Salahkah Aku Mengejar Al-Qadar

Salahkah Aku Mengejar Al-Qadar

0

 [ARTIKEL: SALAHKAH AKU MENGEJAR AL-QADAR]

 

“Man, kau tak rasa kita ni hamba Ramadan ke?”

 

“Eh kau ni, nak bergurau pun janganlah sampai perli macam tu.”

 

“Aku serius lah! Okay. Aku bagi satu contoh. Qiam. Aku perasan je, bertahun-tahun sambut Ramadan, kita qiam bulan tu je. Lepas Ramadan, kita kembali pada tabiat lama, ‘Subuh gajah’. Tiap tahun macam tu je. Seolah-olah Ramadan tu tak bagi kesan pun pada amal kita lepas Ramadan.”

 

“Tapi Min, salah ke kita nak kejar lailatul Qadar tu?”

 

* * * * * *

 

Itulah antara situasi yang mungkin terjadi pada kita. Menjadi mereka yang hanya mengagungkan Ramadan, tapi tidak Tuhan sang Ramadan. Yang gigih beramal siang dan malam, tapi hanya di bulan Ramadan. Yang bersengkang mata setiap malam, dengan niat tunggal menjejak si Qadar.

 

Ya! Aku wajib bertemu malam al-Qadar!

 

Itulah azam setiap Muslim tatkala Ramadan menjelma. Maka, kita akan melihat masjid-masjid mula diimarahkan saban malam. Ayat-ayat al-Quran dialunkan dengan penuh syahdu tidak kira dalam solat mahupun di luar solat. Solat-solat sunat didirikan sepanjang malam. Malam-malam Ramadan terasa begitu hidup dengan amalan-amalan kebaikan. Ianya dihidupkan oleh sekalian Muslim di seluruh pelusuk dunia dengan pelbagai niat. Dalam kepelbagaian niat tersebut, niat mencari malam al-Qadr pasti terselit sama. Istimewa sekali al-Qadar, menjadi buruan setiap insan yang bergelar Muslim. Tapi, apakah yang menyebabkan al-Qadar menjadi begitu istimewa?

 

*TERPATERI NAMANYA DALAM AL-QURAN*

 

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (1) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (2) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (3) تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ (4) سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ (5)

 

“1. Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan.

2. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?

3. Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.

4. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan Malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan.

5. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.”

(al-Qadr: 1-5)

 

Allah telah menurunkan satu surah khusus menceritakan tentang al-Qadar. Surah tersebut diberi nama al-Qadr. Walaupun hanya berjumlah lima ayat, tetapi ayat-ayat ini cukup menjelaskan betapa istimewanya malam al-Qadar buat umat Saidina Muhammad SAW.

 

Dalam ayat pertama, Allah menjelaskan bahawa telah diturunkan al-Quran pada waktu malam al-Qadar, iaitu malam kemuliaan. Peristiwa ini turut dirakamkan dalam surah ad-Dukhan ayat ketiga:

 

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ

 

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada malam yang penuh berkat.”

 

Ketahuilah bahawa yang dimaksudkan malam yang berkat itu adalah malam al-Qadar. Al-Qadar itu sudah terlalu istimewa apabila terpilih untuk berada salah satu daripada malam-malam Ramadan, sebuah bulan yang merupakan penghulu sekalian bulan. Tetapi, apabila mukjizat teragung Rasulullah SAW turut diturunkan pada malam tersebut, ianya membuatkan al-Qadar menjadi lebih istimewa.

 

*IBADAH MENYAMAI 1000 BULAN*

 

Antara intipati lain surah ini adalah Allah menerangkan betapa tingginya kedudukan malam al-Qadar dengan menyifatkan ianya lebih baik daripada 1000 bulan. Menurut tafsir Ibnu Katsir, yang dimaksudkan dengan lebih baik daripada 1000 bulan adalah ibadah yang dilakukan ketika malam kemuliaan itu menyerupai ibadah selama 1000 bulan. Ini turut ditegaskan dalam ash-Shahihain dari Saidina Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya:

 

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إَيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِِ

 

“Barang siapa yang bangun untuk mendirikan solat pada malam lailatul qadr dengan penuh keimanan dan pengharapan akan pahala, maka akan diberikan ampunan kepadanya atas dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat Bukhari 4/217 dan Muslim 759)

 

Setelah mengetahui bahawa pada malam al-Qadar akan diberikan pengampunan atas dosa-dosa yang lalu serta ibadah yang menyamai ibadah 1000 bulan, maka masih hairankah kita jikalau semua manusia berusaha mendapatkannya?

 

Dalam ayat seterusnya, Allah turut menjelaskan bahawa dek kerana banyaknya berkah pada malam tersebut, para malaikat turut turun ke dunia. Disebut dalam tafsir Ibnu Katsir bahawa turunnya malaikat-malaikat ini bersamaan dengan turunnya berkah. Mereka akan memayungi halaqah-halaqah zikir serta majlis ilmu dengan meletakkan sayap mereka, maka beruntunglah mereka yang mendapat payungan tersebut!

 

*YANG SALAH ITU AMALMU YANG TERBATAS DI RAMADAN*

 

Tidak salah menjadi antara yang mengejar al-Qadar, kerana ianya memang layak dikejar. Bukanlah suatu dosa untuk menyimpan niat bertemu al-Qadar, memandangkan ianya sangat digalakkan. Rasulullah SAW menyuruh umatnya agar mencari malam al-Qadar berdasarkan hadis Saidatina Aisyah R.A, beliau berkata Rasulullah SAW beriktikaf di sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan dan Baginda SAW bersabda:

 

تَحَرَّوْا وفي رواية الْتَمِسُوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِيْ الْوِتْرِ مِنْ الْعَشْرِ

 

“Carilah Lailatul Qadar di (malam ganjil) pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan” (Hadis Riwayat Bukhari 4/225 dan Muslim 1169)

 

Bukanlah mengejar al-Qadar itu yang menjadi satu kesalahan, tapi diri kita yang tidak mampu istiqamah dalam beramal. Yang mampu melakukan kedua-dua amalan wajib dan sunat dengan baik di bulan Ramadan, tapi selepas Ramadan segalanya telah ditinggalkan. Tiada lagi suara merdu mengalunkan al-Quran di satu pertiga pertengahan malam. Tiada lagi yang berlumba-lumba memberi makan kepada si miskin.

 

Firman Allah SWT:

 

يا أيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون

 

Ingatlah, tujuan asal puasa itu disyariatkan agar manusia mencapai tingkat taqwa. Maka, marilah kita bersama-sama bermuhasabah untuk apakah amalan yang kita laksanakan sepanjang Ramadan yang kita lalui selama ini? Diterimakah amal tersebut? Benarkah niat-niatku selama ini? Muhasabah juga sebenarnya salah satu wasilah untuk kita mencapai tingkat taqwa.

 

Firman Allah SWT:

 

قل إن صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي لله رب العالمين

 

“Katakanlah; Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam”

 

Sedar atau tidak, doa tersebut telah pun dilafazkan dan diulang oleh kita dalam setiap solat kita. Maka ayuhlah kita sama-sama merealisasikan ucapan tersebut dalam perbuatan kita. Moga-moga redha Allah itu milik kita semua. InsyaAllah.

 

Siti Fatimah binti Mohd Ghani Basri

Tahun 6 Perubatan

ARTIKEL BERKAITAN

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?