M.U.L.T.I.T.A.S.K.I.N.G

M.U.L.T.I.T.A.S.K.I.N.G

0

“Rasulullah dalam mengenangmu,

Kami susuri lembaran sirahmu,

Pahit getir perjuanganmu,

Membawa cahaya kebenaran.”

Bunyi deringan telefon pintarku di atas meja menunjukkan ada panggilan masuk. Nama yang terpapar di skrin telefon pintar kupandang sepintas lalu, lantas aku terus mengangkatnya. “Nurul, kau kat mana? Kenapa tak sampai lagi? Mesyuarat dah nak mula ni.” Lalu aku terus menjawab, “Sabarlah Aliaa, aku baru balik dari kelas ni. Baru sampai rumah. Aku tengah bersiap lah ni.” Panggilan terus dimatikan. Terkocoh-kocoh aku menggapai komputer riba dan beg galas aku. Aku terus menaiki Uber yang telah dihubungi sebentar tadi. Mujurlah teknologi semakin maju seiring peredaran zaman yang semakin menghimpit ini. Aku memejamkan mata sambil memicit kepalaku yang berdenyut apabila memikirkan bahan untuk mesyuarat selepas ini belum selesai lagi. Mengeluh aku memikirkan kehidupan aku yang tidak terurus sekarang dalam menikmati kedinginan kereta mewah itu.

Setibanya di Darul HAMKA dengan tercungap-cungap, aku terus mencari posisi yang sesuai dalam mesyuarat. “Argh, aku sudah lambat 10 minit pada kali ini.” Gerutu aku dalam hati. Agenda mesyuarat diteruskan dengan slot tazkirah seusai sahaja pengesahan minit mesyuarat yang lepas. Seorang sahabat seperjuangan, Liyana menyampaikan tentang sirah perjuangan junjungan Nabi Muhammad SAW. Beliau akhiri dengan beberapa persoalan sebelum menamatkan pengisian rohani itu. Bagaimana Nabi SAW dapat menjadi seorang pimpinan yang baik di samping menjadi ketua keluarga serta sahabat yang baik di kala beliau juga mempunyai tanggungan yang terlalu banyak? Sedangkan kita yang hanya menjadi pimpinan kepada satu kelompok yang spesifik dan kecil ini, sudah terlalu banyak hak dan tanggungjawab yang kita terlepas pandang.

Terngiang-ngiang persoalan itu ketika aku dalam perjalanan pulang ke rumah setelah selesai mesyuarat. “Betul juga, zaman Nabi dulu tiada kemudahan pengangkutan seperti teksi dan Uber, tetapi Baginda dapat tepati masa dan janji. Zaman Nabi dulu tiada kemudahan telefon pintar seperti sekarang, tetapi Baginda dapat sampaikan dakwah seantero tanah arab. Zaman Nabi dulu tiada kemudahan komunikasi, tetapi semua sahabat Baginda rasa disayangi oleh Nabi. Tapi aku yang dilimpahi dengan semua kemudahan itu? Dah lah selalu lebih tarikh deadline gerak kerja. Buat kerja pula seperti hangat-hangat tahi ayam. Belajar pula entah ke mana.” Monolog aku bersendirian dalam perjalanan ke kelas al-Quran bersama syeikh di sebuah madrasah. Setiap minggu, aku perlu memperdengarkan bacaan aku sekurang-kurangnya satu juzuk kepada syeikh dengan lancar dan tartil. Jika tidak, aku dikehendaki untuk mengulang semula sehingga sempurna bacaanku.

Keesokan harinya, aku bangun dengan penuh bersemangat dengan membawa satu azam. Pergi ke kuliah dengan ceria dan tersenyum. Macam biasa, pagi aku dimulai dengan persaingan sengit bersama teman-teman untuk berebut kerusi hadapan di dalam bilik kuliah. Aku cuba fokus sepenuhnya dan berinteraksi dengan pensyarah. Sambil tangan aku ligat menyalin nota, persoalan yang dilontarkan dalam fikiranku semalam masih lagi berlegar kerana belum lagi menemui solusinya. Tepat pukul 1 tengah hari, aku terus bertolak pulang. Kebiasaannya, aku akan melelapkan mata sebentar dalam perjalanan setelah otak penat menyerap pengajian kuliah selama 5 jam itu. Setelah selesai semua tuntutan, aku merehatkan diri dengan membelek buku-buku bagi mencari solusi kepada pencarian aku itu. Aku jadi semakin ingin tahu.

