Adakah Mahu Dipandu Samiriy Kedua?

Adakah Mahu Dipandu Samiriy Kedua?

0

“Adapun raja-raja itu umpama api, segala perdana menteri umpama kayu, kerana api itu jikalau tiada kayu tiada akan nyala. Rakyat itu umpama akar, raja itu umpama pohonnya; jikalau tiada akar nescaya pohon tiada akan dapat berdiri. Demikian raja-raja itu dengan segala rakyatnya. Jikalau kau bunuh ia (rakyatmu) dengan tiada dosanya, bahawa kerajaanmu binasa.”

Begitu cantik mesej yang ingin disampaikan oleh Sultan Alauddin Shah kepada anaknya yang bakal mewarisi takhta kerajaannya. Menunjukkan besarnya amanah kepimpinan. Puisi dan mesej ini telah disisip rapi dalam sebuah karya agung Melayu, Sulalat as-Salatin (Sejarah Melayu).

Imam al-Mawardi dalam magnum opusnya, al-Ahkam as-Sultaniyyah memberikan definisi ‘al-Imam’ sebagai pengganti kepada para nabi dalam menjaga agama Islam dan memerintah dunia dengan Islam. Selain itu, turut dinyatakan bahawa pentingnya memerintah dunia dengan acuan Islam pada hari ini demi memelihara kesejahteraan dunia secara keseluruhannya. Terdapat juga tafsiran lain tentang kepimpinan yang bermaksud muamalah dengan tabiat manusia dan melakukan sesuatu yang berkesan terhadap tingkah laku mereka ke arah matlamat yang nyata dengan cara menjamin ketaatan, kepercayaan, dan penghormatan.

Kepimpinan juga tidak boleh lari daripada frasa tanggungjawab dan amanah. Hal ini kerana Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Ahzab, ayat 72:

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya). Maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tiada persediaan untuk memikulnya), dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”

Menuntut kepimpinan

Pada suatu hari, Saidina Abi Musa r.a berkata bahawasanya dia telah memasuki rumah Baginda SAW untuk bertemu Baginda SAW. Bersamanya dua orang lelaki daripada suku bapa saudaranya. Maka telah berkata salah seorang daripada keduanya: “Wahai Rasulullah SAW, perintahkanlah kepada kami untuk melaksanakan beberapa urusan yang telah Allah SWT sampaikan kepada kamu”. Seorang lagi turut menyampaikan hasrat yang sama. Maka sabda Badinda SAW, “Sesungguhnya demi Allah SWT, kami tidak akan menyerahkan amanah ini kepada sesiapa sahaja yang memintanya dan kepada sesiapa yang tamak akannya”.

Berpandukan kisah di atas, menjadi satu barah yang sangat bahaya apabila amanah itu dituntut dan diminta. Sesungguhnya Islam telah mengajar umatnya supaya tidak meminta-minta sebarang bentuk amanah terutamanya amanah kepimpinan tetapi memberikannya kepada sesiapa yang benar-benar layak untuk memikulnya.

Apabila seorang mukmin itu diberikan amanah kepadanya tanpa diminta, nescaya dia akan dibantu oleh Allah SWT. Lebih menguntungkan tatkala dia berjaya menunaikan segala hak yang perlu dipenuhi kerana di sana terdapatnya ganjaran lumayan yang menanti. Sesungguhnya kaedah syariah ada menyebut, “Barangsiapa yang ditentukan untuknya satu kefarduan daripada fardu kifayah, nescaya kefarduan itu secara hakikatnya menjadi fardu ain.”

Akidah dan kepimpinan

Kepimpinan dalam konteks Islam mempunyai hubungan erat dengan akidah. Jalur masa sejarah Islam menunjukkan bahawa keteguhan akar akidah menjadi tunjang utama dalam pemerintahan Islam. Inilah yang dilakukan oleh Saidina Abu Bakar r.a tatkala dibaiah menjadi khalifah setelah kewafatan Baginda SAW. Saidina Abu Bakar r.a telah memerangi golongan ar-Riddah dalam memastikan kesucian akidah umat Islam ketika itu.

Pemimpin perlulah mempunyai kefahaman dan keteguhan akidah yang jelas supaya dapat memandu rakyat jelatanya menuju ke arah pengabdian sebenarnya kepada Allah SWT. Tidaklah seorang pemimpin itu hebat berkokok di pentas ‘spotlight’ media massa dengan niat mencapai tujuan-tujuan tertentu, tetapi peribadinya perlu dihiasi dengan sahsiah islamiah dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian bahkan kepada rakyat secara keseluruhannya. Hal ini penting supaya batas nilai Islam dapat dijaga dan dipisahkan daripada unsur-unsur luar Islam seperti teori Thomas Hobbes, Machiavelli, John Locke dan sebagainya yang hanya berteraskan sekular dan liberal humanisme.

Seorang nakhoda kapal perlulah mahir selok-belok ilmu pelayaran. Mustahil dia dapat memandu kapal dan membawa anak-anak kapalnya menuju destinasi sekiranya dangkal dalam ilmu pelayaran. Begitulah juga hakikatnya dalam konsep kepimpinan. Seorang pemimpin yang tidak mengenal Islam dan tasawurnya secara holistik, tidak akan mampu menunjukkan jalan kesejahteraan dunia dan akhirat.

