KENAPA KAU BANYAK MESYUARAT?

KENAPA KAU BANYAK MESYUARAT?

0

Situasi 1 (Di kelas)

Ariff: “Fahmy, jom gi makan lepas kelas.”

Fahmy: “Lepas kelas ea, tak boleh la. Aku ada mesyuarat.”

Ariff: “Owh, lama tak mesyuarat kau tu?”

Fahmy: “Tak pasti la, lepas Isyak habis kot.”

Situasi 2 (Ketika dalam perjalanan pulang)

Ali: Fahmy! (Aku berteriak di seberang jalan, sambil menghampiri Fahmy)

Ali: “Assalamualaikum, kau dari mana ni?”

Fahmy: “Waalaikumsalam, aku baru je habis mesyuarat ni tadi.”

Ali: “Amboi, lamanya mesyuarat. Tapi kan, semalam kau ada mesyuarat jugak kan?”

Fahmy: “Tak lama sangat pun, dah biasa. Semalam mesyuarat lain, hari ni mesyuarat lain.”

Situasi 3 (Di rumah)

Irfan: “Khusyuknya menghadap laptop tu, buat apa tu?”

Fahmy: “Tengah siapkan bahan untuk mesyuarat esok ni.” (Sambil tersengih)

Irfan: “Owh. Banyak juga ye mesyuarat kau ni? Yela, macam selalu pulak aku tengok kau ni tak de kat rumah.”

Fahmy: “Bukan tiap hari pun aku ada mesyuarat. Kadang aku buat kerja lain, jumpa orang dan macam-macam la. Mesyuarat tu ada je,  tapi bukan selalu sangat pun.”

Irfan: “Tapi kau ni kental jugak la kan, boleh mesyuarat selalu dan lama pulak tu.”

Fahmy: “Nak buat macam mana, bila kita ada sesuatu perkara yang tak boleh diselesaikan melalui media, nak tak nak kena la mesyuarat. Aku pun tak boleh nak buat keputusan sorang-sorang dan perlukan idea dan pendapat orang lain. Baru berkat keputusan yang dibuat tu. Heheh.”

Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, mesyuarat bermaksud satu rundingan untuk membincangkan sesuatu atau mencari sesuatu ketetapan. Perkataan mesyuarat juga diambil daripada perkataan Arab, iaitu ‘Syura’. ‘Syura’ pada bahasa bermaksud meminta atau menuntut sesuatu pandangan dalam sesuatu perkara dan urusan. Manakala pada istilah bermaksud berunding, berbincang dan bertukar pendapat di antara kelompok yang tertentu dalam membincangkan sesuatu tajuk yang tertentu untuk mencapai kepada pandangan yang lebih tepat, yang lebih efisien untuk mengenai sasaran dan matlamat yang baik dan menjauhi kesalahan dan kesilapan.

Perbualan di atas mungkin satu perbualan biasa yang anda lalui, dengari ataupun mungkin asing bagi seseorang. Kita sering dipertikaikan dengan pelbagai persoalan dan rintihan. “Kenapa perlu bermesyuarat?” “Mengapa mesyuarat terlalu banyak?” “Ini perkara mudah, tidak perlu mesyuarat, cukup keputusan satu pihak sahaja.” Hal ini, sering didengari dan bermain di benak fikiran pelbagai pihak.

“Bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu”

( Ali-Imran: 159 )

Jika kita menelusuri sirah Nabi Muhammad SAW, Rasulullah menerapkan konsep syura pada setiap urusan dan perkara. Saidina Abu Hurairah RA berkata, “Tidak pernah seorang pun yang aku lihat paling banyak melakukan musyawarah dengan para sahabat melainkan Nabi Muhammad SAW melakukan ia kepada para sahabat.”  Antara syura yang kita boleh jadikan contoh adalah ketika dalam peperangan Khandak. Setelah menerima berita akan kedatangan tentera Musyrikin, Rasullulah SAW mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan strategi atau tindakan yang bakal dilakukan. Pelbagai cadangan telah diutarakan, namun cadangan Salman al-Farisi telah diterima, iaitu dengan menggali parit di sekeliling Kota Madinah sebagai benteng dan strategi dalam mematahkan serangan pihak musuh.

Mesyuarat dilakukan bukan sekadar suka-suka hanya untuk memenuhi permintaan orang, tetapi mesyuarat ialah jalan waspada dan memelihara segala tindakan daripada terjerumus ke jalan yang salah. Mesyuarat juga membantu dalam memandu tindakan seseorang menuju jalan yang lurus, seterusnya mengajar kita cara untuk berfikir dengan baik dan membuat keputusan berdasarkan  bukti dan hujah yang ada.

