[MTC 5: HEDONISME PUNCA TURUNNYA GRAF PENCAPAIAN AHLI?]

0

[MTC 5: HEDONISME PUNCA TURUNNYA GRAF PENCAPAIAN AHLI?]

Hayyu Sadis, 16 Februari 2018 – “Hasil daripada kaji selidik Unit Research and Development (R&D) yang diadakan baru-baru ini, pada menyatakan punca-punca kegagalan akademik, 70.5% adalah kerana pelajar terpengaruh dengan hedonisme, 81.3% disebabkan lemah dalam penguasaan kehidupan seharian serta 83.9% berpunca daripada sikap pelajar seperti ponteng, malas, mudah putus asa dan sebagainya,” ujar saudara Muhammad Khairul Azim bin Abdul Ghani, mahasiswa tahun tiga kuliah Perubatan dalam perbahasan usulnya. Mesyuarat Tahunan Cawangan ke-5 (MTC 5) PERUBATAN Cawangan al-Azhar (PCA) sesi 2017/2018 yang diadakan di Dewan Nadi Syabab pada kali ini hanya membahaskan satu usul dengan matan; ‘Menaikkan semula kredibiliti PCA sebagai badan berakademik yang unik’.

“Saya bersetuju, tapi saya lebih suka sekiranya kita lebih fokus kepada sikap dan kempen kesedaran; iaitu masalah sosial. Kalau kita adakan program, tapi ahli tiada kesedaran, maka kesannya juga kosong,” ujar saudari Siti Hajar binti Azhar selaku Timbalan Jabatan Pembangunan Insan (JPI) merangkap Jabatan Sukan & Aktiviti Luar (JSAL) PERUBATAN sesi 2017/2018. Beliau mengetengahkan JAKSI sebagai contoh untuk bekerjasama dengan Biro Akademik (BCAD) dalam menangani masalah sosial ahli seperti ponteng kelas.

Menurut mantan Pengerusi PCA sesi 2015/2016, saudara Muhammad Amir Adham bin Johari. “Sebenarnya, persediaan yang diperlukan oleh kita selaku pelajar sains kesihatan bukanlah sekadar persediaan akademik. Malah persediaan kita membina pelapis, rohani dan jati diri juga harus diambil kira. Aslih nafsak, wad’u ghoirak (Perbaiki diri kamu dan ajaklah orang lain),” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengutarakan pendapat daripada sahabat beliau bahawa keputusan akademik yang mantap bukanlah terletak kepada akademik semata-mata. “Ada orang yang belajar bersungguh-sungguh, tapi dalam masa yang sama, dia bermaksiat. Hasil akademiknya gagal dan menjatuhkan graf PCA. Ada orang yang tidak percaya dengan perkara ini, itu masalah iman. Bukti sudah banyak, orang yang sibuk dan tidak sempat belajar, tapi boleh skor dalam peperiksaan,” tambahnya. Dalam ucapannya lagi, beliau menegaskan bahawa usul tersebut wajar disokong namun dengan pindaan.

Selepas kebanyakan siswa dan siswi yang bangun berbahas menyatakan bahawa mereka menyokong usul tersebut dengan pindaan agar perkataan ‘semula’ dibuang daripada matan asal, akhirnya saudara Khairul Azim membuat penggulungan dengan meminda matan usul kepada; ‘Menaikkan lagi kredibiliti PCA sebagai badan berakademik yang unik’.

“Selepas ini, saya yakin pasti lebih banyak program berkaitan akademik akan diadakan bagi menjayakan usul ini. Semoga ianya mampu menjadi daya penarik buat ahli-ahli yang kurang aktif untuk hadir sama,” ujar saudari Aimi Syuhada binti Mizam, pelajar tahun 1 kuliah Perubatan yang turut hadir selaku pemerhati. Menurutnya, semua program yang disusun sebenarnya adalah salah satu wasilah penerapan fikrah islami yang sahih secara halus kepada ahli yang kurang keterlibatan dalam persatuan.

Siti Fatimah binti Mohd Ghani Basri
Tahun 6 Kuliah Perubatan

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?