Jalan menuju akidah dan tasawur Islam ini adalah melalui ilmu. Oleh itu, ilmu merupakan perkara yang penting dalam kepimpinan. Ia ibarat lilin yang menyuluh hati dan akal bagi mengenal Tuhan dan segala tuntutannya. Selain itu juga, ilmu mampu membawa pemiliknya berkomunikasi dan berurusan bukan sahaja dengan pencipta, bahkan dengan makhluk. Ilmu yang selari dengan akidah pula ialah apabila seseorang itu faham akan sesuatu yang dipelajari dan dihadam sebaiknya lantas berfikir ke arah menterjemahkannya dalam membina iman dan membuahkan amal. Perkara ini perlulah bergerak seiringan.

Firman Allah SWT:

“Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka; Bahawasanya Allah SWT telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab; Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan dia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan? Nabi mereka berkata; Sesungguhnya Allah SWT telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan. Dan (ingatlah), Allah SWT jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan pengurniaan-Nya), lagi meliputi ilmu-Nya”

(Surah al-Baqarah, ayat 247).

Ilmu yang bertunjangkan al-Quran dan as-Sunnah mampu melahirkan individu berakidah. Misalnya para Sahabat r.a yang setia berjuang menegakkan agama Allah SWT dan juga orang-orang Badwi di padang pasir yang berjaya menundukkan kerajaan-kerajaan yang besar dan gah selain mampu memberi pengajaran kepada mereka yang dianggap berilmu seperti ahli kitab.

Pemimpin hendaklah lebih jelas tentang kefahaman Islam dan kepentingannya yang menjadi matlamat utama untuk ditegakkan bermula dengan mentauhidkan Allah SWT, melakukan apa yang diperintah-Nya, meninggalkan apa yang dilarang-Nya sehinggalah berdirinya kalimah Allah SWT atas muka bumi ini yang menghapuskan segala bentuk syirik dan kekufuran kepada-Nya.

Elemen penyucian jiwa (tazkiah) juga memainkan peranan yang besar dalam membentuk peribadi seorang pemimpin. Setelah melakukan amalan seharian, maka penting bagi seorang pemimpin itu melakukan muhasabah dengan merenung kembali segala perbuatannya. Hal ini kerana dikhuatiri jika ada yang disebut dan didakwahkan kepada rakyatnya, tidak dilaksanakan olehnya sendiri.

“Akan muncul di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang-orang lain pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud daripada dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang jahat). Allah SWT berfirman kepada mereka; Apakah kamu tertipu dengan kelembutan-Ku? Apakah kamu terlampau berani berbohong kepada-Ku? Demi Kebesaran-Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi dalam kalangan mereka sendiri sehingga orang alim pun akan menjadi bingung (dengan sebab tekanan fitnah itu) .”

(Riwayat al-Tirmidzi)

Muhasabah diri juga penting dalam menilai diri pemimpin sama ada amalannya cenderung ke arah kebaikan ataupun keburukan. Perkara inilah yang ditunjukkan oleh Baginda SAW tatkala di awal fasa penyebaran Islam. Pengumpulan (usrah) yang dilaksanakan secara berkala membina roh-roh yang segar bagi menyebarkan dakwah Islam di kepulauan Arab yang kering kontang. Di sanalah muhasabah dilakukan, keluhan dilontarkan dan kesakitan diluahkan. Janganlah seorang pemimpin itu bermudah-mudah dalam kata-katanya persis qudwah sayyiah yang ditunjukkan golongan munafik.

“Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?”

(Surah al-Baqarah, ayat 44)

Ganjaran yang tidak dapat dibayangkan

Apabila telah datang suatu amanah kepimpinan tanpa dituntut dan pemimpin pula seorang yang adil terhadap amanah yang dipikulnya, nescaya di sana terdapatnya ganjaran besar yang menanti. Sesungguhnya banyak perkara melibatkan kefarduan sama ada fardu ain mahupun fardu kifayah tidak akan dapat dilaksanakan sekiranya tanpa kepimpinan. Sama-samalah kita meneliti satu titipan ikhlas daripada seorang Sarjana Andalusia, at-Turtusyi kepada Sultan Ali bin Yusuf bin Tashfin:

“Wahai Abu Yaakub, sesungguhnya engkau telah diuji dengan satu perkara yang mana sekiranya langit memikulnya, nescaya ianya akan terbelah, sekiranya bintang memikulnya, nescaya akan jatuh berguguran ,sekiranya bumi dan gunung-ganang memikulnya, nescaya ianya bergegar dan hancur binasa. Sesungguhnya engkau telah memikul amanah yang mana amanah tersebut telah diberikan kepada langit dan juga bumi, tetapi kedua-duanya enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya.”

