Menantikan Permata, Yang Hadir Cuma Serpihan Kaca

Menantikan Permata, Yang Hadir Cuma Serpihan Kaca

0

“Jaga diri wahai anakku. Kami reda melepaskanmu.”
“Kembalimu kuharap sebagai permata. Menjadi kebanggaan keluarga.”
“Pulang nanti kau bimbinglah kami menuju jalan bertemu Allah.”

Pasti masih segar dalam ingatan seluruh penuntut ilmu di bumi ardul kinanah ini khususnya pelajar bidang Sains Kesihatan kisah saat-saat perpisahan dengan keluarga tercinta. Saat-saat yang paling kita nantikan namun yang paling ditangisi oleh ibu bapa dan seisi ahli keluarga. Rasa sedih dan sebak untuk meninggalkan keluarga bercampur baur dengan rasa teruja kerana bakal meneruskan pengajian dalam bidang yang ingin diceburi di kota sejuta ibrah dari sirah para anbiya’ terdahulu.

Tiada ibu bapa yang sanggup menanggung perit perpisahan dengan anak tercinta. Namun, demi memenuhi hasrat dan cita-cita sang anak untuk menyambung pengajian dalam bidang yang kononnya diminati itu, hati dan jiwa yang luluh itu mereka gagahkan jua untuk melepaskan sang anak tercinta. Tatkala berat hati menanggung perpisahan, segenap tenaga malah dikerahkan pula demi menampung segala perbelanjaan permusafiran termasuk kos tambang penerbangan, yuran pengajian sehinggalah ke perbelanjaan harian.

Perit menanggung perpisahan. Terpaksa berkorban pula untuk menampung kos perbelanjaan mencecah empat angka itu. Bagaimana boleh setara itu pengorbanan mereka?

Jangan kita lupa pada kisah perpisahan seorang ibu dan puteranya, Muhammad bin Idris as-Syafie (Imam as-Syafie) yang keluar dari rumah untuk berhijrah menuntut ilmu dan mencari reda Allah SWT. Dalam keluluhan jiwa sang ibu yang tetap tegar melepaskan anak tercinta lalu tersemat harapan sang ibu dalam doa dan tafakurnya :

“Ya Allah, Tuhan yang menguasai sekalian alam. Anakkku ini akan meninggalkanku untuk perjalanan jauh demi mencari reda-Mu. Aku rela melepaskannya untuk menuntut ilmu peninggalan Rasul-Mu. Maka hamba memohon kepada-Mu ya Allah agar Kau permudahkanlah urusannya. Lindungilah dia, panjangkanlah umurnya agar aku dapat melihatnya nanti ketika dia pulang dengan dada yang penuh dengan ilmu-Mu.”

Hakikatnya, begitulah jua harapan yang disimpan oleh kedua ibu bapa. Mereka berharap agar sang anak menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh dan memberi sepenuh komitmen untuk mempelajari ilmu dalam bidang pengajiannya. Alangkah lebih baik juga jika sang anak mengambil peluang untuk menghadiri kelas-kelas agama bimbingan para alim ulama’ dan masyayikh di Mesir. Harapan mereka agar sekembalinya sang anak ke tanah air kelak mampu membimbing seluruh ahli keluarga dan masyarakat menuju jalan yang diredai oleh Allah SWT.

Tahun demi tahun berlalu. Pejam celik pejam celik, rupanya esok menandakan sang anak memasuki tahun akhir pengajian di Mesir. Masa untuk kembali semula ke tanah air sudah semakin hampir. Masa dirasakan pantas berlalu. Rakaman memori sejak 6 tahun yang lalu sehingga hari ini lantas berputar deras dalam fikiran mengimbau setiap detik hidup yang berlalu sepanjang berada di sini. 6 tahun. Tempoh yang cukup panjang namun hari ini terasa singkat cuma. Gelabah. Berdebar dan belum bersedia rasanya untuk pulang ke tanah air. Kenapa?