Dikisahkan tentang perihal Rasulullah SAW meraikan semua pendapat sahabat Baginda SAW dalam setiap peperangan atau tindakan tanpa pernah meremehkan mana-mana pihak. Rasulullah SAW juga sentiasa menyantuni para sahabat yang sentiasa rindu untuk berjumpa dengan Baginda SAW dan merungkai persoalan-persoalan yang dilontarkan dari sekecil-kecil perkara sehingga sepenting-penting urusan melalui riwayat hadis yang ada sekarang. Kesemuanya Nabi SAW akan layani sehingga para sahabat berpuas hati dengan jawapan itu. Baginda SAW tidak pernah alpa dan leka dengan tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga. Baginda SAW tetap melaksanakan amanah dengan adil dan penuh kasih sayang. Sekali-sekala, Baginda SAW akan menziarahi anak perempuannya, Saidatina Fatimah r.a dan rakan karibnya, Saidina Abu Bakar r.a. Walau sesibuk mana pun, Nabi Muhammad SAW tidak pernah lupa bermunajat kepada Allah SWT di malam hari sehingga bengkak kedua buku lalinya dengan penuh khusyuk. Subhanallah. Sungguh Nabi Muhammad SAW ini seorang yang multitasking dan sistematik dalam setiap urusannya serta cekap dalam pengurusan masa.

Setelah puas hati dengan jawapan yang aku temui, aku terus keluarkan buku planner PERUBATAN yang semakin lusuh itu. Lalu aku mula senaraikan “To Do List” semua gerak kerja dan hak orang lain yang aku perlu selesaikan. Setelah hampir penuh satu halaman itu dengan coretan pen, aku mula klasifikasikan kepada 4 bahagian atau lebih dikenali dengan ‘4 Quadrants’. Penting dan segera. Penting dan tidak segera. Tidak penting dan segera. Tidak penting dan tidak segera. Aku mengisi ‘4 Quadrants’ yang terdapat dalam Planner itu setelah berfikir sejenak. Mula-mula aku pening lalat juga sebab tidak tahu untuk menyiapkan tugasan mana terlebih dahulu. Kemudian, aku rujuk semula perbahasan tentang dharuriyat, hajiyat dan tahsiniyat. Aku terus menyelak sehingga terjumpa perbahasan apabila berlaku pertembungan di antara maslahat dan maslahat, maslahat dan mafsadah serta mafsadah dan mafsadah. Maslahat bersifat umum perlu didahulukan jika bertembung dengan maslahat bersifat peribadi. Maslahat yang mempunyai kesan jangka panjang perlu didahulukan jika bertembung dengan maslahat yang memberi kesan jangka pendek. Mengutamakan kualiti daripada kuantiti. Akhirnya, aku dapat selesaikan dan letakkan tarikh deadline bagi kesemua tugas itu mengikut prioriti.

Aku ingin menjadi seorang yang multitasking. Aku ingin mencontohi pengurusan masa Nabi Muhammad SAW. Aku teruskan lagi pembacaan tentang kaedah pengurusan masa yang berjaya dan sistematik pada hujung minggu itu. Aku menemui pula teori kaedah ‘M-VuC’ iaitu singkatan bagi Magnitude, Vulnerability dan Cost. Dalam setiap tindakan, aku perlu fikirkan segala aspek dan impaknya kepada orang lain. Item yang paling mudah diselesaikan dan juga memakan kos yang sedikit tetapi memberi impak yang besar. Aku tersengih kerana aku semakin memahami untuk tentukan tindakan dan perancangan yang lebih berkesan selepas ini. Kemudian, penulis juga ada menyatakan tentang teori kaedah ‘Action Priority Matrix’. Kali ini, penulis lebih menekankan 3 item iaitu; effectivity, efficiency dan relevancy. Kadar efektif ialah kadar peratusan objektif yang telah dicapai berbanding dengan objektif yang telah dirancang. Manakala tahap efisien pula ialah mencapai impak yang besar hanya dengan menggunakan usaha yang sedikit seperti teori 20-80. Usaha yang dikeluarkan sebanyak 20% tetapi mampu memberi impak yang besar sehingga 80%. “Oh, jelas sungguh pencerahan yang diberikan.” Aku tersenyum sambil menyanyi dalam hati dengan girang.

“Rasulullah kami umatmu,

Walau tak pernah melihat wajahmu,

Kami cuba mengingatimu,

Dan kami cuba mengamal sirahmu.

Kami sambung perjuanganmu,

Walau kita tak pernah bersua,

Tapi kami tak pernah kecewa,

Allah dan Rasul sebagai pembela.”

