[MTC 5: “ISU MUSYRIF BUKAN SALAH AKHAWAT SAHAJA”]

0

Hayyu Sadis, 16 Februari 2018 – “Jika kita lihat, jumlah kes mahasiswi keluar malam tanpa musyrif sangat tinggi pada tahun ini, iaitu lebih daripada 50 kes. Daripada pihak atasan sendiri, kita tidak boleh salahkan akhawat sahaja.” Muhasabah yang dilontarkan saudara Ahmad Zaki Assyatiri bin Muhamad Shukri, mahasiswa tahun dua kuliah Perubatan dalam Mesyuarat Tahunan Cawangan ke-5 (MTC) PERUBATAN Cawangan al-Azhar (PCA) sesi 2017/2018 petang tadi telah berjaya membuatkan suasana dewan bertukar riuh buat seketika.

Beliau turut meluahkan rasa kesalnya apabila ada segelintir siswa yang sebenarnya tidaklah sibuk, melainkan hanya asyik bermain dengan telefon dan cuba mengelak ketika diminta untuk menjadi musyrif. “Jadi saya menyeru kepada semua siswa, sekiranya ada siswi yang memohon pertolongan untuk menjadi musyrif, terima sahaja,” tambahnya disusuli dengan tepukan gemuruh para hadirin.

Ketika slot pembentangan laporan Majlis Tertinggi yang telah berlangsung lebih awal, saudara Abdul Fattah bin Abdul Ghafar selaku Pengerusi PCA telah memberi respon kepada soalan ahli yang bertanyakan tentang jumlah kes yang tercatat di bawah Jawatankuasa Keselamatan dan Sosial Islam (JAKSI) PCA pada sesi ini. Menurutnya, kes musyrif mempunyai peratusan yang lebih tinggi dengan angka 60 kes jika dibandingkan dengan kes-kes lain seperti kes ikhtilat sebanyak 30, diikuti 17 kes sosial serta 16 kes keselamatan.

Mengulas lebih lanjut tentang usaha yang telah dilakukan pihak JAKSI dalam memberi penerangan tentang etika-etika JAKSI di peringkat ahli, saudara Fattah berkata, “Kempen Mind Your Gap yang telah berlangsung sebelum ini dengan kerjasama Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) merupakan antara usaha terbesar yang pernah kami jalankan.”

Saudara Amirul Ashraff bin Yasir Arafat selaku Pengarah JAKSI PCA sesi 2017/2018 juga menambah bahawa JAKSI telah berusaha menggerakkan Unit Musyrif semaksima mungkin. “Kami cuba memberi kesedaran kepada ahli tentang kepentingan musyrif melalui pembentangan etika-etika JAKSI di setiap unit dan setiap perjumpaan pertama ahli jawatankuasa program. Selain itu, kami turut memanfaatkan medium lain seperti Liqa’ Sahabat JAKSI dan Simposium JAKSI,” jelasnya. Menurutnya, usaha ini antara usaha yang paling memberi impak positif di mana beliau menganggarkan peratusan keberkesanan sebanyak 90%.

Bukan itu sahaja, JAKSI juga telah mengemaskini senarai musyrif di laman Facebook PCA sebanyak empat kali bagi sesi ini. Mereka turut memudahkan urusan para siswi untuk menghubungi musyrif dengan menyediakan nombor musyrif mengikut kawasan dalam bentuk ‘contact number’ dan disebarluas di kumpulan-kumpulan WhatsApp.

Dalam satu temubual yang lain, saudari Samihah Hanan binti Souit, mahasiswi tahun 4 kuliah Pergigian menyatakan bahawa angka setinggi ini menunjukkan bahawa masih ramai yang mengabaikan sistem musyrif ini. “Peringkat pimpinan sudah usaha pelbagai cara, tapi ramai ahli yang pandang ringan perkara ini,” ujarnya. Beliau turut berpendapat bahawa pihak siswi juga harus berusaha agar tidak keluar malam selagimana urusan tersebut tidak mustahak.

Siti Fatimah binti Mohd Ghani Basri
Tahun 6 Kuliah Perubatan

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?