[REDA, SYUKUR DAN TAWAKAL ITU KUNCI BAHAGIA]

0

Bayu pantai meniup lembut. Seakan terasa diulit lena. Pandangan jauh dilemparkan di tengah lautan. Fokus mata tertancap pada sebatang tubuh kerdil sang nelayan. Gagah menebar jala ibarat perwira di tengah lautan.

Namun di sebalik itu, tiada yang menyangka akan kesusahan hidup sang nelayan. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Segala kudrat empat keratnya dibanting demi sesuap nasi buat anak dan isteri.

“Abang rasa cukupkah pendapatan para nelayan ini? Bukan main susah nak dapatkan hasil. Kadang-kadang keuntungan pun tidak seberapa.” Kata si kecil Haikal pada abangnya Hafiz.

“Rezeki Allah itu luas adik. Sebenarnya yang sedikit, tetapi berkat itu lebih daripada cukup berbanding kaya tetapi tiada keberkatan. Cara hendak mendapat rezeki yang berkat mestilah dari sumber yang halal dan sentiasa bersyukur, nescaya Allah akan menambah lagi rezeki kepada hambanya melalui jalan yang mungkin tidak disangka-sangka.” Terang Hafiz.

Sebagaiman firman Allah SWT dalam Al-Quran:

لَئِنْ شَكَرْتُمْ لأزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ (إبراهيم: 7)

“Dan jika kamu sekalian bersyukur atas nikmat yang Aku berikan, maka niscaya akan Aku tambah nikmat-Ku untukmu. Dan jika kamu sekalian kufur atas nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku itu sangat pedih.”

 

******************************

Dan hakikat bahagia itu juga terungkap dalam bait kata-kata yang tersusun dalam lagu Hakikat Bahagia:

Bahagia itu dari dalam diri.
Kesannya zahir rupanya maknawi.
Terpendam bagai permata di dasar hati.

Bahagia itu ada pada hati.
Bertakhta di kerajaan diri.
Terbenam bagai mutiara di lautan nurani.

Bahagia itu ada di jiwa.
Mahkota di singgahsana rasa.
Bahagia itu adalah suatu ketenangan.

Bila susah tiada gelisah.
Bila miskin syukur pada Tuhan.
Bila sakit tiada resah di jiwa.
Bukankah Tuhan telah berfirman.
Ketahuilah dengan mengingati Allah.
Jiwa kan menjadi tenang.

Kebahagiaan itu suatu kesyukuran.
Bila kaya jadi insan pemurah.
Bila berkuasa amanah.
Bila berjaya tidak alpa.
Bila sihat tidak lupakan Tuhan.

Hakikatnya bahagia itu.
Adalah ketenangan.
Bila hati mengingati Tuhan.

Semua insan kan mengerti.
Maksud terseni Ilahi.
Itulah zikir yang hakiki.

*******************************

Wahai sahabat, kehidupan di dunia ini hanyalah sementara. Maka seharusnya kita nikmati segala ujian kesenangan mahupun kesusahan dengan hati yang terbuka dan tidak berduka kerana kita tahu Sang Pemberi Ujian. Dan kerana kita tahu kesusahan itu bukan selamanya. Awan yang mendung itu bakal berarak dan berlalu, lantas menurunkan hujan yang memberi kegembiraan kepada manusia.

Jika ujian kesusahan datang menyinggah, kembalilah ingat kepada Allah SWT. Maka ketenangan dan kedamaian akan hadir.

 

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ (٢٨)

(Iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram (Surah ar-Ra’du: 28).

 

Kemudian, luangkan masa sejenak untuk bermuhasabah. Apakah dosa yang telah menjadi sebab musabab kesedihan kita? Jika ada, maka beristighfarlah. Dan cubalah mencari kekuatan dengan mentadabbur kalam Allah SWT. Itulah sumber kekuatan yang terlebih penting bagi seorang Muslim.

Jom kita fahami dan hayati firman Allah SWT supaya hati lebih cekal dan bahagia.