“Sombong ialah tidak menerima kebenaran dan menghina sesama manusia.”

( HR Muslim dan Abu Daud )

Mesyuarat mampu membendung sifat sombong dan kagum kepada diri sendiri. Bagaimana sombong dan kagum pada diri ini bisa muncul dalam diri seseorang? Muncul perasaan tersebut apabila dia merasakan idea atau pandangan yang diberikan adalah yang paling bernas dan semua orang memandang dan memuji akan kehebatan yang ditonjolkan. Pada masa yang sama, pandangan yang lain dianggap picisan dan tidak begitu menarik. Namun, perkara ini dapat dihindari apabila idea yang diberikan ditolak dengan hujah-hujah yang tepat. Ditambah dengan bukti yang didatangkan cukup membuatkan dirinya mengetahui bahawa ianya tidak relevan. Keegoan dalam diri mula merendah usai mendengar dan menganalisis akan jawapan balas yang diberikan.

Hawa nafsu menjadikan manusia itu buta, pekak dan tuli. Bagi manusia yang berbicara berpandukan nafsu, dia akan berbicara tanpa kewarasan akal yang betul dan ditambah dengan kata-kata yang sia-sia. Hal ini sama sekali tidak memberi keuntungan dalam membuat sebarang keputusan malahan mendorong ke arah kancah kehinaan. Mesyuarat mengajar setiap perbincangan yang dilakukan dengan teratur dan didasari dengan niat mencari reda Allah SWT.

Manusia bukan insan yang sentiasa konsisten dan sempurna daripada segala aspek. Perihal adab dan tatasusila perlu diterapkan dan dijaga baik sepanjang mesyuarat. Setiap ahli mesyuarat perlu bersangka baik pada setiap perkara yang dibincangkan dan tidak berdebat hanya untuk menyatakan kita adalah yang benar dan pandangan yang lain adalah salah. Bahasa yang digunakan sepanjang perbahasan perlulah menggunakan perkataan yang jelas, nada yang sesuai dan tidak menggunakan kata-kata yang kesat.

Berlapang dada dalam menerima segala keputusan perlu ditekankan walaupun berlainan dan berbeza dengan pilihan kita. Tidak dinafikan menjadi kebiasaan dalam bermesyuarat akan belaku khilaf kerana perbezaan pandangan itu adalah antara proses dalam mengeluarkan satu keputusan yang baik dan matang. Hal ini ditunjukkan  oleh Nabi Muhammad SAW ketika ingin menghadapi Perang Uhud. Nabi Muhammad SAW mencadangkan supaya cukup sekadar mempertahankan Kota Madinah dari dalam. Tetapi pandangan ini tidak diterima oleh majoriti ahli mesyuarat. Akhirnya, Rasulullah SAW sendiri bersiap sedia untuk keluar pergi berperang di luar Kota Madinah kerana percaya keputusan tersebut adalah keputusan yang terbaik hasil daripada mesyuarat.

Syura atau mesyuarat merupakan asas kekuatan dalam pergerakan sesebuah organisasi. Pelaksanaan sistem ini dapat memberi impak yang besar sesuai dalam menentukan yang mana lebih memberi manfaat kepada umum serta menjauhi daripada sebarang ancaman dan perkara buruk.  Semoga mesyuarat yang dilaksanakan dapat memberi keadilan yang saksama dan diterima oeh Allah SWT.

 Akhir kalam, setiap individu mempunyai hak masing-masing dalam meminta dan memberi pandangan dalam sesuatu urusan. Walaupun hasil mesyuarat tidak menerima pandangan seseorang, ianya bukan bermaksud kita tidak menghargai pandangan yang telah dilontarkan, tetapi ada pandangan yang lebih relevan dan mesra untuk diaplikasikan. Walaubagaimanapun, meminta pandangan seseorang itu sudah cukup menggambarkan kita begitu menghargai padangan dan buah fikiran seseorang itu.

 وألله أعلم

Norilmi bin Juzuli,

Naib Pengerusi I,

PERUBATAN Cawangan al-Azhar 17/18.

( Penulis di larut malam )

Rujukan:

  1. prpm.dbp.gov.my
  2. Syura Di Antara Realistik Dan Retorik (Mohd Zahani Aabdul Ghani)
  3. Pengalaman hidup

 

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?