One in Everything

One in Everything

0

Dimulakan segalanya dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Tangan

Bentangkan kedua-dua tanganmu itu. Renunglah dan belailah ia dengan lembut, kerana ia akan menolongmu di akhirat, seandainya engkau gunakan ia di tempat yang baik. Ia akan berbicara di hadapan Allah SWT sebagai saksi yang tidak pernah bohong. Ia akan berbicara sebagaimana mulut berbicara di dunia.

Tanganmu anugerah Allah SWT yang sangat besar. Setiap yang dipegang, akan menjadi bukti bagi menolongmu. Sekiranya engkau menggunakan tanganmu untuk menuntut ilmu, membuat nota, mengulangkaji pelajaran, mengajar dan membantu sahabat yang memerlukan, maka ia akan menolongmu di akhirat. Dan seandainya engkau gunakan nikmat tanganmu kepada sesuatu yang dimurkai Tuhanmu seperti meniru dalam peperiksaan, mencuri nota sahabat dan sebagainya, maka mohonlah keampunan Tuhanmu.

Ingatlah! Setiap kali engkau memegang dan menyentuh menggunakan jari-jemarimu serta tanganmu, maka ia akan menjadi saksi bagi menolongmu atau menyusahkanmu di akhirat.

Lautan Ilmu

Apabila menuntut ilmu yang luas seakan-akan lautan, ingatlah jangan sesekali engkau belajar untuk peperiksaan sahaja. Hal ini kerana seandainya engkau berniat untuk peperiksaan sahaja, akan engkau lupa ilmu itu dengan cepat sekali. Tetapi, tuntutlah ilmu untuk memahami dan menambah pengetahuan baru.

Bayangkan engkau berada di dalam sebuah kotak. Kemudian pada kotak itu, ada satu lubang yang membolehkan engkau melihat dunia dari arah lubang itu. Adakah engkau mengira dunia itu, hanya apa yang engkau lihat dari arah lubang itu sahaja? Adakah engkau merasakan ilmu yang diperlukan hanya apa yang ditunjukkan melalui lubang itu sahaja? Adakah engkau menafikan kewujudan-kewujudan yang mungkin wujud pada sekeliling kotak itu?

Jadi, perlulah engkau terus mencari dan mendalami ilmu yang seluas lautan itu.

Firman Allah SWT: Katakanlah: sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula). (Surah al-Kahfi 18:109)

Ilmu Duniawi

Golongan yang mengambil bidang sains kesihatan dikatakan golongan yang mengejar dunia, manakala golongan yang mengambil bidang pengajian Islam dikatakan golongan akhirat.

Hakikatnya, kedua-dua ilmu itu adalah milik Allah. Sesiapa yang mampu mendalami sesuatu ilmu itu dan mampu mengembalikan kegemilangan Islam dengan ilmu yang dipelajarinya, maka dia bukanlah golongan yang hanya mengejar dunia, malah golongan yang memperolehi saham juga di akhirat kelak.

Tiada suatu kaum pun yang mampu menjadi gemilang tanpa kekuatan ilmu. Justeru, banyak hadis Rasulullah SAW dan ayat al-Quran menyatakan gesaan untuk menuntut ilmu dan menunjukkan kemulian ilmu itu sendiri.

Perhatikan beberapa maksud hadis Nabi Muhammad SAW ini:

Menuntut ilmu itu adalah fardu bagi setiap Muslim. (Riwayat Muslim)

Sesiapa yang merintis satu jalan bagi menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan jalannya untuk ke Syurga. (Riwayat Muslim)

Perhatikan pula firman Allah SWT ini:

….Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?”…. (Surah az-Zumar 39: 9)

Allah memberikan hikmah (kebijaksanaan atau ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut yang ditentukan-Nya). Sesiapa yang diberikan hikmah itu, sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak…. (Surah al-Baqarah 2:269)
Sesunggunya yang takut kepada Allah di kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu. (Surah Fatir 35:28)

Jadi, apakah benar ilmu sains, ilmu matematik, ilmu arkitek, ilmu sukan, ilmu seni lukis, dan sebagainya adalah ilmu keduniaan semata-mata? Hakikatnya, ilmu-ilmu itu juga perlu untuk membangunkan ummah.

Kata orang Inggeris: “Knowledge is power”.

Semua ilmu adalah berguna untuk dunia dan akhirat sekiranya diniatkan kerana Allah SWT. Semuanya akan ditanya oleh Allah SWT dalam bentuk amanah. Apakah yang telah engkau lakukan untuk membangunkan Islam? Bukankah membangunkan Islam adalah suatu tanggungjawab?

Semoga engkau dapat memahami coretan ini dan bergerak menempuh dinding akhirat dengan ilmu yang dipelajari.

Sekian.
Liyana binti Jusni
Timbalan Pengerusi PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2017/2018
Tahun 6 Perubatan
Universiti al-Azhar

ARTIKEL BERKAITAN

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?