******************************

SURAH YUNUS

أَلَا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ (62) الَّذِينَ آَمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ (63)

Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (62) (Iaitu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertakwa. (63)

Jika ada yang bertanya, wujudkah insan yang sentiasa gembira dan berlapang dada dengan pemberian Tuhan? Jika ada terselit duka pun barangkali tidak lama. Maka merekalah wali-wali Allah, hamba yang dekat dengan Tuhannya.
Mereka adalah orang beriman dan bertaqwa.

Untuk menjadi seperti mereka itu tidak mudah.
Perlukan pengorbanan, keringat dan penat lelah.
Namun tidak mustahil untuk kita menjadi seperti mereka.
Telah Allah sediakan panduan dan hidayah.
Tetapi, kita yang sombong untuk mentadabbur kalamullah.

 

Lalu, bagaimanakah menjadi insan bertakwa dan beriman?

SURAH ALI-IMRAN

وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ (١٣٣) الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ (١٣٤) وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ (١٣٥)

 

Orang BERTAKWA yang dijanjikan Allah dengan syurga yang seluas-luas langit dan bumi itu adalah,
Yang menginfakkan hartanya tika sempit atau lapang.
Yang menahan marahnya.
Yang sentiasa memaafkan orang sekelilingnya.
Yang apabila menzalimi diri dan berbuat keji, segera teringat kepada Allah, lalu memohon ampun atas salah lakunya. Maka siapakah selain Allah yang dapat mengampunkan dosa?
Mereka pun tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedang mereka mengetahui.

 

SURAH AL-ANFAL

يَسْـَٔلُونَكَ عَنِ الْأَنفَالِ ۖ قُلِ الْأَنفَالُ لِلّٰـهِ وَالرَّسُولِ ۖ فَاتَّقُوا۟ اللَّهَ وَأَصْلِحُوا۟ ذَاتَ بَيْنِكُمْ ۖ وَأَطِيعُوا۟ اللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ (١) إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ ءَايٰتُهُۥ زَادَتْهُمْ إِيمٰنًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ (٢) الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقْنٰهُمْ يُنفِقُونَ (٣)

 

Bertakwalah kepada Allah dan perbaikilah hubungan sesamamu.
Taatilah Allah dan Rasul jika kamu orang beriman.
Sesungguhnya orang-orang yang BERIMAN ialah mereka,
Yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka.
Yang apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka.
Yang hanya bertawakal kepada Tuhannya.
Yang mendirikan solat.
Yang menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Allah kurniakan kepada mereka.

 

SURAH AL-MU’MINUN

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ (١) الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ (٢) وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ (٣) وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ (٤) وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُون (٥) إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ (٦) فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَـئِكَ هُمُ الْعَادُونَ (٧) وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ (٨) وَالَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ (٩)

Orang beriman yang beruntung itu adalah,
Yang khusyuk dalam solatnya.
Yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang tidak berguna.
Yang menunaikan zakatnya.
Yang memelihara kemaluannya kecuali kepada yang halal padanya.
Yang menjaga amanah dan janjinya.
Yang menjaga solatnya.

******************************

Dalam kehidupan ini, kita tidak lari daripada membuat pilihan, menerima ketetapan takdir dan berjuang berusaha meneruskan kehidupan. Keputusan yang didasari dengan iman dan takwa, nescaya hasil luarannya akan memberi suatu kegembiraan dan ketenangan dalam diri untuk menerima takdir Ilahi. Untuk mendapat nusrah dan bantuan Allah SWT, kita perlu menjadi orang yang dekat dengan Allah SWT. Untuk menjadi orang yang dekat dengan Allah SWT, kita perlu memaknai dan cuba mengamalkan ciri-ciri orang beriman dan bertakwa. Mudah-mudahan kita sentiasa bersangka baik dan gembira dengan kurniaan Allah SWT.

Mulai hari ini tadabbur sedikit demi sedikit kalam Allah SWT. Walaupun kita masih bertatih, teruskan dan jangan berhenti. Mudah-mudahan Allah SWT memberi kekuatan untuk kita terus beribadah kepada-Nya.

SITI HAJAR BT AZHAR
TAHUN 6 KULIAH PERUBATAN UNIVERSITI AL-AZHAR
MAJLIS TERTINGGI PERUBATAN SESI 2017/2018

 

ARTIKEL BERKAITAN

0

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?