PEMIMPIN YANG BAIK MENURUT ISLAM

PEMIMPIN YANG BAIK MENURUT ISLAM

0

Dalam pasca globalisasi ini, terdapat banyak dugaan dan cabaran yang mesti ditempuhi oleh umat manusia di segenap pelusuk dunia. Kita dikejutkan dengan pelbagai kerosakan yang berlaku, seperti peperangan, penindasan, keruntuhan moral, rasuah dan yang paling meruncingkan ialah isu agama. Hal ini berlaku tidak kira dalam atau di luar negara.

Persoalannya, apakah penyebab kepada masalah yang berlaku ini? Antara punca utama berlakunya masalah dalam sebuah negara ialah bertitik tolak daripada pemimpin yang tidak baik itu sendiri. Apabila pemimpin tidak menjalankan amanah dengan baik, maka banyaklah kepincangan yang berlaku dalam negara tersebut. Jadi apakah ciri-ciri pemimpin yang baik menurut Islam?

Menurut al–Mawardi Rahimahullah dalam kitab al-Ahkam al-Suthaniah ada menyebutkan antara syarat-syarat seorang pemimpin ialah:

1)Adil dalam membuat keputusan Segala keputusan yang diberikan mestilah menurut kehendak syariat bukan sekadar memenuhi kehendak individu.

2)Ilmu dan thaqafah yang tinggi Hal ini penting kerana pemimpin akan menjadi rujukan masyarakat apabila berlakunya sesuatu masalah.

3)Badan yang sihat Seorang pemimpin perlu mempunyai jasmani yang kuat kerana tugas memimpin bukan tugasan yang mudah dan sangat memerlukan komitmen yang tinggi.

4)Bijak Individu yang mengetuai sesuatu organisasi atau kumpulan perlu mempunyai akal yang cerdas. Hal ini sangat penting kerana seorang pemimpin ialah individu yang bertanggungjawab dalam mengatur setiap pergerakan pengikutnya. Seperti Rasulullah SAW yang sangat bijak dalam menguruskan umatnya dalam pelbagai aspek terutama urusan negara itu sendiri.

5)Berani Seorang pemimpin perlu berani dalam menegakkan kebenaran. Syariat wajib dipertahankan walaupun mendapat ancaman yang pelbagai. Umat Islam perlu dibela apabila berlakunya penindasan oleh musuh.

Setelah melihat ciri-ciri yang perlu ada pada seorang pemimpin, kita pasti tertanya-tanya bagaimanakah caranya untuk memilih pemimpin dengan sebaiknya, betul? Jadi antara aspek yang perlu dititikberatkan dalam memilih pimpinan ialah, pemimpin tersebut perlulah individu yang menjaga hubungannya dengan Allah SWT dan manusia. Pemimpin yang rabbani akan membawa kemuliaan dalam sesuatu organisasi kerana Allah SWT dan Rasulullah SAW menjadi tujuan utama.

Seterusnya, seorang pemimpin itu mestilah amanah dalam setiap gerak kerja yang dipertanggungjawabkan. Aspek ini sangat penting agar sesuatu organisasi tidak mudah dikhianati dan diseleweng. Amanah merupakan sifat yang sangat ditekankan oleh Rasulullah SAW kerana antara ciri-ciri orang munafiq ialah culas dalam menjalankan amanah.

Sehubungan dengan itu, kita perlu memilih pemimpin yang mempunyai matlamat yang jelas dalam pembawaannya. Sebuah organisasi akan bergerak mengikut pembawaan pemimpin, maka matlamat yang jelas akan memacu pergerakan yang lebih optimum.

Bertepatan dengan musim pilihanraya PERUBATAN Cawangan, marilah sama-sama kita turun mengundi kerana memilih pemimpin itu juga salah satu tanggungjawab bersama. Jangan disebabkan kita tidak turun mengundi, pemimpin yang terpilih itu ialah individu yang tidak selayaknya. Selain itu, kita dapat praktikkan cara-cara mungundi yang sama seperti yang dilaksanakan di Malaysia. Seterusnya, dengan mengundi kita dapat melahirkan generasi yang bijak dalam menilai kualiti yang layak untuk menjadi seorang pemimpin.

Akhir sekali, saya ingin menegaskan bahawa seorang pemimpin itu mempunyai satu tanggungjawab yang besar. Maka pemimpin yang ingin dipilih perlulah terdiri daripada mereka yang benar-benar layak. Dalam masa yang sama, kita sebagai ahli perlu memberi sokongan yang padu kepada pemimpin agar pergerakan kita dapat diteruskan dengan baik seterusnya mencapai reda Allah SWT.

MUHAMMAD BIN AZIZ
TAHUN 3 KULIAH PERUBATAN
UNIVERSITI AL-AZHAR

TIADA KOMENTAR

Apa komen anda?