“Ketahuilah wahai Abu Yaakub, sesungguhnya seorang penzina itu tidak akan melakukan zina di dalam kawasan pemerintahanmu melainkan engkau akan dipersoalkan tentang perlakuan itu dan seorang peminum arak tidak akan minum walaupun setitik arak melainkan engkau akan dipersoalkan tentang perbuatan itu. Termasuk juga dengan pencabulan maruah seorang Muslim dan pengamalan riba dalam jual beli, kedua-duanya akan dituntut ke atas kamu. Begitulah juga atas segala kezaliman dan perkara haram yang melanggar batas-batas yang ditetapkan Allah SWT, nescaya engkau akan ditanya tentang perkara tersebut kerana sesungguhnya engkau berkuasa mengubahnya. Adapun apa jua perkara yang tersembunyi daripada pengetahuan engkau, maka engkau terlepas daripadanya, Insya-Allah.”

Sesungguhnya sangat penting bagi semua pemimpin untuk menjalankan amanah yang dipikulnya dengan sebaik mungkin. at-Turtusyi turut mengungkapkan, “Semulia-mulia kedudukan anak adam adalah para nabi, kemudiannya adalah khilafah.”

Begitu juga pesanan Baginda SAW buat pengikutnya:

“Barangsiapa yang mengajak (manusia) kepada petunjuk, maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan pahala mereka sedikitpun. Barangsiapa yang mengajak (manusia) kepada kesesatan, maka baginya dosa seperti dosa orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan dosa mereka sedikitpun.”

(Riwayat Muslim)

Tatkala Samiriy memandu pengikutnya

Sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini bahawasanya pemimpin perlulah memiliki segala sifat mahmudah. Teladan yang ditunjukkan oleh pemimpin akan diteliti oleh semua ahli dan rakyat di bawah pimpinannya. Begitulah yang telah ditunjukkan oleh Baginda SAW sepanjang sejarah hidup Baginda SAW.

Rakyat dan ahli juga janganlah bermudah-mudah dalam memilih pemimpin kerana dikhuatiri akan membawa kepada jalan kebatilan. Al-Quran telah merakamkan banyak kisah bagaimana ketua dan pimpinan yang dipilih membawa pengikutnya menuju matlamat yang kabur, batil dan tidak diredai Allah SWT. Antaranya ialah kisah Samiriy bersama pengikut Nabi Musa a.s.

“Kemudian Samiriy mengeluarkan untuk mereka dari leburan barang-barang itu (patung) seekor anak lembu yang bertubuh lagi bersuara, lalu mereka berkata, “Ini adalah tuhan kamu dan tuhan bagi Musa, tetapi Musa telah lupa! Patutkah mereka tidak mahu berfikir sehingga mereka tidak nampak bahawa patung itu tidak dapat menjawab perkataan mereka dan tidak berkuasa mendatangkan bahaya atau memberi manfaat kepada mereka?”

(Surah Taha, ayat 88-89)

Tindakan Samiriy ini telah ditempelak oleh Nabi Musa a.s:

“(Sesudah itu Nabi Musa a.s hadapkan kemarahannya kepada Samiriy lalu) bertanya, “Apa pula halmu, wahai Samiriy? Ia menjawab, “Aku mengetahui dan menyedari apa yang tidak diketahui oleh mereka, lalu aku mengambil segenggam dari kesan jejak Rasul itu, kemudian aku mencampakkannya dan demikianlah aku dihasut oleh hawa nafsuku. Nabi Musa berkata kepada Samiriy, “Jika demikian, pergilah, (engkau adalah diusir dan dipulaukan), kerana sesungguhnya telah ditetapkan bagimu akan berkata dalam kehidupan dunia ini, “Jangan sentuh daku”, dan sesungguhnya telah dijanjikan lagi untukmu satu balasan akhirat yang engkau tidak sekali-kali akan terlepas daripadanya. Dan (sekarang) lihatlah kepada tuhanmu yang engkau sekian lama menyembahnya, sesungguhnya kami akan membakarnya kemudian kami akan menghancur dan menaburkan serbuknya di laut sehingga hilang lenyap.”

(Surah Taha, ayat 95–97)

Iman atau akidah itu perlulah bergerak seiringan dengan pelaksanaan dalam kehidupan seharian. Pemimpin beriman itu pasti memilih jalan yang paling baik dalam usaha menegakkan Islam. Menjadi satu sunnatullah golongan yang mempunyai akidah yang sejahtera akan dibantu oleh Allah SWT sama ada di dunia dan akhirat. Oleh itu, persoalan kepimpinan ini sangat diberikan perhatian yang cukup besar di sisi Islam. Adakah kita mahu dipandu dan dipimpin oleh Samiriy kedua?

Abdul Fattah bin Abdul Ghafar,

Pengerusi,

PERUBATAN Cawangan al-Azhar 2017/2018.

Rujukan:

  1. al-Quran al-Karim.
  2. Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat.
  3. Saied Hawwa, Fasal Kepimpinan dan Pemimpin, Dar as-Salam.
  4. Imam as-Suyuti, Tarikh Khulafa’, Dar al-Minhaj.
  5. Al-Mawardi, al-Ahkam as-Sultaniyyah, Maktabah ‘Asriyyah.
  6. Cikgu Shamsuddin, Ringkasan Sulalat as-Salatin.

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?