Kedengaran telefon aku bergetar lama kali ini. Aku terus menekan punat terima panggilan. “Assalamualaikum Nurul. Awak sihat ke? Akak nak minta tolong awak untuk beri pengisian slot akademik dalam mesyuarat esok hari. Boleh ke?” Tanya Kak Afiqah meminta persetujuan aku. Aku terus bersetuju memandangkan aku sudah lama tidak bersuara dalam mesyuarat dan memang sudah giliran aku untuk sampaikan pengisian ini. Aku terus bersiap ke Hadiqah Lotus dengan berpakaian riadah untuk berjumpa sahabat seusrah aku. Petang ini, SC aku dimeriahkan lagi dengan agenda sukan memanah untuk melepaskan stres setelah hampir sebulan kuliah pengajian bermula. Kemudian, diteruskan lagi dengan tadarus dan tadabbur ayat-ayat Allah SWT sambil merenung awan bergerak yang menghiasi langit biru. Kak Fitrah selaku naqibah aku menitipkan kata-kata semangat tentang keberkatan masa. “Semakin banyak kita meluangkan masa dengan munajat dan beribadah kepada Allah, semakin tenang hati kita. Semakin banyak kita membaca al-Quran, semakin terasa lapang dan luas masa kita. Walhal jika ikut logik akal kita, masa kita akan semakin sempit dan hati kita semakin gelisah kerana kita bukan sedang menyiapkan tugasan kita tetapi kita sedang buat perkara lain.” Benarlah mafhum firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 282 yang berbunyi, “Dan bertakwalah kamu kepada Allah, dan (ingatlah) Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu.” Dan, Kak Fairuza mengakhiri usrah petang itu dengan mafhum hadis yang berbunyi, “Jagalah (urusan) Allah, maka Allah akan menjaga dirimu.”

Hari ini, aku cuba datang 30 minit awal sebelum mesyuarat bermula disebabkan giliran aku pula untuk menaip minit mesyuarat pada kali ini. Aku persiapkan mental, bahan mesyuarat dan juga pengisian slot akademik kepada ahli mesyuarat. Bukan satu perkara yang mudah untuk fikirkan penyelesaian masalah, lontarkan hujah, fokus dengan isi-isi yang disampaikan oleh orang lain dalam masa yang sama perlu menaip minit mesyuarat. Sungguh memenatkan otak untuk lakukan beberapa perkara yang memerlukan daya fokus yang tinggi dalam waktu yang sama. Setelah selesai pembentangan laporan semasa oleh Kak A’faf, tiba giliran aku untuk berbicara. Aku berkongsi tentang keperluan pimpinan untuk mempunyai kemahiran multitasking sebagai sebuah pasukan seperti fungsi organ dalam satu jasad manusia yang kompleks. Aku berikan sebuah analogi. Biro Kebajikan dan Biro Perumahan sebagai spleen yang menjaga keharmonian dan kebajikan komuniti. Biro Penerbitan dan Penerangan umpama lidah rasmi persatuan. Biro Sukan & Aktiviti Luar seperti otot-otot yang kuat dalam menjaga kesihatan tubuh badan. Biro Akademik dan Biro Pembangunan Insan pula merupakan jantung dan nadi dalam setiap pergerakan dan gerak kerja. Biro Ekonomi dan Jabatan Bendahari umpama paru-paru yang menjana dan menjamin kewangan persatuan. Jabatan Setiausaha menjadi tulang belakang dalam mencari dan mengkader pelapis melalui entiti PERUBATAN Frontliners (PROF). Seterusnya, Majlis Pengerusi merangkap kuasa yang tertinggi dalam sebuah organisasi dianggap sebagai otak dalam menggerakkan persatuan dengan optimum. Dan mesyuarat diakhiri dengan bacaan doa serta Tasbih Kafarah dan surah al-Asr setelah 4 jam berlangsung.

Sekarang ini, Nurul yang kini bukan lagi Nurul yang tidak terurus kehidupannya. Penyusunan masa lebih sistematik. Waktu mengulangkaji pelajaran lebih efisien. Pengendalian mesyuarat lebih cekap. Penjanaan idea lebih bernas. Pengurusan emosi dan mental lebih stabil. Profesional. Berintegriti. Bersistematik. Tiga perkara ini yang banyak aku pelajari sejak aku bergiat aktif bersama PERUBATAN di sini. Lama-kelamaan, aku mampu untuk menguasai kemahiran multitasking. Benarlah, kesibukan itu mengajar aku untuk lebih menghargai masa. Biarlah aku penat disibukkan dengan perkara kebaikan sepanjang masa. Jika tidak, masa aku akan terbuang begitu sahaja dilalaikan dengan perkara-perkara yang tidak bermanfaat.  Dalam beberapa bulan sahaja lagi, aku bakal tinggalkan bumi mulia ini. Semua memori sepanjang proses kematangan dan kedewasaan aku di sini tersemat rapi dalam minda ini. Pahit getir jatuh bangun yang disaksikan debu-debu pasir yang berterbangan. Kenangan manis bersama seluruh komuniti biah solehah di sini juga akan tersimpan rapi. Mesir yang bakal ditinggalkan. Al-Azhar yang bakal diingati. PERUBATAN Cawangan al-Azhar yang bakal dirindui.

Nukilan oleh:

Nurul Asma Naqibah binti Nor Azha

Tahun 6 Kuliah Perubatan

Timbalan Setiausaha PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2017/2018.

 

ARTIKEL BERKAITAN

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?