Hadir ke kuliah jarang sekali. Hadir pun hanya untuk melepasi syarat minima kehadiran untuk menduduki peperiksaan. Tiba hujung minggu pula keluar berjoli bersama teman-teman. Buku-buku hanya ditelaah bila sudah tiba waktu peperiksaan. Kelas-kelas pengajian agama di kuliah atau di luar tidak pernah kelihatan kelibatnya, inikan pula kerja di medan persatuan. Hidupnya terperuk di dalam bilik. Menikmati karya sentuhan kota matahari terbit itu. Hanyut dibuai drama cinta fantasi. Ada juga yang sibuk berjuang bermati-matian. Mengawal rapi makhluk kenit yang datang entah dari planet mana dan rutin itu berulang saban hari tanpa sedar.

“Takpelah. Ummi abah aku bukan tahu pun apa yang aku buat kat Mesir ni. Balik nanti cukup dapat posting kat mana-mana hospital jadilah.”

Mungkin sahaja kita boleh menyembunyikan segala perbuatan khianat dan maksiat yang kita lakukan di sini daripada pengetahuan ibu bapa kita. Namun, dalam diam sebenarnya kita telah merobek segala harapan dan dalam diam juga kita telah mensia-siakan jiwa dan harta yang dahulu mereka pertaruhkan. Perit perpisahan yang mereka tanggung selama 6 tahun lamanya tidak kita hiraukan. Harta dan wang ringgit yang telah mereka korbankan semudah itu kita lupakan. Dalam diam harapan mereka kita punahkan.

Waktu itu, kekesalan mula datang menerpa. Persoalan tipikal yang dahulu dianggap remeh kini giat berputar menghantui fikiran.

“Kenapa aku datang ke Mesir?”

Teringat detik pertama kali menjejakkan kaki di Mesir dahulu. Aku dan sahabat-sahabat disambut baik oleh sebilangan pelajar Malaysia yang juga merupakan penuntut senior di sini. Antara soalan yang terpacul keluar dari mulut mereka rata-ratanya bertanyakan, “Kenapa aku datang ke Mesir?” Nada mereka kelihatan berseloroh. Mungkin kerana mereka juga pernah menerima soalan yang sama. Persoalan yang tipikal namun persoalan inilah yang seharusnya kita fikirkan selaku penuntut di kota yang jauh beribu batu dari tanah air tercinta.

Saya pasti, rata-rata yang menyambung pelajaran di Mesir mempunyai niat dan matlamat yang lebih kurang sama. Tidak kiralah sama ada dalam bidang pengajian Islam atau bidang sains kesihatan, niat dan matlamat itu tidak lain adalah untuk mendalami ilmu bidang pengajian yang diceburi di samping mengaut sebanyak mungkin mutiara ilmu agama di sini sama ada melalui kelas agama di kuliah, medium persatuan atau kelas-kelas pengajian di luar waktu kuliah. Bak kata pepatah, ‘alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan’.

Namun, berapa ramai daripada kita yang benar-benar berpegang pada niat dan berusaha untuk mencapai matlamat itu?

Kini masanya sudah hampir tiba. Negeri yang kononnya menjadi tempat kita berkelana menuntut ilmu dan mencari reda Allah SWT ini bakal kita tinggalkan. Gembiranya hati sang ibu dan ayah menyambut kepulangan sang anak tercinta. Keperitan yang ditanggung selama hampir tujuh tahun lamanya kini bakal berakhir dan terubat dengan kepulangan seorang permata namun, hakikatnya yang kembali di pangkuan hanyalah serpihan kaca. Gemerlapannya mungkin sama namun zatnya tetap berbeza. Setimpalkah jiwa yang keperitan menanggung perpisahan serta harta yang telah banyak terkorban itu digantikan dengan nilai serpihan kaca?

Penulis amatur,
Ruzaini Maidin.
Ketua Jabatan Setiausaha
PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2017/2018
Karya mati akal.

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?