakan Surah al-Fatihah kerana surah ini adalah lafaz bacaan yang dikuasai oleh rata-rata pesakit. Kegagalan pesakit untuk melafazkan dengan lancar adalah petanda yang kurang baik bagi ujian saraf ke atas pesakit.

 

Hampir beberapa ketika berlalu, saya mencuri-curi pandang pada pesakit. Beliau seolah-olah tidak bersama-sama kami dalam sesi pembelajaran.

 

Renungan matanya tembus entah ke mana. Sukar menduga apa yang terbungkam di jiwanya. Mungkin kerana rasa ralat lantaran lafaz indah itu tak mampu diungkapnya.

 

Atau mungkin kerana menahan perit derita penyakitnya. Mungkin juga kerana lorong sempit masa hadapan sedang membayangi mindanya. Saya hanya mampu meneka.

 

Mungkinkah andai saya sendiri ditukar ganti ke tempatnya, saya akan ditimpa keluh kesah yang tak berpenghujung? Mana tidaknya, lafaz agung pembuka segala pintu hidup itu gagal dipasak. Sedangkan rupa bentuk kunci al-Fatihah itu sudah dikenal benar jauharnya.

Ya. Walaupun hanya sepotong ayat seperti yang diungkap Pak Cik Muhammad. Bismillahi ar-rahman ar-rahim. Alhamdulillah rabbi al-alamin.

Alhamdu itu ertinya pujian. Puji-pujian sebagai tanda menghargai sesuatu pemberian. Kita memuji sepenuh hati kepada Yang Maha Memberi. Mengungkap puji-pujian itu juga suatu nikmat. Sedangkan ramai yang tidak pernah diajar erti menghargai budi. Juga ada sebilangan kita yang belum mengetahui betapa nikmatnya memiliki hati yang luhur saat ikhlas mengiringi kata pujian buat mereka yang berbakti.

Inikan pula mengungkap syukur kepada Tuhan yang membenarkan kudrat manusia menabur budi, tentulah lebih mega besar nikmatnya.

Alhamdu, juga tersirat disebaliknya bahawa perbuatan memuji itu adalah lambang peribadi yang menghargai nilai diri. Dirinya berharga kerana dipenuhi dengan sifat-sifat yang indah. Salah satu sifat nan indah itu ialah dia berusaha menjadi sosok yang bermanfaat buat alam. Dia bermanfaat kepada alam dengan memagari diri dengan sebaik-baik akhlak.

Amatilah ungkapan Syeikh Dr. Muhammad Fadhil Jailani al-Hasani  tentang perihal keindahan akhlak ini:

 

“Allah memberikan salah satu akhlak itu kepada hamba untuk memberinya cahaya dari ‘nama’ akhlak itu, kemudian cahaya itu akan bersinar di dalam kalbu dan dada hamba, sehingga akhlak tersebut akan membentuk mata hati (bashirah) bagi hamba, lalu dia akan terbiasa berakhlak dengan akhlak tersebut.

 

Itulah sebabnya, layak bagi seorang hamba dimuliakan oleh Allah dengan akhlak seperti itu. Dimaafkan segala keburukannya, ditutup aibnya dengan ampunanNya, dan dimasukkan ke dalam syurga-Nya.

 

Antara akhlak tersebut ialah:

Kazhm al-gaizh (menahan marah)

Al-‘afwu ‘inda al-qudrah (memberi maaf ketika mampu membalas)

As-shilah ‘inda al-qathi’ah (menyambung silaturrahim ketika terputus)

Al-hilm ‘inda as-safah (bersikap sabar apabila diperbodoh-bodohkan)

Al-wiqar ‘inda at-thaisy (tetap tenang ketika dianiaya)

Wafa al-haq ‘inda al-juhud (menepati janji ketika diingkari)

Al-ith’am ‘inda al-ju’ (memberi makan ketika dirinya sendiri lapar)

Al- qathi’ah ‘inda al-man’ (memutuskan ketika dicegah)

Al-islah ‘inda al-ifsad (memperbaiki di saat berlakunya kerosakan)

At-tajawuz ‘an al-musi (memaafkan orang yang berbuat keburukan)

Al-’athf ‘ala zhalim (bersikap lembut kepada orang yang zalim)

Qabul al-ma’dzarah (bersedia menerima permohonan maaf)

Al-inabah li al-haq (kembali kepada kebenaran)

At-tajafi ‘an dar al-ghurur (menjauhi fatamorgana dunia)

Tark at-tamadi fi al-bathil (menghindari  kebatilan yang berleluasa).

 

Sifat-sifat ini hanya dimiliki oleh mereka yang berazam dan bermujahadah untuk berada di atas landasan amal yang memberi dan mendatangkan manfaat pada dirinya dan segala sesuatu yang ada di sekelilingnya.

 

Jika ada yang memberi manfaat padanya, maka dia berbesar hati. Lantas dia menghargai insan dengan mengungkap ucapan mulia: “Alhamdulillah” sebagai isyarat syukur pada Tuhannya. Juga mengungkapkan “Terima kasih” kepada manusia. Itulah tanda dia menyantuni manusia sebagai perantara nikmat beroleh manfaat melalui insan. Inilah antara sebaik-baik fitrah manusia diciptakan.

Lihatlah dalam karya Al-Muntahi ada menukilkan:

Tuhan kita itu tiada bermakan (bertempat)

Zahir-Nya nyata dengan rupa insan

Man ‘arafa nafsahu suatu burhan

Fa qad ‘arafa rabbahu terlalu bayan

 

Telitilah bait ayat ‘Zahir-Nya nyata dengan rupa insan’. Bukankah begitu halus peringatan Hamzah Fansuri tentang perihal menyantuni manusia adalah sebahagian dari jalan mengenal Al-Khaliq?

Nilaian lafaz alhamdu itulah menggambarkan seluruh tindak-tanduk zahir serta segenap rasa penghargaan manusia pada  keagungan Allah yang membenarkan sifat-sifat indah itu mengalir dalam setiap pembuluh darah hingga sebati dalam sendi, daging, tubuh dan jiwa.

 

Jadi, bukankah menjadi sesuatu yang amat meresahkan kita tatkala bibir tidak mampu atau cuai dari mengungkap lafaz Alhamdulillah? Lebih malang lagi apabila pandangan hati kita buta mengenal nilai makna yang ada pada sepatah lafaz ini.

 

Adakah masih ada harga diri saat kita gagal melazimi dan menghayati makna setiap huruf yang membentuk lafaz sempurna al-Fatihah? Adakah perlu menanti sehingga saat otot-otot melemah, sendi-sendi punah dan tatkala itu kita baharu mahu memaknai nilaian sepotong al-Fatihah?

Semoga Allah hanya menarik nilai zahir ungkapan al-Fatihah daripada bibir Pak Cik Muhammad. Bukannya merentap terus keajaiban nilai al-Fatihah yang memaknai harga dirinya.

Juga harapan yang sama disangkut tinggi ke Arash Allah tentang perihalnya diri kita. Allahumma amin!

Alhamdulillah, inilah hasil cungapan nafas mendaki puluhan anak tangga ke puncak bangunan hospital kali ini. Hanya cungapan pada zahir nafas, tetapi helaan tenang pada batin hati. Moga mampu melonjakkan jua peribadi diri ke puncak ‘arafa rabbi (mengenal Tuhan).

 

ARTIKEL BERKAITAN

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?